STATUS HAJI 2020 KEPADA UMAT ISLAM SELURUH DUNIA

Kenyataan Rasmi dari Arab Saudi

Hari ini Arab Saudi telah mengeluarkan satu kenyataan berkenaan dengan status haji yang akan dikerjakan oleh umat Islam tidak lama lagi. Mengikut kalendar Masihi, raya Haji jatuh pada 24 Julai ini bersamaan dengan 10 Zulhijah dalam kalendar Islam. 

HAJI DITANGGUHKAN SELURUH DUNIA

Status haji untuk tahun ini diputuskan hanya untuk umat Islam seluruh dunia yang telah berada di dalam negara Arab Saudi. Ini bermakna, Arab Saudi tidak membenarkan negara-negara luar untuk menghantar rakyatnya mengejakan haji di tanah suci Mekah.

Secara terperincinya, sekiranya ada warganegara seperti Pakistan, Indonesia, Brunei, Vietnam, Rusia, China, Malaysia atau mana-mana warganeraga beragama Islam yang sekarang berada di Arab Saudi, sama ada sedang bekerja, belajar mahupun secara suka-suka berada di sana, mereka dibenarkan untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Hanya yang sudah berada di dalam negara Arab Saudi, bukan yang masih berada di negara masing-masing. Jelas ke?

MALAYSIA LEBIH AWAL BERTINDAK

Ini sebenarnya tidak menjejaskan rakyat Islam yang berada di Malaysia kerana keputusan Malaysia sendiri telah menangguhkan penghantaran rakyatnya untuk mengerjakan haji pada tahun ini. Keputusan ini diumumkan sendiri oleh Menteri Hal Ehwal Agama Islam, YB Dato' Dr. Zulkifli pada beberapa minggu yang lepas.

BERTEPATAN DENGAN MAQASID SYARIAH

Keputusan Malaysia pada ketika itu adalah satu keputusan yang tepat bagi membendung penularan COVID-19 memandangkan kes setiap hari ketika itu semakin meningkat di Arab Saudi biarpun Malaysia menunjukkan trend yang menurun. Ini adalah satu langkah untuk mengelakkan rakyat Malaysia daripada terkena virus COVID-19. Keputusan Malaysia adalah bertepatan dengan maqasid syariah iaitu untuk memelihara nyawa manusia.

USAH MENGECAM, MENGUTUK

Jadi, janganlah pula ada yang mengecam, mengutuk keputusan kerajaan Malaysia kerana apa yang diputuskan oleh kerajaan Malaysia pada ketika ini mempunyai kebaikan yang lebih besar berbanding keburukannya. Bukan niat Malaysia untuk menghalang rakyatnya untuk mengerjakan haji. Tidak sama sekali. Jika pun Malaysia ingin menghantar rakyatnya, ternyata terhalang juga dengan keputusan kerajaan Arab Saudi pada hari ini.

TERUSKAN BERDOA

Oleh itu, sama-samalah kita berdoa agar virus COVID-19 ini diangkat dari bumi Malaysia khususnya dan juga dari seluruh dunia secara amnya. InsyaAllah, banyak ibadah yang kita tersangkut untuk melakukannya dapat kita lakukan dengan bebas selepas lenyapnya virus COVID-19 ini. InsyaAllah.

Comments

Popular posts from this blog

hukum main mercun

BEN ASHAARI TANYA BLOG SAYA BEST TAK