Perbahasan Ringkas tentang Bau Mulut Orang yang Berpuasa

Salam Ramadhan 1436 Hijri. Suatu lagi nikmat yang diberikan oleh Allah Taala. Apakah dengan nikmat ini kita mahu mensia - siakannya tanpa beroleh keampunan daripada - Nya dalam bulan yang mulia ini? Tepuk dada tanya iman, tepuk dahi tanya akal.

Satu perkongsian yang ingin dikongsi bersama. Mengenai hadis Rasulullah s.a.w tentang bau mulut orang berpuasa yang lebih wangi dari kasturi di sisi Allah. Perkongsian ini adalah dari saudara Dzulkhairi yang merupakan seorang senior di sekolah saya dahulu.

*************************

Perbahasan Ringkas tentang Bau Mulut Orang yang Berpuasa
Hadis perbincangan:
حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مَسْلَمَةَ عَنْ مَالِكٍ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنْ الْأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الصِّيَامُ جُنَّةٌفَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ وَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي الصِّيَامُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا
Terjemahan bergaris: “Demi diriku di tangan-Nya, bau mulut orang berpuasa benar-benar lebih baik di sisi Allah taala daripada bau kasturi.” (al-Bukhari, kitab al-sawm, bab Fadl al-sawm, no. 1894)
Persoalan yang timbul ialah, Allah taala adalah Tuhan yang kaya daripada sifat-sifat kemanusiaan seperti menghidu. Ini bermaksud, bau wangi atau busuk langsung tidak memberikan kesan kepada zat Allah taala. Untuk memahami kehendak hadis ini secara tepat, ulama telah memberikan beberapa pandangan. Al-Hafiz Ibn Hajr dalam Fath al-Bari telah mendatangkan sebanyak enam pandangan ulama.

(1) Hadis ini menggunakan bahasa kiasan (majaz) untuk memudahkan kefahaman kita. Ini kerana Nabi s.a.w. biasa menggunakan perkataan atau ayat yang mudah untuk difahami dan menimbulkan keserasian. Pada pandangan kita sebagai manusia, kita sangat senang hati dengan bauan yang wangi. Jadi ini akan memberikan semangat kepada kita untuk berpuasa. Maksud sebenar hadis itu ialah, “bau mulut orang yang berpuasa lebih baik daripada kasturi menurut pandangan kita.” Ini merupakan pandangan Ibn `Abd al-Bar.

(2) Bauan wangi itu sebenarnya merujuk kepada malaikat bukannya Allah taala. Menurut kaedah tafsir al-Quran dan hadis, memang terdapat beberapa ayat menggunakan nama Allah taala, tetapi sebenarnya merujuk kepada malaikat atau pejuang agama Allah. Jadi, pada malaikat, bau mulut orang berpuasa lebih wangi daripada bau kasturi.

(3) Bau kasturi dan mulut orang berpuasa di sisi Allah taala berbeza dengan kita. Pada kita, bau kasturi lebih harum dan memberikan kesegaran. Namun tidak di sisi Allah taala. Ini kerana nilaian di sisi Allah taala ialah nilaian keimanan bukannya nilaian zahiriyah.

(4) Allah taala akan memberikan balasan yang terbaik untuk orang yang berpuasa, yang mana nafasnya lebih wangi daripada aroma kasturi. Ini sebagaimana luka orang yang mati syahid yang akan menebarkan haruman kasturi. Pendapat ini dinukilkan oleh al-Qadi `Iyad.

(5) Orang yang berpuasa akan mendapat pahala yang lebih baik daripada aroma kasturi, terutama apabila dibuat pula perbandingan dengan bau mulut. Ini menunjukkan pahala yang bakal diperoleh tersangat besar dan menguntungkan. Pendapat ini turut dinukilkan oleh al-Qadi `Iyad.

(6) Pandangan keenam sangat unik. Menurut al-Dawudi dan sejumlah ulama yang lain, maksud hadis ini ialah bau mulut orang yang berpuasa lebih banyak mendatangkan pahala jika dibandingkan dengan haruman kasturi yang disunatkan untuk dipakai dalam majlis-majlis zikir dan yang seumpama dengannya. Pandangan ini yang dipilih oleh al-Nawawi. Ini bermaksud, bau mulut orang yang berpuasa lebih diutamakan berbanding dengan kasturi yang digunakan untuk menghilangkan bauan yang tidak menyenangkan.

Dipersilakan untuk menyebarkannya jika ia sesuatu yang bermanfaat. Jazakumullahu khairal jaza'.

Pautan asal >> KLIK SINI


Comments

  1. terima kasih atas perkongsian

    ReplyDelete
  2. erm.... paham, selama ni duk pk camana bau harum di sisi Allah... sekarang apa yang akak paham, bau harum tu seharum kasturi apabila mulut kita ni selalu membacakan ayat-ayatNya, zikir semasa puasa.... bebrapa banyak kita baca Al Quran dgn hati yg ikhlas dan suci niat mmg utuk dpt pahala, itu lah nilaian disisi Allah taala.... btl ke apa yg akak paham ni?

    ReplyDelete

Post a Comment

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.

Popular posts from this blog

Selamat Tahun Baru 2014

hukum main mercun