SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH, NORMAL BAHARU UNTUK PELAJAR SEKOLAH
Selepas hampir 100 hari PKP dan sekarang ini adalah PKPP, sekolah sudah dibuka untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Peperiksaan SPM, STAM dan STPM antara yang utamanya. Walaupun sekolah dibuka, ada peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi dan diambil berat oleh pihak sekolah yang mana ianya dipanggil dengan SOP (Standard Operation Procedure) pasca COVID-19.
Laluan Pergi dan Balik Pelajar |
Sekolah aku juga sudah dibuka seperti biasa. Sesi persekolahan bermula 24 Jun, tapi disebabkan sekolah ini adalah sebuah sekolah berasrama penuh, maka pelajar datang pada petang 23 Jun lagi. Bermakna pelajar akan bermalam di asrama pada malam itu. Normal baharu sudah aku siapkan sebelum itu, iaitu dengan membahagikan pelajar kepada 8 orang sebilik dengan penjarakan satu meter antara katil dengan katil yang lain.
Hari pertama persekolahan selepas PKP. YIK dah datang melawat. |
Kebiasaannya, setiap bilik memuatkan 20 orang pelajar. Had muatan yang paling maksima dalam bilik asrama di sekolah ini. 20 orang dalam bilik tu dah macam sardin cap ayam dalam tin. Berhimpit sesama mereka merebut oksigen. Kadang-kadang mereka juga berebut oksigen dengan baju-baju basah mereka yang bergantungan di tingkap-tingkap. Baju basah mereka yang disidai selepas mandi juga memerlukan oksigen untuk mengeringkan diri.
Bagi aku, jadi warden untuk pelajar tingkatan 5 yang berjumlah seramai 39 orang ini sedikit ringan dan tidak membebankan. Ye lah. Kalau nak dibandingkan dengan seluruh pelajar sebelum ini. Makin ramai pelajar, makin banyak lah kerenah mereka. Ada saja masalah yang nak diadukan. Bila jaga pelajar yang berumur 17 tahun ni, masalah yang remeh pun tidak ada. Maklum lah, lagi setahun mereka ini dibenarkan menonton filem yang bergenre 18 tahun ke atas. Sekarang ini tontonan mereka cuma U, untuk tontonan Umum. Haha.
PKHEM mengiringi Nazir dari YIK |
Antara SOP lain yang perlu disediakan adalah, laluan pergi balik pelajar dari asrama ke sekolah. Untuk yang ini perlu label anak panah laluan semasa pergi dan semasa balik. Aku minta warden lain bantu dengan spray sahaja laluan mereka itu dengan spray warna merah dan hijau yang berbentuk anak panah. Merah untuk balik, hijau untuk pergi.
Garisan penjarakan di hadapan tandas |
Suhu badan pelajar mesti diperiksa setiap kali ingin turun asrama untuk ke sekolah, sebelum masuk kelas dan sebelum masuk semula ke asrama selepas habis sesi persekolahan. Di kantin atau dewan makan juga mesti ada garis dan larangan untuk mengelakkan pelajar daripada duduk berdekatan di meja makan. Mesti ada garis semasa beratur dengan jarak 1 meter. Hand sanitizer juga perlu disediakan di dewan makan dan beberapa tempat strategik.
Nazir nampak macam berpuas hati dengan persediaan pihak sekolah |
Semua itu sudah disediakan dan terpulang atas pelajar pula untuk mengaplikasikannya. Normal baharu ini pada awalnya susah untuk diaplikasikan kerana benda ini masih lagi asing, lagi-lagi dalam diri pelajar. Mereka bukan lagi rebung yang boleh dilenturkan. Namun, insyaAllah dengan peringatan yang acap kali mereka dapat lakukannya. Kita sama-sama bantu kita.
Comments
Post a Comment
Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.