Lemang siap sedia untuk direbus |
Ilmu buat lemang daripada orang Kg. Kelimat, Sg. Siput U, Perak.
“Aku ajar hang dari A sampai Z macam mana nak buat lemang hari ini. Nanti balik Kelantan, hang boleh buat. Tiru je macam mana aku ajar hang.” Abang Khir memberitahu aku. Usianya sudah masuk 5 siri mengikut perkiraan aku. Uban di rambutnya sudah nampak melebat.
“Susah ke buat lemang Abang Khir?” Aku bertanya.
“Tak ada susah lah. Lepas ni senang saja hang rasa macam mana nak buat. Aku dulu tak pandai juga buat lemang. Lepas kena pergi Sarawak, orang duk suruh aku buat. Menjadi la juga. Itu guna cara bakar. Balik sini, guna cara bakar yang sama tak menjadi!” Terang Abang Khir. 21 tahun dia dalam anggota tentera. Kena berkhidmat di Sarawak jauh nun di sana selama 3 tahun.
“Kenapa pula dekat sana cara bakar menjadi, balik sini, guna cara bakar yang sama tak menjadi Abang Khir?” Soal aku.
“Itu yang aku pelik tu. Balik sini tak jadi. Aku buat cara rebus je lah. Pasti menjadi dan pasti masak isi dalam dia.” Jawab Abang Khir.
Apa yang paling diperlukan dalam membuat lemang versi Abang Khir adalah buluh, daun pisang, beras pulut, santan, tin biskut, tungku, gas dan api.
Paling penting adalah buluh. Cara potong buluh kena potong bermula dari atas sehingga sampai ke bawah. Maknanya, buluh lemang nanti, dari bawah dia akan kecil hinggalah makin besar dan makin besar permukaannya.
“Tak boleh ke potong buluh mula dari bawah Abang Khir?” Tanya aku.
“Tak boleh. Kalau potong dari bawah, nanti orang panggil songsang.”
Aku ingatkan, bermula dari atas dikira songsang. Rupanya tidak. Ingat senang, main potong dari bawah asalkan ada tapak yang tak bagi beras pulut jatuh, dan ada muka atau kepala yang berlubang dekat atas untuk masukkan beras pulut dan santan.
“Panjang mana Abang Khir nak potong buluh ni?”
“Hang potong ikut panjang 2 tin biskut tu.” 2 tin biskut adalah tin biskut yang besar. Adalah tinggi tin tu dalam 1 kaki setengah, lebar pula dalam 1 kaki.
“Kalau dekat pekan, orang jual RM 8, kalau dekat kedai Hawa depan tu, dia bagi RM 3 je.” tambah Abang Khir usai menyedut asap rokok Canyon hijau.
Buluh dah selesai dipotong. Tapi yang potong adalah Cikgu Azu. Dia bawa gergaji McGyver, kejap sahaja siap 17 batang buluh untuk dibuat lemang.
“Abang Khir masa duk Sarawak tu kena berkhidmat dekat mana?”
“Aku kena duk Kuching. Duk sana, mereka mahu la kulit-kulit macam kita ni.” Abang Khir membuka cerita.
“Mahu? Mahu macam mana tu Abang Khir?” Aku tak berapa faham kenyataan Abang Khir. Tentang kulit tu aku faham sebab bila aku tengok Abang Khir, kulitnya lebih sikit maskulin berbanding aku.
Abang Khir tersengih.
Eh…lama tak baca coretan HJ.
ReplyDeleteTernampak di reading list blog akak, itu yang sampai sini.
Ambil ilmu potong buluh lemang di sini. Walaupun tak berapa jelas sebab tak buat praktikal, tapi sekurang-kurangnya ada jugaklah idea kan…😀
Senang je kak potong buluh lemang tu. Nanti potong dari atas, jangan potong dari bawah. Itu je petua yang dia bagitahu. Ada masa boleh lukiskan nanti.
Delete