Seputar Isu Terbaru di Malaysia
Makin banyak isu hangat di
Malaysia yang tak sempat diikuti sejak GST diperkenalkan. Mana tidaknya, marhaen
perlu mengerahkan keringat dengan lebih banyak daripada biasa untuk menampung
perbelanjaan harian. Barangan dapur, barangan anak – anak, dan juga barangan
keperluan yang lain. Itu rakyat marhaen yang biasa. Tahukah yang ramai lagi
marhaen yang ditimpa musibah bah kuning di Kelantan hujung tahun lepas belum
lagi dapat berteduh di sebuah tempat yang dinamakan rumah? Ramai mereka yang
hanya mendiami khemah dan juga bangsal buruk yang seakan menunggu masa untuk
rebah menyembah bumi?
MANGSA BAH MASIH DIPINGGIRKAN?
Jenguk seketika di laman media sosial,
boleh nampak yang rakyat Malaysia masih begitu peka dengan permasalahan ini dan
cuma mampu menjadi keyboard warrior. Sangkaan baik itu perlu. Mungkin itu
sehabis daya mereka yang dapat menyumbang untuk marhaen yang masih lagi dalam
kesempitan dan juga kesusahan. Kekadang, kita akui yang kita memerlukan golongan ini. Luahan mereka tulus dari hati yang merasa hairan
dan juga pelik mengapa bantuan untuk mangsa gempa bumi di Nepal sangat cepat untuk sampai
sedangkan rakyat kita di hulu Kelantan masih ramai lagi yang tidak dapat
bantuan yang secukupnya.
Tiada tempat berteduh biarpun
lebih 4 bulan musibah berlalu. Hidup mereka seperti gelandangan. Hanya pondok
kecil berbumbungkan khemah dan perlu menampung sehingga 7 – 9 orang dalam satu –
satu masa. Sudah ada peruntukan untuk mereka. Peruntukan untuk mangsa bumi
Nepal tu peruntukan lain pula… Kata mereka. Entah. Karenah pentadbiran dan
pengurusan pihak atasan belum dapat aku faham sampai ke hari ini. Mana pemerintah dari kerajaan pusat mahupun daripada kerajaan negeri? Takkan hanya mengharapkan NGO dan juga aktivis seperti Raja Shamri?
Bukan hendak mengatakan yang kerajaan tidak berusaha. Usahanya ada. Kesannya ada. Persoalannya, mengapa begitu mengambil masa yang agak lama dalam membantu mereka ini. Adakah pilihan raya kecil membuatkan kerajaan terpesong buat seketika? Adakah peruntukan untuk mereka ini beralih kepada pilihan raya kecil ini? Jikalaulah betul...
TRAGEDI MYVI
Beralih kepada isu kematian
sepasang suami isteri bersama dengan anak mereka di lebuh raya Duke dalam
kemalangan yang membabitkan pemandu kereta Myvi. Dikatakan pemandu Myvi itu
berlumba sesama mereka dan merempuh kereta mangsa dari belakang. Mangsa
tercampak keluar dan telah meninggal dunia dan meninggalkan dua orang anak yang akan meneruskan hidup tanpa ayah dan juga ibunya.
Maka, jadi viral lah cerita ini
sehinggakan ramai artis pergi melawat dua beranak yang ditinggalkan pasangan suami isteri yang menjadi mangsa tragedi
pemandu Myvi. Sebab apa untuk diviralkan? Apa motifnya? Kenapa anak –
anak sepasang ibu bapa yang mati digilis lori ketika membonceng motosikal suatu ketika dulu tidak diviralkan seperti ini? Tidak mencuri keprihatinan barisan artis kita?
Apakah faktor yang membezakannya?
Susulan daripada isu rempuhan
daripada sikap cuai dan tidak bertanggungjawab pemandu Myvi ini, pemilik kereta
Myvi yang lain turut menerima tempiasnya dek kerana kebebalan dan kebodohan
sebahagian rakyat kita sendiri. Banyak kereta – kereta Myvi menjadi sasaran
mereka ini untuk melepaskan geram disebabkan kesilapan penjenayah jalan raya
tersebut. Tidak pasal – pasal cermin tingkap pecah dan juga kereta kemek.
Mereka ini seolah – olah menganggap yang kereta Myvi inilah yang salah. Menghukum
kesemua kereta Myvi yang bersalah dan patut dikenakan hukuman tak kira siapa
pemiliknya. Gila bukan? Mentaliti sesetengah rakyat Malaysia. Akhlak tiada.
Sahsiah kurang. Pendek akal. Nyata disini yang salahnya bukan kereta, tetapi pemandunya.
Isu ini beransur menjadi tenang
dengan kes ini sudah pun dibicarakan di mahkamah. Pemandu – pemandu Myvi tersebut
mengaku tidak bersalah dalam kemalangan itu. Tunggu hujah peguam dan tunggu
keputusan hakim yang menentukan. Jangan risau, mahkamah akhirat masih ada jika
yang bersalah itu terlepas. Jangan terlampau emosi dalam menghukum sesuatu
perkara. Bukankah tersalah memaafkan itu lebih baik daripada tersalah
menghukum? Tak setuju? Prinsip masing – masing. Terpulang.
TIADA PELUANG KEDUA BUAT
PEDOFIL?
Bergerak kepada isu pedofil yang
juga turut mencuri keprihatinan para jaguh keyboard di Malaysia. Seorang yang
genius Matematik didapati bersalah atas jenayah mempunyai sejumlah koleksi video dan
juga gambar lucah budak bawah umur. Angka jumlah koleksi oleh individu terbabit membuatkan aku terfikir sejenak. Sungguh tidak masuk akal buat seorang genius. Ianya menguatkan fakta dari kajian saintifik yang menyatakan seseorang yang genius berpotensi mempunyai imaginasi seks yang tinggi. Genius. Ada pro dan kontra. Iman sebagai benteng kepada kontranya!
Pesalah adalah orang Malaysia dan sedang
menuntut di sebuah kolej di London (kalau tak silap). Menjadi trending dan amarah rakyat Malaysia bila
MARA dikatakan masih menimbang untuk tidak menarik balik biasiswa kepada
pelajar ini dalam menghabiskan pelajarannya. Awalnya membuat keputsan untuk terus mengekalkan pelajar ini dibawah tanggunan mereka. Adakah patut MARA terus menaja
pelajar ini ataupun menarik balik tajaan tersebut tanpa kompromi dan belas kasihan?
Hebatnya para jaguh keyboard ini
bilamana MARA dengan yakinnya membuat keputusan untuk berhenti menaja pelajar
ini. MARA nekad dan keputusannya adalah muktamad. Nosecondchance adalah trending yang digunakan oleh pengguna – pengguna laman Twitter
sebagai suara bantahan untuk mendesak MARA menarik balik penajaannya. Mungkin
disini kita boleh lihat peranan dan fungsi keyboard warrior. Suara mereka
ibarat suara majoriti yang seakan sebagai jalan mudah untuk media cetak atau
pun media elektronik membuat liputan. Tiada peluang kedua buat pedofil. Tak bermaruah.
Bagi aku, semua manusia berhak
untuk mendapat peluang kedua. Kita tidak tahu masalah mereka. Hanya mendengar cerita sebelah pihak. Adakah itu adil buat dia?
TABUNG HAJI DAN 1MDB
Akhir sekali yang menjadi tumpuan
rakyat Malaysia buat masa sekarang adalah isu 1MDB. Isu politik yang mendapat
ranking nombor satu Malaysia kalau diikutkan daripada pemerhatian peribadi.
Mana tidaknya bila Tun Mahathir sendiri yang terlibat dalam menghangatkan isu
ini. Sejak dua menjak ini, Tun Mahathir nampak begitu terkehadapan dalam
mempertikaikan pentadbiran Perdana Menteri sekarang ini, Datuk Najib.
Kalau sebelum ini, hanya Anwar Ibrahim dan
Rafizi Ramli yang menghangatkan kerusi pentadbiran Datuk Najib dengan menyebut
ketirisan dan penyelewangan dana – dana dalam kerajaan. Mungkin bosan dengan dua
individu ini, satu percaturan telah diatur dan berjaya membisukan seorang
daripada dua individu ini di balik tembok batu berpintukan besi.
Tentu mereka tidak menyangka ada
satu lagi King yang baru memasuki petak pertempuran. Musuh yang tidak dijangka
adalah musuh yang paling sukar untuk ditumpaskan. Bukan begitu? Tun Mahathir
ibarat senjata baru buat pihak pembangkang dalam terus menujah jatuh
pentadbiran Datuk Najib. Awalnya GST, kemudian 1MDB. Isunya sekarang ini bila
Tabung Haji terlibat dalam pembelian aset 1MDB.
Tun Mahathir menyifatkan
tindakan Tabung Haji ini adalah satu bailout atau pun cara pemulihan syarikat
1MDB yang bergelumang dengan hutang. Apa yang menjadi pertikaian adalah Tabung
Haji sebagai amanah dalam memegang duit simpanan bertindak dengan sewenangnya membeli tanah
daripada anak syarikat 1MDB. Yang dikesali apabila harganya tidak masuk akal.
Nampak dengan jelas yang ianya adalah satu langkah untuk menyelamatkan 1MDB
yang sudah lemas ditimbus hutang.
Ketaranya bila orang atasan
Tabung Haji rupanya adalah orang yang berkepentingan dalam carta organisasi
syarikat 1MDB. Orang atasan Tabung Haji adalah orang yang sama dalam menjawat
jawatan – jawatan tinggi dalam syarikat 1MDB dan anak syarikatnya. Adakah ini
tidak menjadi kesangsian kepada rakyat? Kepada penyimpan – penyimpan di Tabung
Haji? Duit yang diamanahkan untuk mengurus para pendeposit ini mengerjakan haji
di Tanah Suci Mekah dengan sewenangnya dirobek untuk membeli tanah yang
harganya langsung tidak masuk akal.
Di sinilah tampilnya Tun Mahathir dalam
menyuarakan kepincangan yang dibuat oleh Datuk Najib. Apakah kesudahannya?
Adakah Datuk Najib menyahut saranan pembangkang untuk turun sebagai Perdana
Menteri Malaysia? Selepas serangan bertubi - tubi daripada Tun Mahathir sebelum ini, dengan kes Altantuya, kemewahan dalam majlis perkahwinan anaknya, dan kekayaan oleh anak tirinya dengan memberli hartanah di luar negara, Datuk Najib nampak tidak goyang walaupun sedikit dan telah membalas serangan tersebut dengan menyatakan yang beliau akan berkhidmat dengan adil untuk rakyat dan juga negara Malaysia. Sejauh mana perjalanan episod drama ini menemui kesudahannya...?
'sakit' di sana sini....
ReplyDeleteEntah... Pening jap tgk negara kita ni. Org yg duduk dlm khemah tak pula dipedulikan. Kenapa mesti susukan kera kat hutan dulu sedangkan rakyat kita ramai lagi yg menderita.
ReplyDelete