JUMAAT PERTAMA DI BUMI ASRIAH
Fauzan di hadapan menyampaikan khutbah Jumaat |
Malaysia sekarang dalam tempoh pemulihan yang diberi nama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membendung virus COVID19 yang mula tular pada Mac lepas. Pun begitu, sepanjang PKPP ini, masjid telah dibuka dan orang ramai boleh solat jemaah di masjid.
Begitu juga dengan solat Jumaat, namun ianya terhad sehingga masjid penuh sahaja dengan penjarakan 1 meter antara seorang dengan yang lain semasa di dalam masjid.
SOLAT JUMAAT DENGAN PENJARAKAN 1 METER DI MASJID
Bermakna, sekiranya solat Jumaat, tak semua orang yang berada di mukim tersebut dapat solat Jumaat. Sebab biasanya kita lihat, masjid sentiasa penuh pada solat Jumaat. Jadi, sekiranya dijarakkan 1 meter antara seorang dengan seorang yang lain, bermakna hampir separuh sahaja yang boleh hadir berbanding kapasiti asal yang dapat memuatkan jemaah.
Berbalik kepada asrama sekolah tempat aku bekerja, pelajar di sini cuma berjumlah 37 orang sahaja. Hendak ikut kebiasaan dengan pergi solat Jumaat di Bandar Pasir Mas, semestinya tidak mendapat persetujuan pihak pengurusan masjid. Ini kerana anak mukimnya sendiri ada yang tak dapat bersolat Jumaat. Ini pula anak-anak tahfiz yang duduk merata tempat.
Jadi, PKHEM sekolah aku mencadangkan untuk melaksanakan solat Jumaat di masjid sekolah sahaja. Tidak pernah dibuat sebelum ini. Jadi, aku sebagai warden bersetuju sahaja. Patuh pada arahan pentadbir. Hehe.
SOLAT JUMAAT DI MAAHAD TAHFIZ AL-QURAN AL-ASRIAH
Jadi, benda ni sebenarnya senang je sebab ia melibatkan pelajar tingkatan 5 yang pemikirannya sudah sedikit matang. Sudah tahu banyak perkara. Tugas aku cuma berikan arahan kepada mereka. Biar mereka urus sendiri. Ajar mereka mengurus diri mereka sendiri.
Aku panggil 2 orang pelajar. Masing-masing ketua pelajar dan juga ketua asrama. Aku terangkan kepada mereka tentang solat Jumaat yang akan didirikan di Masjid MTAQA.
"Ustaz nak semua pelajar turun awal dan semuanya sudah siap dalam dengan wudhuk' sebelum masuk waktu Zohor," aku berikan penjelasan kepada mereka apa yang perlu mereka buat.
"Ustaz tak nak ada pengumuman di asrama yang mengarahkan pelajar untuk turun dan mengosongkan asrama kerana nak solat Jumaat di masjid kita," aku berikan peringatan tentang ini kerana kebiasaan mereka selalu bagi arahan melalui pembesar suara di asrama.
Aku takut pengumuman mereka akan didengari oleh masyarakat sekeliling dan risau sekiranya ada yang datang curi solat Jumaat sekali dengan pelajar.
"Nah, ini khutbah Jumaat nanti. Cari seorang khatib selaku imam solat. Baca kesemua khutbah yang ada di dalam kertas tu. Pastikan baca semuanya kerana di dalamnya sudah terdapat rukun-rukun khutbah. Tak lama pun, ustaz yakin dalam 10 minit dah habis dah khutbah," aku menghulurkan teks khutbah yang diprint dari laman web JAKIM kepada mereka.
"Persediaan tempatnya, cuma pastikan ada kerusi, mikrofon yang berfungsi. Itu sahaja. Tongkat tak payah tak apa sebab memang tak ada. Benda tu tak wajib. Tak apa," aku bagi penjelasan terakhir.
"Beres ke dop? Faham ke?" Aku bertanya meminta kepastian.
"Faham ustaz." Mereka menggangguk.
"Okay, kalau faham tak apa lah. Ustaz nak tengok semua berjalan lancar. Nanti dekat waktu Zohor ustaz pergi ke masjid untuk tengok macam mana kerjasama pelajar. Okay, terima kasih."
********
Alhamdulillah. Solat Jumaat pertama di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Asriah berjalan dengan lancar. Khutbah pun jelas dan padat dibaca oleh pelajar bernama Fauzan. Bilal pun boleh tahan lunak suaranya yang mengalunkan azan. Namanya Alif Muhammad.
Pelajar ini sebenarnya ada bakat, ada kemahiran dan ada kebolehan. Terpulang kepada guru, kepada pendidik untuk gilap mereka menjadi permata atau kaca. Beri mereka peluang!
Comments
Post a Comment
Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.