“Kawe tak sangka, dalam ramai-ramai sain kawe, ada yang dipanggil babi.” Abon memulakan cerita di warung kopi selepas bermain futsal.
.
Masalah Abe Li sudah Abon selesaikan. Tapi Abe Li masih lagi gelisah. Kejap pandang handphone. Kejap merenung siling warung kopi.
.
“Aaa… kasar Bon. Demo sain dengan babi ke sekarang ni?.” Jes terkejut dengan mukadimah cerita Abon.
.
“Bukan Bos Jes. Macam ni. Masa kawe duduk minum kopi tu, sain kawe mari. Muka dia masam. Lepas tu dia tanya, ‘bi mano bi?’ Kawe binggung. Kawe pun tanya dia, ‘Bi mana ni?’ Dia memuncung mulut sebagai isyarat, menunjuk ke arah sain kawe di meja sebelah yang sedang makan. ‘Tu, babi tu.’ Kawe terkejut Bos Jes.” Panjang lebar Abon bercerita.
.
“Benda gitu terkejut demo Bon. Mudah terkejut demo ni.” Nyes mencelah.
.
“Parah tu. Macam mana boleh sampai macam tu Bon?” Abe Li bertanya.
.
“Macam ni Bos Li. Siasat punya siasat. Kawe boleh tahu sebab dia marah sampai panggil babi adalah berpunca dari gambar!” Abon sambung bercerita. Siap tampar meja lagi nak bagi bersemangat.
.
“Cerita sampai habis Bon. Tak yah nak tepuk-tepuk meja. Tumpah air kawe ni.” Koha bagi amaran. Tanggannya kemas memegang gelas berisi air nescafe ais.
.
“Bos Har jangan marah. Kawe sambung cerita ye. Dia sebenarnya nak marah sebab orang yang dibabikan olehnya selalu ambil gambar dia curi-curi. Lepas tu, upload dalam group whatsapp. Gambar aib bos!! Gambar perut buncit, dada berbulu, tidur mulut ternganga. Tu yang dia jadi naik angin. Jatuh saham dia.” Abon bercerita. Sekali lagi dia menepuk meja. Kali ini kuat sekali.
.
Semua gelas yang berisi air di atas meja berkocak, dan ada yang tertumpah sedikit.
.
Semua yang ada dengan serentak dan pantas memegang gelas masing-masing seraya merenung tajam ke arah Abon, “Aii… kan sekali dengan demo jadi babi malam ni!”
***
Pengajaran : Jangan jadikan gambar orang lain sebagai bahan jenaka untuk kegembiraan kita. Gambar aib bagi seseorang adalah satu maruah. Sama-sama berpesan untuk tidak jatuhkan aib orang lain.
Comments
Post a Comment
Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.