Pagi Khamis itu tidak seperti kebiasaan. Satu mesej whatsapp dari isteri.
‘Abe, abe kena mari terus Muadzam. Baru lepas check up di hospital. Doktor kata nak beranak dah ni.’
Masa tu jam sudah pukul 10 pagi. Ikut rancangan awal, hari itu aku akan menaiki train ETS dari Sg. Siput ke TBS pada pukul 6.30 petang. Kemudian, bila sampai TBS, aku akan menaiki bas ke Muadzam Shah pada pukul 11.30 malam. Dijangka sampai Muadzam Shah padam jam 2.30 pagi. Tiket semuanya sudah dibeli. Nampaknya, semua akan hangus.
‘Okay, jap lagi abe gerak.’ Balas aku.
Habis kelas, aku jumpa Ustaz Zamri, Penolong Kanan Pentadbiran sekolah. Cerita secara ringkas dan di hujungnya aku memohon untuk CRK. Bermakna aku memohon untuk 2 hari CRK. Khamis dan Jumaat.
“Jamil balik pukul 11 pagi. Isi pergerakan dalam buku, nanti saya tandatangan. Kira hari ni tak perlu CRK.” Terang Ustaz Zamri. Orangnya memang lemah-lembut dan mudah untuk berurusan.
“Terima kasih ustaz.” Aku berundur keluar dari biliknya.
Pukul 11 pagi aku bertolak dari Sg. Siput Utara. Dalam kereta, aku buka balik aplikasi KTMB. Boleh refund rupanya tiket ETS. Tapi 50% sahaja. Terus aku tekan refund. Tiket ETS ni laku macam ayam gunting spicy. Kalau booking awal seminggu, memang tak dapat. Penuh! Paling kurang, kena 2 minggu awal.
Tiket bas pun sama. Aku beli menggunakan aplikasi RedBus. Dan memang persediaan awal aku ambil pilihan untuk dibolehkan refund dengan sedikit bayaran. Jadi, kos kerugian tiket tidak berapa terasa. Kalau ikutkan, kedua tiket tu hampir RM 80.
Perjalanan sehala dari Sg. Siput Utara ke Muadzam Shah lebih kurang 450km. Inilah perjalanan yang hampir 3 tahun aku tempuh. Ada seminggu sekali, ada juga 2 minggu sekali. Jika dengan kereta, masa perjalanan selama 7-8 jam dengan mematuhi had laju kebangsaan.
Dari Sg. Siput aku akan ke Tol Ipoh melalui jalan Chemor - Meru. Dan dari Tol Ipoh, aku akan keluar di Tanjung Malim. Dari Tanjung Malim, aku melalui jalan Kuala Kubu Bharu - Batang Kali. Dari Batang Kali, aku akan menaiki jalan Genting Highland dan turun di susur keluar Genting Sempah. Dari Genting Sempah, aku terus menuju dan keluar di Karak. Di Karak, aku melalui jalan lama tanpa tol menuju Temerloh dan Bera. Dari Bera, aku akan melalui jalan ladang kelapa sawit Sebertak sehingga ke jalan utama Kuantan - Segamat. Dari jalan itu, ada berbaki 20 KM lagi untuk aku sampai Muadzam Shah. Ikut laluan ini (Sg. Siput - Muadzam Shah), jumlah tol adalah sebanyak RM 17.85.
Tahun lepas, jalan Batang Kali - Genting ditutup disebabkan tanah runtuh. Laluan aku berubah. Dari Batang Kali akan masuk jalan Hulu Yam Bharu - Batu Caves. Jalan berbukit macam jalan Genting juga dan dari Batu Caves akan keluar mengikut tol Gombak ke Genting Sempah dan Karak.
Itulah route atau laluan yang setakat ini aku nampak dan aku rasa berbaloi dari segi masa dan juga dompet. Kalau dompet tebal, aku akan melalui lebuhraya LPT dari Genting Sempah terus keluar di Gambang. Dan dari Gambang, jalan lurus sepanjang 90KM untuk sampai ke Muadzam Shah.
Kalau musim perayaan pula, aku akan melalui lebuhraya Utara - Selatan dan akan susur keluar di Seremban. Ini juga terpaksa tebalkan dompet untuk elakkan laluan sesak. Dari Seremban akan terus ke Kuala Pilah dan seterusnya ke Muadzam Shah.
Pernah sekali aku naik bas dari Ipoh nak ke Muadzam Shah. Setakat pencarian aku, tidak ada bas yang terus dari Ipoh ke Muadzam Shah. Kena berhenti sama ada di TBS, Kuantan, atau Seremban sebelum mengambil bas lain ke Muadzam Shah. Hari itu, bas yang aku naik dari Ipoh lambat sampai di Seremban menyebabkan tiket bas kedua yang aku telah beli untuk ke Muadzam Shah hangus begitu sahaja. Kesudahannya, terpaksa beli tiket lain dan tunggu lebih lama untuk bas yang seterusnya.
Ah, panjang pula cerita tentang laluan.
Orang kata PJJ ni perit.
Comments
Post a Comment
Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.