KANTOI MENIPU; MURABBI PERLU DOAKAN YANG BAIK-BAIK
Secebis padang untuk sisa rumput tumbuh di MTAQA |
Ini adalah kisah daripada emak pelajar sendiri. Untuk sepanjang PKPP ini, sekolah masih lagi tidak dibuka dan pelajar tingkatan 1-4 meneruskan pembelajaran dari rumah. Untuk pelajar tahfiz, sesi tasmi' secara online berjalan sejak awal PKP lagi dan diteruskan sehingga kini.
Banyak cabaran, dan banyak juga halangan sebenarnya untuk menjayakan sesi tasmi' secara online ini. Ye lah, benda ini adalah benda baharu. Normal baharu untuk pelajar mahupun para guru. Apa pun, tasmi' mesti diteruskan untuk anak-anak tahfiz.
Nak dijadikan cerita, ada seorang ibu pelajar tingkatan 2 ni mesej aku. Bertanya ada tak Ustaz B yang merupakan rakan sekerja aku ni bercerita tentang anaknya. Aku cuma menjawab tak ada dan sememangnya tak ada. Rakan sekerja aku tu pun jarang nak bersua sekarang memandangkan masing-masing buat kelas di tempat masing-masing. Kalau selisih pun ketika nak thumbprint.
KANTOI
Aku membalas mesej mak pelajar tersebut, "Cerita apa tu kak? Ali ada buat apa-apa ke?"
"Macam ni ustaz, ada masa sesi tasmi' tu, Ali nak sangat habiskan juzuk 7 tapi dia sangkut-sangkut masa tasmi' tu. Jadi, kak pun gatal tangan pergi buka Quran untuk dia tengok."
"Nak dijadikan cerita, kantoi dengan Ustaz B yang Ali ni tengok Quran. Memang sebelum ni, tak pernah Ali buat macam tu. Memang tak pernah tengok Quran semasa tasmi'."
"Kak pula sebagai mak jadi kesian bila tengok anak bersungguh nak habiskan juz tetapi sangkut pula. Jadi, rasa nak bantu, biar pun kak tahu benda tu salah. Kak tahu itu salah kak."
Aku balas mesejnya, "Lepas tu kak? Ustaz tu cakap apa?"
"Ustaz tu suruh Ali mengaku. Tapi kak suruh Ali jangan mengaku. Bukan apa, kak takut nanti cerita Ali menipu masa tasmi' ni tersebar dalam kalangan ustaz dan menjadi satu aib buat Ali. Kak tak nak la jadi macam tu. Takut Ali ni down nanti"
DOAKAN KEBURUKAN
"Lepas tu, Ustaz B cakap dia doakan Ali tak ingat Quran sekiranya Ali ni menipu. Dia nak Ali mengaku juga."
"Akak geram bila dia cakap macam tu. Tak patut Ustaz doakan Ali macam tu."
Aku balas mesej dia, "Saya rasa Ustaz B tak ada niat pun nak doakan Ali macam tu. Mungkin dia nak Ali ni takut sikit dan mengaku kesalahan dia."
"Tapi ustaz, tak patut la kan doakan Ali ni tak ingat Al-Quran."
"Ya, tak patut," aku membalas. Akur dengan pendirian akak tersebut.
"Akak rasa masa tu akak nak tukarkan sekolah dah Ali ni. Akak tahu Ali ni menghafal slow, tak laju. Ustaz ni tak pandang pun Ali sebab dia hafal slow. Kalau pelajar yang laju, boleh pula dia puji. Tak macam Ustaz S hari tu. Siap puji Ali ni mumtaz walaupun slow menghafal."
Aku membalas lagi, "Saya rasa la kak, Ustaz B tu tak ada niat nak doakan macam tu dekat anak murid dia. Doa supaya tak ingat Al-Quran. Tapi walaupun tak niat, ya. Itu adalah satu doa dan tak elok ustaz B doakan Ali macam tu walaupun niat di hati lain, ucapan di mulut pula lain. Ucapan tu mungkin boleh mengguriskan hati orang lain dan mana tahu benda tu dimakbulkan Allah."
MUHASABAH
Jawapan aku cuba untuk tidak menyalahkan sesiapa. Tidak mahu nak memburukkan sesiapa. Situasi ini ada hujah yang tersendiri di kedua belah pihak dan aku pasti, setakat ini aku cuma mendengar hujah dari sebelah pihak. Lagipun, pihak tersebut sudah mengaku yang dia salah. Cumanya tidak berpuas hati dengan tindakan dan cara sebelah pihak lagi.
Harapnya, ibu pelajar ini tidak memindahkan anaknya ke sekolah yang lain. Ini mungkin ujian untuknya sebagai ibu untuk memilih sama ada teruskan pelajaran anak dengan Al-Quran atau pun memindahlan anak ke sekolah yang tidak mempunyai silibus Al-Quran.
Ini adalah cerita benar. Bagi aku, sebenarnya tak patut Ustaz B mendoakan pelajarnya sedemikian rupa. Aku tahu. Aku juga pernah alami. Niat sebenarnya cuma nak takutkan pelajar tu sahaja sebab kita sudah yakin yang pelajar tu menipu. Kita tidak marah, cuma kita mahu pelajar kita jujur.
Tapi bila muhasabah, guru yang baik tidak akan mengugut pelajarnya dengan doa yang sedemikian. Sepatutnya begitu. Mana tahu, Allah makbulkan doa kita sebagai guru biar pun tidak pernah terlintas untuk membenarkan doa tersebut. Usia mematangkan kita. Muhasabah menjadikan akal kita semakin dewasa. Makin waras. Makin redha.
Comments
Post a Comment
Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.