Skip to main content

Posts

Showing posts from 2023

TEAM BUILDING SMANF 2023

Tubuh masih lagi rasa sengal-sengal disebabkan aktiviti pada pagi dan petang tadi. Malam ini diteruskan lagi dengan aktiviti yang diselia sendiri oleh pengetua. Program Team Building yang sangat lama dirancang dan merupakan hasrat pengetua, tetapi dekat hujung tahun 2023 baru dapat dilaksanakan. “Selama saya mengajar dekat sini, tak pernah lagi ada team building. Kalau dapat buat, memang terbaik la.” Kata Wardi pada aku suatu ketika dahulu. Wardi yang merupakan anak jati Kg. Kelimat tempat dimana sekolah ini bertapak sudah berkhidmat selama 15 tahun. Tengok muka pun sudah tahu; dia seorang otai lagi berbisa. Malam itu, aktiviti pengetua cuma santai sahaja. Seorang diberi sehelai kertas. Tiap seorang kena tulis namanya sendiri. Kemudian kertas itu akan diberi secara rawak pada guru. Guru yang mendapat kertas tersebut dikehendaki menulis apa sikap positif pemilik kertas dan sifat negatif yang perlu diubah. Selesai tulis, kertas beredar kepada guru lain yang berada di sebelah. Bila kertas...

KEJOHANAN FUTSAL SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH AGAMA PERINGKAT KEBANGSAAN 2023

Perlawanan final Kejohanan Futsal Sekolah-sekolah Menengah Agama Peringkat Kebangsaan sudah 5 minit berlalu. Para VIP dan tetamu jemputan sedang asyik melihat perlawanan antara SMKA Arau B melawan SMKA Syeikh Abdullah Fahim. Satu sekolah dari Perlis, satu sekolah lagi dari Pulau Pinang. Perak yang menganjurkan kejohanan, namun sayang tidak ada rezeki untuk mara ke peringkat akhir. Di gelanggang sebelah, kelihatan AJK Persiapan Tempat sedang sibuk menyusun pentas untuk majlis perasmian penutup. Mereka cuma ada lebih kurang 20 minit. Kalut! Semua nampak sibuk. Amin sibuk dengan speaker dan mikrofon. Ditarik wayar extension mencari plug terdekat bagi menghidupkan speaker. “Tarik… tarik… tarik belakang lagi wayar tu.” Arah Amin kepada Zahrul. Peluh yang kelihatan merecik di dahinya tidak dihiraukan. “Angkat meja mari sini. Hampar kain. Lepas tu susun hadiah atas ni.” Cikgu Ili yang bahagian hadiah tak kurang sibuknya. Memberi arahan kepada pelajar untuk membantunya. Tugasnya adalah menyusu...

PERGINYA SAHABAT, HANZALAH

Hanzalah di tengah memakai baju belang إنا لله وإنا إليه راجعون Telah perginya sahabat kami, Ustaz Hanzalah dari dunia yang fana ini pada malam tadi. Ajalnya telah tiba. Takdir Allah. Tidak lewat seminit, tidak awal seminit. Awalnya, Ustaz Hanzalah dimasukkan ke hospital kerana kemalangan pada awal pagi ketika dalam perjalanan ke sekolah. Ketika itu, keadaannya tidak sedarkan diri. Doktor pula mengkhabarkan ada sedikit pendarahan dalam kepala. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya. Seorang sahabat yang baik. Tidak pernah merungut jika diberikan kerja. Jarang menolak jika meminta pertolongan. Tuturnya tidak banyak dan bicaranya juga sopan dan tertib. Pernah dulu jika perlu mencari pengganti kelas al-Quran malam, Hanzalah adalah tempat untuk meminta pertolongan. “Lah, ganti kelas kawe malam ni boleh ke?” “Boleh. Beres!” Tanpa banyak tanya, tanpa banyak kerenah, terus saja dia menerima. “Lah, AJK Persiapan Tempat, boleh ke?” “Boleh.” Elok saja dia membereskan tempat untuk suatu program yan...

COACH SOFBOL

Atas kertas, tertera nama Jamil sebagai jurulatih sofbol. “Zahrul, tak apa ke letak aku sebagai jurulatih sofbol ni?” “Tak apa. Aku nampak hang ada bakat nak jadi jurulatih sofbol.” Jawab Zahrul, seorang otai sofbol Kuala Kangsar. Atas kertas, namanya sebagai ketua jurulatih. “Hang tak payah risau, kita nombor 2 dalam tangan.” Ujar Zahrul untuk menyedapkan hati. “Okay, kalau macam tu, aku pastikan kita dapat johan. Bawa balik medal emas!”

DONUT SEDO

Kalau sampai Kuantan, rasa macam ada yang tak kena kalau tak singgah kedai donut Sedo. Entah kenapa. Mungkin donutnya betul-betul gebu macam pemilik Sedo. Habis sebiji, nak makan lagi sebiji. Rasanya amat sedap. Tapi, sekarang ni macam susah nak jumpa pemilik Sedo. Asyik outstation. Betul la orang kata, orang bila dah berjaya, masanya selalu sibuk. Nasib baik pemilik Sedo single lagi. Kalau tidak… Emmm…

PERATURAN BAHARU UNTUK KEJOHANAN SMAN?

Usai sudah taklimat untuk sukan sekolah agama bagi peringkat negeri Perak. Nama lain yang mudah disebut adalah SMAN. “Tengok peraturan pemakaian. Untuk tahun ini, kita tidak benarkan peserta memakai seluar pendek dan tight dalam acara bola sepak. Bukan bola sepak sahaja, termasuk semua acara sukan yang dipertandingkan dalam SMAN.” Terang penyelaras teknikal seraya pengurus pasukan melihat kertas peraturan yang terdapat di tangan masing-masing. “Yang dibenarkan cuma seluar track atau seluar tiga suku sahaja. Mana-mana yang tidak setuju, kami tak akan benarkan pasukan tersebut menyertainya.” Dia menyambung. “Tapi, kalau ikut JAKIM, dia benarkan pemain memakai seluar pendek dan tight di peringkat kebangsaan.” Seorang cikgu yang sudah agak berumur mengajukan ketidakpuasan hatinya. Baginya, mungkin susah untuk seorang pemain bola sepak memakai seluar track atau seluar tiga suku ketika beraksi di atas padang. “Ya, saya faham. Tetapi, keputusan ini adalah keputusan mesyuarat di peringkat JAIP...

JALAN-JALAN SG. BESAR PART 1

“Mil, meh la pergi Sg. Besar. Ikut aku.” Ajak Irfan. Pemandu bas selaku pemilik beberapa lagi bas yang lain. Tertera di bas miliknya, Irfan Said. “Buat apa Pan pergi Sg. Besar?” “Ada trip melawat kilang makanan dekat sana.” Ringkas jawapan Irfan. “Berapa hari Pan?” Tanya aku. “Balik hari. Pagi Sabtu dalam pukul 4, pukul 5 kita gerak. Nanti malam pukul 10 11 sampai la balik sini.” Terang Irfan. “Trip mak dara ke anak dara yang ramai ni, Pan?” “Hang kena tengok sendiri la. Aku tak mahu cakap. Hang nak anak dara ke mak dara? Silap-silap nek dara pun ada.” “Okay, jom. Kira jadi!” Jawapan muktamad. “Esok tu. Pukul 4 pagi bas gerak. Hang jangan nak nganjor pula.” Kata Irfan dalam loghat Perak.

ILMU LEMANG PART 1

Lemang siap sedia untuk direbus I lmu buat lemang daripada orang Kg. Kelimat, Sg. Siput U, Perak. “Aku ajar hang dari A sampai Z macam mana nak buat lemang hari ini. Nanti balik Kelantan, hang boleh buat. Tiru je macam mana aku ajar hang.” Abang Khir memberitahu aku. Usianya sudah masuk 5 siri mengikut perkiraan aku. Uban di rambutnya sudah nampak melebat. “Susah ke buat lemang Abang Khir?” Aku bertanya. “Tak ada susah lah. Lepas ni senang saja hang rasa macam mana nak buat. Aku dulu tak pandai juga buat lemang. Lepas kena pergi Sarawak, orang duk suruh aku buat. Menjadi la juga. Itu guna cara bakar. Balik sini, guna cara bakar yang sama tak menjadi!” Terang Abang Khir. 21 tahun dia dalam anggota tentera. Kena berkhidmat di Sarawak jauh nun di sana selama 3 tahun. “Kenapa pula dekat sana cara bakar menjadi, balik sini, guna cara bakar yang sama tak menjadi Abang Khir?” Soal aku. “Itu yang aku pelik tu. Balik sini tak jadi. Aku buat cara rebus je lah. Pasti menjadi dan pasti masak isi d...

PENGALAMAN TRAFIK JAMMED AIDILFITRI 2022

Sesungguhnya mengharungi jammed ketika musim perayaan itu adalah sesuatu yang benar dan ini adalah pengalaman pertama aku setelah 30 tahun bernafas di muka bumi ini. Setelah hampir seminggu menyambut Hari Raya Aidilfitri 1443H atau tahun 2022 masihi, maka pada hari raya keenam aku telah mengambil keputusan untuk bermusafir ke Muadzam Shah, Pahang menghantar isteri dan anak. Kemudian, keesokan harinya, aku akan bertolak dari Muadzam Shah ke Sungai Siput, Perak. Satu perjalanan yang jauh dan sememangnya perlu kepada perancangan dan disiplin masa yang tinggi. Lebih-lebih lagi bila perlu mengharungi jammed. Dan lebih-lebih lagi jika ada anak kecil turut ada bersama di dalam kereta. Dari Kota Bharu, aku bertolak pada jam 9.45 pagi. Awalnya perjalanan sungguh lancar melainkan hampir 3 stesen minyak aku singgah kehabisan petrol ron 95. Akhirnya aku nekad untuk mengisi minyak ron 97. Nasib baik ketika itu minyak sudah hampir full, kira-kira dalam 2 bar sahaja untuk full. Itupun RM 60 juga. Kay...

BENGKEL TAHSIN AL-FATIHAH OLEH PPD KUK

  Suasana dalam dewan Masjid Ridzwaniah, Kuala Kangsar Pengalaman baharu. Tidak semua yang dapat. Hanya yang dipilih sahaja. Bila dipilih, ia akan menjadi terpilih. "Mil, mesyuarat G9 memutuskan untuk demo pergi ke Bengkel Tahsin al-Fatihah hari Rabu ni." Ustaz Mizwan selaku PK Ko di sekolah memaklumkan kepada aku. "Boleh Ustaz Wan. Dekat mana tu?" Dengar sahaja mesyuarat memutuskan, aku tak fikir panjang nak bagi jawapan. Terima sahaja. Adat bekerja dengan majikan. Nak bantah, nak komen, boleh komen sendiri dalam hati.  "Dekat Masjid Ridzwaniah. Pukul 8 pagi hingga 2 petang." Jawab Ustaz Mizwan. Masjid Ridzwaniah terletak dalam daerah Kuala Kangsar. Bersebelahan dengan Kolej Melayu Kuala Kangsar atau dikenali dengan MCKK. Awal pagi lagi aku sampai di masjid ini dengan jentera Honda. Panel pula adalah Ustaz Samad dan juga Ustaz Quddus. Yang Ustaz Quddus cuma menyampaikan teori hukum tajwid. Bahagian klimaks dia adalah penyampaian oleh Ustaz Samad.  Suara d...

AHLAN YA RAMADAN

Hidup itu tidak ada rehat. Selama kita hidup, selama itu lah kita bekerja. Kita mencari bekalan yang secukupnya. Sebanyak yang mungkin. Kita menyemai dengan tekun di atas dunia ini. Kita ladangi dia dengan benih yang paling baik. Baja yang paling bermutu dan bekalan air yang sentiasa cukup. Kita semaikan ia, dengan sabar kita menuggu ia membesar. Daripada biji benih ianya bercambah, perlahan - lahan tumbuh meninggi. Sampai masa kita akan menuainya. Kita ambil hasilnya. Bukan di dunia, tapi di akhirat. Selamat datang Ramadan 1444 Hijri. Ahlan. Semoga Ramadan tahun ini adalah Ramadan yang terbaik.

SINGKAT! BAJU KORPORAT 2023

Singkat ke? Macam tak je. “Kawe tak puas hati! Baju kawe singkat! Nak butang pun ketat! Sangkut.” Rintih Amin sambil memegang baju korporat di tangan kanannya. Baju korporat yang diukur sebulan sebelum cuti baru-baru ini sudah siap dijahit. Warnanya lembut dan cantik. Wajib untuk semua guru dan staf. Wajib ambil dan wajib juga bayar. “Sangkut dekat mana Min?” Tanya aku. “Aii… demo… buat-buat tanya. Ni… sangkut sini la.” Jawab Amin sambil tapak tangannya mengusap-usap perut. Sambil usap perut, sambil bibirnya tersenyum bangga. Nak kata boroi, tak boroi. Nampak sado ada lah. Berat Amin 83kg, lebih 3kg dari berat aku. “Betul dah tu Min. Masa demo ukur hari tu, perut demo tak maju ke depan lagi. Dalam masa sebulan lebih ni, perut demo membusung tanpa sedar. Tu jadi tak muat tu.” Jawapan aku seolah-olah berpihak kepada tukang jahit. Seperti bukan salah tukang jahit yang menyebabkan baju Amin singkat. “Masalahnya… bukan kawe sorang. Demo tengok Zikri. Tak muat juga! Sangkut! Lagi terut dari...

LATA PERAHU : JANGAN INGAT BANYAKNYA PERAHU

Setahun di Perak, baru sempat jalan-jalan dan pusing-pusing kawasan sekitar. Berbekalkan petrol RM 3 dalam tangki motor berjenama Honda, dapat juga jelajah 2-3 tempat di kawasan daerah Kuala Kangsar dan juga Lenggong. Lata Perahu Mengikut orang tempatan, dulu Lata Perahu dikenali dengan Lata Peghor. Ada sejarah berkait dengan Lata Perahu yang mana dikatakan air dari Lata Perahu ini akan mengalir masuk ke Sungai Temong. Temong pula nama besar dan orang penting dalam sejarah kesultanan negeri Perak. Namanya Tok Temong. Jangan ingat nama Lata Perahu disebabkan sini banyaknya perahu pula. Tempatnya tak adalah besar sangat. Parkiran amat terhad. Dalam 200 meter nak sampai, jalan agak mencanak naik. Tapi Honda Wave boleh naik dan lulus dengan jayanya. Jangan risau, jalan diturap dengan baik. Bukan macam jalan lebuhraya Grik nak ke Jeli. Ada gerai jual makanan dan juga laksa. Boleh makan laksa sambil menikmati pemandangan air sungai yang mengalir. Bunyi uggas-unggas hutan berkicauan mendamai...

UJIAN KEMASUKAN SABK : DILEMA

Khairum sedang menemuduga calon “Mil, nak bagi lepas macam mana ni budak?” Tanya Amin usai sahaja Ujian Kemasukan Tingkatan Satu untuk SABK. Amin salah seorang antara guru yang dilantik sebagai panel temuduga peringkat sekolah. “Sebab apa min? Budak tak jawab ke?” Tanya aku kehairanan. “Tak boleh baca Quran langsung ni!” Jawab Amin tegas. Tangannya yang terletak atas meja digenggam erat. Geram. Boleh membaca al-Quran adalah salah satu elemen yang diguna pakai dalam menilai kelayakan untuk masuk ke SABK. Kenapa? Sebab kurikulum yang dipakai di sekolah aliran SABK adalah kurikulum dini dan kurikulum dini subjek utamanya adalah subjek agama dan bahasa arab. “Parah tu. Kalau demo tak bagi lepas, budak ni mesti akan pergi sekolah harian biasa Min.” Memang itu sahaja pilihan yang ada sekiranya ingin bersekolah di sekolah kerajaan. “Emmm… ikut gaya, macam tu lah.” Suara Amin seakan pasrah. Matanya jauh merenung ke hadapan. Banyak benda yang difikir olehnya. “Nanti sampai bila-bila la dia tak ...

FINAL TOUCHDOWN SPM SMANF 2022

Pegawai dari PPD Kuala Kangsar datang ke sekolah kami pada hari ini. Segak berbaju batik warna biru. Bercermin kaca. Tertera nama ‘Sabri’ pada nametag di sebelah dada kirinya. Tuan Sabri datang untuk bertemu dengan semua guru yang mengajar subjek SPM dan juga semua anak-anak SMANF yang akan menduduki peperiksaan bertulis SPM dalam masa 19 hari lagi. Program Final Touchdown SPM. “Kita sudah tidak mempunyai masa yang lama. 19 hari sahaja. Ingat 3 perkara ini anak-anak.” Ujar Tuan Sabri tegas. Program ini berlangsung di dalam Dewan Tun Musa. “Apa dia 3 perkara tu? Pertama adalah extraordinary. Apa dia extraordinary?” Tanya Tuan Sabri kepada anak-anak SMANF. “Luar biasa… bersungguh-sungguh….” Jawab anak-anak SMANF. Intonasi suara mereka tidak kuat. Tidak ada keyakinan. Entah betul entah salah agak mereka. “Ya! Bersungguh-sungguh. Kita usaha sungguh-sungguh. Kalau sebelum ini kita tidur 6 jam, kita pendekkan jadi 5 jam. Sejam itu kita guna untuk belajar. Itu namanya bersungguh-sungguh!” Lan...

AMBIL ALIH SUBJEK SYARIAH TINGKATAN 5

Lawatan PPD ke kelas tingkatan 5 "Eh, aku bagitahu hang awal ni. Hang kena ajar Syariah tingkatan 5, cover Uzair.” Ujar Zahrul kepada aku. Uzair yang mendapat 26 hari mc adalah seorang ustaz yang mengajar subjek al-Syariah tingkatan 5 di sekolah. Dan, SPM sudah tidak lama lagi untuk pelajar menempuhinya. “Hang la ni. Uzair dah bagitahu dia tak boleh datang kelas tambahan malam, hang cakap dia kena datang juga. Dia stress la tu, terus jatuh dekat tandas tadi.” Aku bergurau dengan Zahrul. Uzair pada tengah hari sebelum berakhirnya sesi persekolahan, telah jatuh dan nampak dari raut wajahnya seakan perit menahan kesakitan. Nasib baik ketika dia jatuh tu ada orang yang berdekatan dengannya dan dapat memapah dia masuk ke dalam kereta. “Tu la… aduh. Aku pun rasa bersalah dengan dia. Aku keras sangat dengan dia tadi. Aku cakap dekat dia, hang pandai-pandai la cari pengganti kalau tak boleh nak datang kelas malam. Tengok-tengok tengah hari tadi dia jatuh dan esoknya dapat MC. 26 hari pula...