HATIM DAN ZOO MELAKA - PART 2
Perjalanan dari Muadzam Shah ke Melaka memakan masa 2 jam setengah. Tidak lama berbanding perjalanan aku datang ke Muadzam Shah.
Jalan pada hari itu lengang dan tidak sibuk dengan kereta atau lori. Mungkin hari minggu tambah pula dengan jalan kebun kelapa sawit.
Hatim seperti biasa. Tidak boleh duduk diam di tempatnya. Kejap bangun ke belakang, kejap bangun ke depan, kejap duduk di arm rest.
“Abah, lambat lagi ke?” Sesekali dia bertanya.
“Lambat lagi. Jauh ni.” Aku menjawab.
“Jauhnya zoo…” dia pula yang mengiyakan.
Tempat duduk depan berselerak dengan mainan lego yang dibawanya. Ada bermacam warna. Biru, putih, hijau, oren dan merah. Sebelum naik kereta, beriya dia angkut lego dia masuk ke dalam kereta.
“Abah, tolong Hatim letak ini dalam kereta.” Pinta Hatim.
Tanpa banyak cakap, aku terus meletak mainan legonya dalam kereta. Ingatkan nak main dalam perjalanan, rupanya sekadar letak dalam kereta.
“Lego tu tak nak main ke?” Tanya aku. Sudah dekat 50 KM kereta bergerak, tapi mainan yang dibawa tak disentuh sikit pun.
“Emm… tak nak.” Jawab Hatim. Nampaknya aku dah kena scam. Tadi beriya nak bawa mainan. Rupanya sekadar nak sepahkan kereta.
Aku merenung ke hadapan. Fikiran aku menerawang ke masa lalu. Adakah dulu ini yang aku lakukan pada abah aku? Tak semua yang jadi abah punya tahap kesabaran yang sama.
Comments
Post a Comment
Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.