Langkah untuk memastikan pelajar tidak menipu |
Sekolah sudah ditutup bagi semua negeri biarpun negeri tersebut tidak melaksanakan PKPB. Sekolah ditutup bukan bermakna murid dan guru bercuti. Ini bermakna kena teruskan pembelajaran dan pengajaran secara atas talian seperti awal-awal musim PKP baru-baru ini. Bekerja di rumah. Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).
Ikutkan takwim baru yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) baru-baru ini, sekolah akan mula bercuti pada 17 Disember. Disebabkan sekolah terpaksa ditutup gara-gara COVID-19, pembelajaran dan pengajaran terpaksa diteruskan juga sehingga 17 Disember 2020. Ini adalah salah satu cara kerajaan untuk memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam pendidikan.
Semua sudah maklum bila buat kelas atas talian akan ada pelbagai masalah. Masalah capaian internet tak laju, murid tak ada peranti, murid tidak beri kerjasama dan macam-macam lagi masalah yang wujud dan baru diwujudkan sama ada dari pihak murid ataupun dari pihak guru sendiri. Ya. Kadang-kadang di pihak guru juga ada alasan. Guru pun manusia. Ada sisi gelap mereka yang kadang-kadang terpaksa untuk tidak mengadakan kelas. Haha.
Aku juga seorang guru. Setakat ini kelas berjalan dengan baik dan tanpa ada miss lagi. Murid pun alhamdulillah, memberi kerjasama dan semangat yang tinggi untuk mengikuti kelas. Aku guru hafazan Al-Quran. Memang cabaran untuk mengadakan kelas hafazan secara atas talian. Aku ikut cara aku sendiri dalam menentukan cara kelas hafazan Al-Quran secara online. Ada yang guna google meet, guna zoom, guna whatsapp.
Cabaran untuk mendengar hafazan al-Quran para pelajar dari jauh tanpa bersemuka? Opppss... bersemuka tapi berjauhan. Banyak cabaran dan aku boleh katakan yang kelas hafazan Al-Quran secara atas talian ini langsung tidak memuaskan hati aku sebagai seorang guru.
Antara cabaran terbesar:-
1) Capaian Internet
Ya. Capaian internet yang semacam siput sedut merayap di tepi longkang. Naik flight KB-KL lepas tu sampai KB semula pun siput tersebut masih lagi tidak bergerak. Bila internet sangkut, suara pelajar untuk memperdengarkan hafazan mereka itu pun sangkut. Kita tegur kesalahan mereka, kadang-kadang sampai baris ketiga baru teguran kita sampai kepada mereka. Delay. Jauh benar sangkut baru sampai.
Jadi, tak berapa puas. Bayangkan guru beriya tegur, tetapi pelajar buat tak tahu seolah tak ada kesalahan. Mereka terus membaca kalimah demi kalimah, ayat demi ayat. Guru sudah kecewa, geram, perasaan guru ketika itu nak juga pelajar tersebut berhenti dan ulang semula kalimah salah yang dibaca oleh pelajar dengan bacaan yang betul. Tapi apakan daya, pelajar sedang syok baca dengan alunan suara yang merdu bak Masyari mengimamkan solat Isya'.
Bila teguran kita tadi sampai kepada pelajar, pelajar pun berhenti. Serta merta air muka pelajar tersebut berubah. Frust. Kecewa. Sudah jauh mereka baca tapi terpaksa patah balik baris-baris di atas untuk membetulkan kesalahan mereka. Feeling mereka sebagai imam dengan alunan madu persis Masyari tadi hilang. Mereka gagap dan risau sekiranya jika diulang kembali, hafazan mereka tadi telah hilang. Itulah cabarannya.
2) Ibu bapa
Ibu bapa juga merupakan antara cabaran yang aku hadapi. Ibu bapa yang terlalu sayangkan anak dan jenis ibu bapa yang tidak boleh melihat anak melakukan kesilapan. Bila ada ibu bapa jenis ini, seolah-olah pelajar tersebut memperdengarkan hafazan mereka kepada dua orang guru.
Bila pelajar tersebut melakukan kesalahan, tak sempat guru tegur, ibu bapa mereka sudah menegur anak mereka. Jadi, bayangkan... seolah-olah anaknya tidak melakukan kesalahan bacaan dan hafazan anak mereka sangat lancar disebabkan guru yang mendengar bacaan anak mereka tidak menegurnya.
Ini juga suatu ketidakpuasan kepada guru. Jauh di sudut hati seorang guru ingin yang terbaik dari pelajar. Disebabkan perbuatan ibu bapa seperti itu, akan lahirlah pelajar yang sempurna luaran tetapi dalaman adalah kosong. Berjaya hafaz banyak juzuk tetapi bila disoal, kosong, tergagap-gagap.
Ada sebab guru menegur. Bila banyak kesalahan, guru meminta pelajar untuk berhenti dan lancarkan hafazan mereka semula sebelum memperdengarkannya semula di hadapan guru. Itu semua untuk melancarkan lagi hafazan pelajar. Jika ibu bapa membantu anak-anak seperti itu? Lancar ke hafazan anak-anak nanti?
****
Bagi guru-guru di luar sana yang masih berhempas-pulas mengadakan kelas atas talian untuk para pelajar kita, usah pedulikan apa orang kata. Ada saja kata-kata nista yang dilemparkan kepada guru. Hati busuk, biasanya kata-kata yang dikeluarkan juga busuk. Ada yang tidak puas hati, nampak saja guru bersenang-lenang di rumah bersama keluarga, tetapi gaji tiap bulan masuk. Usah pedulikan mereka. Teruskan mendidik dan membimbing anak bangsa dan juga agama kita.
Comments
Post a Comment
Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.