Rohingya, Apa Nasibmu di Dunia Ini Kelak?
15 Mei 2015 menyaksikan satu lagi
tragedi yang boleh dipertikaikan tentang nilai kemanusian bagi tiga buah negara. Malaysia, Thailand dan juga
Indonesia. Berita Reuters melaporkan yang sebuah kapal yang memuatkan kira –
kira 400 orang pelarian Rohingnya berlayar tanpa arah di Teluk Andaman dan
ketiga – tiga negara ini nampaknya tidak mahu menerima kedatangan mereka.
Mereka tidak dibenarkan memasuki perairan negara masing – masing. Apa yang menyedihkan lagi, Indonesia dan
Malaysia merupakan negara yang majoritinya adalah Islam dan merupakan saudara
seagama dengan pelarian Rohingnya tersebut.
Rohingnya sudah hilang arah dan
sudah tiada tempat untuk dituju. Di tanahnya sendiri pun sudah diusir oleh
pelampau Buddha dan tentera Burma. Kehormatan, harta dan hak mereka dirobek
dengan rakus oleh pelampau agama. Bukan setakat diusir, malahan sudah beribu –
ribu saudara seIslam kita dibunuh disana. Di manakah sensitiviti kita bila mana
saudara – saudara kita diperlakukan dengan sedemikian rupa? Deria sensitif kita
sudah lumpuh? Mungkin tiada ibu, kakak, adik dan keluarga kita di sana. Mungkin
definisi ‘saudara’ itu hanya setakat pertalian darah sahaja. Tiada istilah
pertalian saudara sesama agama dan Islam. Pertalian saudara yang memegang satu
akidah yang sama dengan bertuhankan Allah Yang Satu dan Rasulullah sebagai
utusanNya. Kita kurang kesedaran tentang definisi itu dalam kehidupan kita.
Tapi, apa yang menghairankan aku,
bilamana kita berbicara tentang nasib umat Islam di Palestin mahupun di Syria,
kita lebih lantang dan terkehadapan. Banyak badan – badan NGO ditubuhkan untuk
membantu mereka di sana. Bukan aku nak pertikaikan usaha mereka dalam
memberikan bantuan dan bukan bermaksud nak merendah – rendahkan usaha mereka.
Cumanya, aku sedikit kehairanan. Seolahnya kaum Rohingnya ini disisihkan.
Didiskriminasikan oleh saudara seagama sendiri. Mungkinkah atas sebab faktor
warna kulit dan juga paras rupa? Mungkinkah juga Islam mereka tak sekuat umat
Islam di Palestin dan Syria? Mungkinkah juga bala dan musibah yang ditimpa
mereka hanya biasa - biasa sahaja dan
tidak memerlukan pertolongan yang berlebihan? Kalau tidak, mana mungkin
Malaysia pun mengusir mereka daripada memasuki perairan.
Tulisan ini hanya suara kecil
hati aku. Ada kehairanan yang ingin disuarakan. Suara kecil rakyat marhaen ini
siapa yang mahu mendengarnya? Mungkin tulisan aku ada silapnya. Maaf dipinta,
ampun dipohon sekiranya ada salah dan silap. Apa yang salah kita sama – sama betulkan.
Kan?
P/S : Kita susah nak sedarkan diri sendiri selagi mana ianya tidak menimpa atas tubuh badan kita sendiri.
kesiannya dekat dorang kan. klu kita kat tempat dorang macam mana lah pulak...
ReplyDelete