HATIM NAK KAWAN ABAH!


Jika minggu lepas aku bawa Hatim pergi berjalan-jalan ke Zoo Melaka, tapi minggu ini Muadzam Shah sepi tanpa aku. Perancangan untuk balik setiap minggu bagi memberi masa aku untuk bersama dengan Hatim terbantut di pertengahan jalan.

“Mil, demo balik ke minggu ni?” Tanya Amin, rakan sejawat aku di tempat kerja.

“Ikut perancangan tu… balik Min minggu ni. Tiap-tiap minggu balik. Kenapa tu Min?” Jawab aku dengan diikuti satu pertanyaan.

“Ingat kawe nak letak demo sebagai panel penemuduga bagi ujian kemasukan tingkatan 1 sekolah hari Sabtu ni.” Jelas Amin tanpa berselindung.

“Emmm… kalau tak ada orang dah, kawe boleh je Min.” Jawab aku. Bila orang minta tolong ni, aku juga jadi serba-salah. Untuk tahun ini, Amin nampaknya menggalas tanggungjawab untuk mengurus ujian kemasukan pelajar tingkatan 1. Jika aku tak memudahkan urusannya, lain hari mungkin aku pula yang kena galas tanggungjawab dan memerlukan pertolongan Amin pula.

“Lepas tu, demo okay ke kalau tak balik? Kawe tak ada orang sungguh dah ni.”

“Okay je Min. Nanti demo bagi detail untuk program hari Sabtu ni.” Jawab aku sambil mencongak kira-kira ringkas dalam kepala. Kalau balik lepas program, dalam pukul 8 atau 9 malam baru sampai. Ada lebih kurang 2-3 jam masa dengan Hatim sebelum dia tidur.

Hari Ahad, dari pagi sampai ke petang akan aku luang masa dengan Hatim, kemudian petang dalam pukul 6 atau 7 aku akan bergerak pulang semula ke Perak. Tak sampai 24 jam aku berada di Muadzam Shah. Sampai pula di Perak dalam pukul 2 pagi. Esok pula nak kerja. Penat.

‘Sayang, abe tak balik kot minggu ini. Ada program hari Sabtu di sekolah. Ujian kemasukan pelajar baharu.’ Mesej aku pada isteri.

‘Ye ke? Tak apalah kalau macam tu.’

----------

Hari Jumaat kunjung tiba.

‘Abe, Hatim duk tanya ni bila abah nak mari?’ Satu mesej Whatsapp dari isteri.

‘Duk nangis ni. Cakap dia nak kawan abah. Nak abah balik.’ Tambah isteri.

Hatim sudah mengerti bila hari Jumaat tiba dan bila hari yang abahnya akan sampai di muka pintu rumah dan memeluknya dengan erat.

Aku merenung mesej tersebut. Jari-jemari seakan kaku untuk menjawab. Ada perasaan sayu membayangkan anak yang meronta mahukan abahnya pulang untuk bermain bersama-sama dengannya.

“Ya, Allah... kuatkanlah hati ini. Kuatkanlah hati-hati kami yang saling berjauhan ini.” Rintih hati aku.


Comments

Popular posts from this blog

Selamat Tahun Baru 2014

hukum main mercun