Perginya Seorang Murabbi Tercinta
Gambar semasa sambutan hari guru 29 Jun 2015 |
8 Jun 2015. Satu lagi episod duka dalam diari perjalanan
kehidupan. Jauh dari lubuk hati aku sedar dan yakin yang ini adalah satu
kehidupan yang sementara. Satu perjalanan dalam menuju ke sebuah kehidupan yang
kekal abadi. Mungkin episod ini adalah satu peringatan dan juga satu wisel
untuk menyedarkan diri yang sering kali lalai ini akan sebentarnya kehidupan di
atas muka bumi ini.
Pagi Isnin, 8 Jun 2015. Satu mesej dari group whatsapp
kedengaran dan terpapar di skrin smartphone aku. Luhurnya hati ini bila mesej
itu mengatakan yang Ustaz Nasrudin Saufi telah pulang mengadap penciptanya pada
pukul 6;30 pagi tadi. Aku tergamam seketika bila menerima mesej tersebut. Terus
ku reply adakah ianya betul – betul sahih dan benar biarpun hati ini sudah arif
akan mesej sebegini. Ianya bukan lagi satu permainan dan gurauan.
Ternyata, berita itu adalah suatu kebenaran. Suatu kebenaran
yang perlu ditelan dan dihadam walaupun ianya satu berita yang perit dan pedih.
Berita itu disahkan pula oleh individu lain yang merupakan rakan sekerja Ustaz
Nasrudin yang isterinya sendiri memaklumkan berita sedih itu menerusi panggilan
telefon. Ternyata, murabbi dalam bidang Al – Quran sudah pergi mengadap Illahi
pada pagi Isnin, 8 Jun 2015.
Aku tergamam. Baru semalam ( 7 Jun 2015), aku dan Ustaz Din
berbicara mesra di tempat kenduri anak muridnya yang merupakan kawan aku. Batang
tubuhnya nampak sihat dan kuat. Bicaranya penuh senyuman dan nampak ceria.
Tapi, ternyata itu semua tidak boleh dijadikan alasan dan sebab untuk tidak
dapat menerima kematian Ustaz Din. Satu bukti yang betul – betul boleh
dijadikan sandaran yang tidak semestinya orang sihat dan kuat tubuh badan itu
tidak akan mati. Tidak semestinya orang yang terlantar sakit akan pergi dahulu.
Aku melontar balik kenangan silam pada tahun 2004. Tahun di
mana aku mula – mula memasuki Maahad Tahfiz Al – Quran di Pulai Chondong. Aku
masih berada di tingkatan satu dan masih lagi mentah dan sudah di’paksa’ oleh
kedua orang tuaku untuk memasuki alam menengah dengan menghafal Quran. Apakan
daya, anak yang soleh itu adalah anak yang mengikuti apa yang orang tuanya
kehendaki. Aku turuti. Masa itu aku sudah tahu tentang dosa derhaka.
Aku mula mengenali Ustaz Nasrudin Saufi di awal tingkatan
satu lagi bilamana aku dan beberapa belas orang pelajar lain lagi terpilih untuk
menjadi anak muridnya bagi kelas Al-Quran. Awal – awal lagi aku sudah
dimomokkan oleh pelajar senior yang Ustaz Nasruddin ini garang tuannya. Tegas.
Sedikit sebanyak momokan itu berjaya memperdayakan motivasi dan menyebabkan
diri ini begitu kecut bilamana pertama kali berhadapan dengan Ustaz Nasrudin.
Kelas Al-Quran kami dibuat di satu bilik khas yang dinamakan
bilik seminar. Tertutup dan tiada gangguan bunyi dari pelajar lain ataupun
kelas lain. Ternyata, memang betul apa yang dimomokkan oleh pelajar senior tentang
sosok tubuh Ustaz Nasrudin bila mana kelas pertama untuk sesi 2014 bermula.
Walaupun mukanya putih bersih, mimik mukanya yang garang tidak mampu
dipadamkan. Aku tahu, ini adalah permainan psikologi yang sudah ditanam sejak
mendengar desas desus tentang kebengisan dan ketegasan Ustaz Nasrudin.
Perwatakan Ustaz Nasrudin begitu simple dan ringkas. Berkopiah putih, berbaju ala – ala baju raihan,
bersluar slack dan berkasut hitam kilat. Rambutnya sentiasa kemas dan pendek
dan ditambah dengan janggut yang lebat kehitaman walaupun tidak lah begitu
panjang sampai segenggam tangan. Ini lah perwatakan dan penampilan Ustaz Nasrudin.
Cumanya, setiap kali dia memasuki kelas Al-Quran, tidak akan tertinggal ‘senjata’ rahsianya untuk habuan anak
muridnya. Sejenis batang gam getah yang putih.
Kumpulan aku tidak ada masalah pada hafalan. Hanya ada seorang
dua yang bermasalah. Itu pun disebabkan oleh masalah malas menghafal. Kembali
kepada kelas pertama kami, semua murid nampaknya begitu senyap dan tidak berani
bersuara apabila Ustaz Nasrudin mula melangkah kaki memasuki kelas. Semua
tunduk dan terus mengadap Al-Quran biarpun pada awalnya begitu rancak berbual –
bual kosong. Aura Ustaz Nasrudin ternyata begitu kuat.
Ustaz Nasrudin mengambil tempatnya di hadapan. Batang getah
gam tidak lekang daripada tangannya. Beberapa minit berlalu tapi tiada seorang
pun yang berani tampil ke hadapan untuk memperdengarkan hafazan mereka. Aku pun
sama. Hanya memerhatikan siapa yang berani membuat langkah pertama tampil ke
hadapan. Langkah pertama atau pun langkah seribu? Tidak mungkin langkah seribu.
Jauh sesekali.
Selang 10 minit, Ustaz Nasrudin mengukir senyuman. Senyuman
yang begitu manis dan enak dipandang. Senyuman yang dapat mencairkan anak
muridnya dalam menawarkan rasa bimbang tentang kebengisan Ustaz Nasrudin yang
dimomokkan oleh pelajar senior sebelum ini. Ustaz Nasrudin bersuara,
mempelawakan sesiapa yang ingin tasmi’ untuk tampil kehadapan dan berhadapan
dengannya. Kaki ini kaku. Masih tidak
berganjak dari tempat dudukku.
Salah seorang daripada kami bangun, melangkah ke hadapan.
Nampak begitu yakin untuk memperdengarkan hafazannya. Biasanya, awalnya
dibacakan Surah Al – Fatihah dan diiringi dengan Surah As-Sajadah. Sukatan yang
telah digariskan oleh pihak sekolah untuk matapelajaran Al-Quran bagi tingkatan
satu. Tertib sukatan bermula dari Surah As-Sajadah, Yasin, Ad-Dukhan, Al-Mulk,
Juz 30 dan selepas itu baru dimulai dengan Juz 1 Surah Al – Baqarah hinggalah
kepada Juz 30. Semua itu perlu dihabiskan dalam masa 4 tahun.
Orang yang pertama tasmi’ nampaknya mengambil masa dalam 15
minit dalam perkiraan aku. Aku ingat – ingat lupa. Ustaz Nasrudin ternyata
begitu cermat dan tegas dalam ilmu tajwid. Penekanannya dalam ilmu tajwid
ketika membaca Al-Quran begitu teliti sekali. Bayangkan Surah Al – Fatihah sahaja
mengambil masa paling kurang 10 minit. Semuanya diperbetulkan. Dari tajwid,
dengung, berapa panjang mad, sebutan huruf yang betul dan semua yang merangkumi
ilmu tajwid. Kelas pertama hanya memperdengarkan Surah Al – Fatihah dan itupun
masih belum ada pelajar yang tidak sempat tasmi’.
Tiba giliran aku. Sedikit berdebar dan menggigil ketika
melangkah menuju ke arah Ustaz Nasrudin. Entah. Apa yang didebarkan pun aku tidak
jelas pada masa tersebut. Sebelum pergi, aku sudah berlatih beberapa kali
dengan kawan aku yang sudah lepas. Perkemaskan mana yang masih lagi longgar
dalam ilmu tajwid. Aku tahu, ini tidak akan 100 peratus melepasi piawaian Ustaz
Nasrudin, tetapi paling tidaknya, 50 peratus sudah memadai. Hanya sebagai asas.
Aku memperdengarkan bacaan. Walaupun tidak lunak. Aku tak
kisah. Walaupun tidak semerdu Sudais ataupun Shuraim, aku tak endahkan. Apa
yang aku tekankan pada masa itu hanyalah tajwid. Panjang pendek, dengung izhar
aku berhati – hati takut ada yang tersalah. Dan, ternyata ianya memang ada
salah. Semuanya dalam jangkaan aku. Aku reda. Hanya dengar apa yang Ustaz
Nasrudin betulkan dan aku ikut kembali. Tegas? Memang aku benarkan.
Pada masa itu, Ustaz Nas (panggilan popular Ustaz Nasrudin
dalam kalangan pelajar) meng’highlight’kan kesalahan aku. Katanya, kurang aku
cumalah tidak buka mulut semasa menyebut huruf. Malas nak buka mulut. Dia buat
contoh bagaimana yang sepatutnya aku buat. Contoh yang jelas, masa sebut tu
kena buka mulut ke tepi mengikut kesesuaian sebutan huruf. Kalau alif, buka
lebar ke tepi. Biar hujung bibir tu hendak mencecah telinga. Kalau baris atas,
pergerakan mulut lain pula. Satu pelajaran buat aku.
Apa yang paling lucu adalah bilamana ada yang tidak ikutkan
apa yang Ustaz Nas tegur. Contohnya, buka mulut dengan betul. Walaupun ditegur
berkali – kali, ada pelajar yang nampak begitu sukar untuk menyebutnya kembali,
akan keluar dari mulut Ustaz Nas, “Kenapa susah sangat nak buka mulut? Ada emas
ke kat dalam tu?”. Jika pelajar tersebut nampak begitu degil, dan susah untuk
ikut apa yang diajarinya, satu tamparan dari batang gam getah akan hinggap di
tapak tangan. Tidaklah sakit, tapi ianya pedih untuk seketika.
Caranya memang berkesan. Bilamana berulang kesalahan yang
sama, akan hinggap tamparan di tapak tangan tanpa banyak bicara. Secara
sendiri, pelajar tahu apa kesalahan yang dibacanya dan cepat – cepat akan
diperbetulkan. Ini apa yang aku nampak daripada cara pembelajaran Ustaz
Nasrudin akan buat pelajar itu akan berhati – hati dalam membaca ayat – ayat yang
kehadapan bimbang kalau – kalau hinggap batang gam getah pada tapak tangan
mereka. Pedih.
Batch aku hanya sempat setahun dengan Ustaz Nas. Masuk tahun
kedua (2005), Ustaz Nas mengambil alih tingkatan satu. Mungkin perkiraannya,
kami sekarang ini sudah kemas dalam bacaan biarpun masih tidak menepati
skemanya seratus peratus. Paling kurang, setanding dengan qari – qari antarabangsa.
Ceewah. Tapi, segalanya adalah suatu kenangan. Mungkin pada awalnya kami semua
menggambarkan satu kelas yang ngeri tanpa keceriaan, kelas yang suram tanpa
senyuman tapi ternyata penghujungnya adalah kemanisan dalam menuntut ilmu.
Aku masih ingat, ada seorang rakan sekelas aku yang selalu
menjadi perhatian Ustaz Nasrudin. Ustaz Nasrudin telah mengenal pasti yang
rakan aku ini mengalami masalah dalam menyebut huruf ‘ro’. Sebutannya tidak
akan berbunyi ro. Tidak ada getaran dan tidak jelas sebutan huruf ‘ro’.
Lidahnya sukar untuk menyebut huruf ‘ro’ dengan betul. Aku dan rakan sekelas
yang lain kadang – kadang terbit rasa kasihan walaupun ada juga kadang –
kadang, kami ini nakal dan siap mengejeknya dengan huruf ‘ro’. Cuma gurauan.
Setiap kali kelas, rakan aku ini akan dikenakan hukuman
berdiri di atas kerusi sambil menyebut huruf ‘ro’ sampai ianya betul – betul berbunyi
huruf ‘ro’ 100 peratus. Azab latihannya mungkin dia seorang sahaja yang tahu.
Seingat aku, latihannya mengambil masa berbulan – bulan untuk suatu hasil yang
memuaskan hati Ustaz Nasrudin. Pernah aku melihat, air matanya meleleh bilamana
berhadapan dengan Ustaz Nasrudin ketika memperdengarkan hafazannya. Ketika itu,
sebutan huruf ‘ro’nya masih belum sempurna. Selalu hinggap ditangannya senjata
rahsia Ustaz Nasrudin.
Cekalnya Ustaz Nasrudin terhadap anak muridnya, beliau tidak
berputus asa dalam mengajarnya biarpun hanya satu sebutan huruf ‘ro’. Semangat
didiknya inilah yang membuatkan semangat anak muridnya juga tidak pernah luntur
dan berazam untuk menyebut huruf ‘ro’ dengan betul. Ternyata, usaha yang
diiringi dengan doa daripada ustaz berbuah hasil walaupun ianya sedikit memakan
masa. Terpacar sinar kebanggaan dan kepuasan di wajah Ustaz Nasrudin dan anak
buahnya tadi. Pasti, anak muridnya tadi berterima kasih sebesar gunung kerana
dia mampu menyebut huruf ‘ro’ dengan betul.
Sebenarnya tiada kata, tiada ucapan, tiada hadiah yang mampu
menandingi jasa Ustaz Nasrudin dalam mendidik anak muridnya dengan ilmu
Al-Quran. Sikap cekal dan tabahnya dalam mendidik kadang – kadang begitu
menguji kesabaran tetapi dia tetap bersahaja dan tenang dalam menghadapinya.
Kerenah setiap orang pelajar bukannya mudah nak tangani. Diselitnya juga sekali
dengan akhlak dan sahsiah yang mantap semasa mendidik agar ianya menjadi ikutan
anak muridnya.
Terima kasih tak terhingga Ustaz Nasrudin. Doa kami sentiasa
mengiringimu. Moga dikau tenang di sana, moga dikau tergolong dalam golongan
orang yang sedang berada di taman syurga sebelum kita semua dibangkitkan di
akhirat kelak. Moga dikau terhimpun bersama dengan para soleh dan para rasul di
syurga nanti. Aku tahu, pengakhiran kita di dunia ini tetap sama. Permulaan
kita di negeri akhirat juga akan sama. Moga, tempat terakhir kita di akhirat
juga sama iaitu di Syurga Firdaus.
Anak muridmu,
Sedihhhhh
ReplyDeleteInna lillah wa inna ilayhirojiun...semoga syurga lah tempatnya. Sedih..terharu.. baca nukilan HJ ni.
ReplyDeletesedihnya baca huuu. besar pahala dia kan dik mengajar ilmu al quran ni. teringat pulak kt arwah uztaz ngaji akak.
ReplyDeletemoga dorang ditempatkan bersama para solehin amin
Innalillahwainnailahirojiun.... semoga arwah ditempatkan dikalangan para syuhada...
ReplyDeletesaya jumpa ustaz pat kenduri n ustaz nash teringat pengantin lelaki pun serupo ustaz.. alhamdullilah sekarang bergelar ustaz
ReplyDelete