HATIM DAN ZOO MELAKA - PART 1
“Abah, Hatim nak pergi zoo.” Pinta Hatim ketika dia sedang berpanggilan video dengan aku. Entah bagaimana terdetik dia nak pergi zoo. Hari itu baru hari Isnin. Ada beberapa hari lagi untuk sampai ke hari Jumaat.
“Hatim nak buat apa kat zoo?” Tanya aku. Soalan sekadar nak memanjangkan perbualan dengan Hatim. Jika ditanya pada yang dewasa, silap-silap jawapannya dapat siku.
“Nak tengok haiwan la.” Jawab Hatim dengan gaya mendepa kedua belah tangannya. Bola matanya pula diangkat ke atas. Leher pula disengetkan sedikit ke kiri. Makin besar, makin banyak tingkah laku dan ayat baharu yang ditunjuk oleh Hatim.
“Sayang, jom pergi zoo. Zoo dekat Melaka.” Ajak aku pada isteri. Dari Perak, aku selamat sampai di Muadzam Shah bila malam mula menjengah. Jumaat itu, hujan turun di beberapa tempat tapi pakaian yang dipakai semuanya kering sebaik sahaja sampai.
“Haaa… kenapa tiba-tiba nak pergi zoo?” Isteri aku kehairanan.
“Hatim nak pergi. Hari itu masa dia video call dengan abang, dia ada cakap nak pergi zoo.”
“Emmm… boleh juga. Pergi esok la ni?” Tanya isteriku.
“Emmm… nanti tengok esok macam mana.” Susah juga aku nak buat keputusan. Aku dari Perak, sampai di Muadzam Shah, esok nak bawa kereta pergi Melaka pula. Larat ke? Pagi pergi zoo, kemudian balik petang itu juga ke Muadzam Shah. Itu yang membuat aku tak berani buat keputusan.
Bila fikirkan masa aku bersama Hatim cuma ada di hujung minggu, rasa penat itu aku kena telan semula.
*****
Pagi itu, Hatim bangun tidur terus cari aku. Aku pula sedang potong bawang di dapur. Chef Jamil akan memasak kuetiau goreng. Satu ciuman dan satu pelukan aku berikan kepada Hatim.
“Hatim nak pergi zoo tak?” Tanya aku.
“Nakkkk!!!” Jawab Hatim dengan laju. Riak wajahnya nampak sungguh gembira.
“Yeay… yeay… yeay… nak pergi zoo!” Hatim melompat-lompat kegembiraan.
“Kalau nak pergi, Hatim pergi mandi, pakai baju. Nanti kita makan, lepas siap makan kita pergi.”
“Hatim mandi, pastu pakai baju, pastu makan, pastu pergi zoo ke abah?” Hatim mengulangi semula arahan aku kepadanya.
“Ya!” Ringkas aku jawab.
“Yeay! yeay! Umi…! Hatim nak pergi zoo dengan abah!” Jerit Hatim sambil berlari ke arah uminya yang berada di ruang tamu.
Comments
Post a Comment
Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.