Gambar hiasan semata-mata |
Hari Sabtu lepas ketika kelas tambahan pagi, aku ditugaskan di kelas tingkatan 1 Warsy. Pelajar tingkatan 1 baru saja datang dan sudah hampir seminggu berada di sekolah dan juga asrama.
Aku tengok ramai yang nampak gembira dan ada juga yang berwajah sayu. Mungkin teringatkan mak ayah di rumah. Ataupun teringat handphone yang ditinggalkan oleh mereka. Habis segala game tidak dikemaskini.
Itulah cabarannya. Cabaran semasa zaman kita di bangku tingkatan 1 dengan zaman pelajar tingkatan 1 di tahun 2021. Ada halangan. Ada cabaran biarpun bentuknya berbeza-beza. Emosi yang kental saja dapat mengharunginya.
Kelas hampir tamat dalam 15 minit lagi. Aku mencapai buku kedatangan dan mula memanggil nama setiap pelajar yang tertera di dalam buku tersebut.
Tiap kali aku menyebut nama pelajar, aku akan perhatikan wajah pelajar tersebut. Bukan untuk membaca air muka mereka sama ada mereka ini sedang teringatkan mak ayah di rumah atau teringatkan Mobile Legend mahupun PUBG yang ditinggalkan di rumah. Aku perhatikan kerana aku masih tidak kenal siapa empunya nama beserta wajah mereka.
Ramai juga yang tidak hadir. Kata mereka disebabkan demam dan selsema, jadi ramai yang pulang ke rumah. Biasalah pelajar tingkatan 1 awal-awal masuk ke asrama, yang tidak sakit, akan jadi sakit serta merta bila mereka tekad mahu pulang ke rumah.
Pernah ada tahun sebelum ini, pelajar tersebut sekarang sudah berada di tingkatan 4. Emaknya seorang doktor pakar di hospital kerajaan di Kota Bharu. Selalu saja maknya menelefon aku yang ketika itu warden bertanya tentang anaknya yang mengadu sakit dada. Dia minta aku tengokkan macam mana keadaan anaknya.
Aku pergi tengok. Muka dia memang betul-betul nampak macam seperti menahan sakit yang sangat pedih. Tangannya memegang dada seperti dalam drama bila orang tua sakit diserang sakit jantung. Keningnya berkerut, matanya terpejam rapat, tangannya memegang dada, posisi tubuhnya sedikit berbongkak sambil mengerang kesakitan.
Aku fikir memang pelajar ni betul-betul sakit. Aku memaklumkan kepada maknya yang anaknya memang betul-betul sakit dada. Kemudian mak dia cakap dia nak datang ambil anaknya untuk dibawa ke hospital dan berjumpa dengan doktor pakar.
Selepas berjumpa dengan doktor pakar, selang 2 3 hari, anaknya diserang sakit dada lagi. Situasi yang sama. Watak yang sama, gerak gaya dan postur badan juga sama. Semua sama seperti kejadian sebelum ini. Maknya menelefon aku dan bertanya keadaan anaknya. Jawapan aku juga sama seperti sebelum ini dan jawapan mak dia juga sama untuk bawa anaknya ke hospital.
Kemudian, aku bertanya kepada mak pelajar tersebut apa kata doktor. Jawapan mak dia memang mengejutkan aku. Doktor cakap tidak ada apa-apa masalah fizikal yang menimpa dada anaknya. Hatta doktor pakar pun tidak ketemu jawapan kepada sakit anaknya itu.
Kesudahannya, anaknya setiap minggu akan balik ke rumah. Bila balik rumah, automatik sakit dada tadi akan hilang. Jadi, penyakit apa yang sebenarnya menimpa anaknya? Mak seorang doktor pakar, dibawa berjumpa doktor pakar, tapi yang dapat cumalah surat MC!
Berbalik kepada kelas 1 Warsy. Aku memanggil nama pelajar, "Hanif."
"Hanif balik cikgu," pelajar di barisan hadapan aku menjawab sambil mukanya menoleh ke meja yang kosong. Fikir aku meja tersebut adalah meja Hanif.
"Kenapa dia balik?" Aku bertanya untuk kepastian.
"Dia balik sebab demam ustaz. Tapi dia tak demam pun sebenarnya," pelajar tadi memberi jawapan.
"Kalau tak demam kenapa dia boleh balik?" Aku cuba menyoal dia kembali. Mungkin ada rahsia yang disimpan dan sedia untuk dihebahkan kepada ustaznya.
"Dia buat-buat demam ustaz. Dia gosok dahi dia dengan tapak tangan sampai panas, kemudian dia pergi scan suhu. Dapat suhu 37.5 Celcius, terus dia dapat balik. Mana aci macam tu ustaz," bersungguh-sungguh pelajar tadi bercerita.
Itu taktik baru pelajar sekarang. Sungguh bijak dan sungguh cerdik. Menggosok tapak tangan di dahi supaya menghasilkan haba di dahi dan meningkat suhu di dahi. Kemudian, dahinya tadi discan dengan alat pengimbas suhu yang sekarang ini menggunakan teknologi infrared.
Letak saja dahi di alat pengimbas, akan tertera bacaan suhu anggota badan ketika itu.
"Warden tak tahu ke?" aku bertanya lagi.
"Warden tak tahu ustaz. Sebab tu la dia boleh balik." Kali ini rakannya yang disebelah pula menjawab.
"Habis tu, bagitahu la warden kalau tak puas hati," giliran aku menenangkan mereka yang tidak puas hati dengan tindakan pelajar bernama Hanif tadi.
"Kami nak belajar ustaz." mereka menjawab.
Pandai pula jawapan mereka.
"Jadi, kalau nak belajar, tak perlu dengki la. Dia balik, dia menipu dia dah rugi dekat situ. Yang pertama rugi sebab menipu ustaz. Ingat, dapat apa kalau menipu? Yang kedua, dia rugi sebab tak dapat belajar. Kita yang dekat sini, tak perlu nak dengki sangat dengan dia. Dia balik bukan dapat apa pun. Kan?" Sedikit panjang jawapan aku.
"Ya. Betul juga tu ustaz." mereka menjawab. Nampak mereka sudah boleh terima dan membuang jauh-jauh rasa dengki mereka tadi.
Comments
Post a Comment
Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.