Pertama sekali, Selamat Hari Raya semua dan maaf zahir dan batin dipohon. Dalam dunia blog ni, mungkin ada sebaris dua ayat yang menggores dan mengguris hati orang lain. Kita tak boleh nak syok sorang – sorang macam tu kan? Buat rasa tak pernah bersalah. Sebenarnya tak semestinya hari raya baru nak minta maaf dan ampun semua tetapi rasanya ia sudah menjadi adat orang Melayu untuk bersalaman dan sekaligus meminta maaf. Rasanya adat ini terjadi kerana anak – anak di bandar ni selalunya jarang balik ke pangkuan ibu bapa mereka dan hari rayalah menjadi pertemuan mereka untuk sekali setahun.
Aku rasa, raya aku semakin menjadi tak produktif seiring dengan pertambahan umur yang meningkat ke alam dewasa. Kalau dulu, hormon adrenalin selalu mengalir tiap kali tiba hari raya. Hormon ni akan membantu aku untuk meraih duit raya dan sampul raya dengan sebaik mungkin. Nanti boleh compare dengan sepupu sepapat siapa champion yang paling banyak dapat duit raya. Tapi, sekarang ni rasanya hormon adrenalin aku kadang – kadang je meningkat arasnya. Ada ketika dia meningkat secara mendadak sampai melepasi aras bahaya. Ada ketikanya ia sekadar berada di takak permulaan.
Tiap kali beraya dengan pakcik dan makcik, masa tu lah hormon aku di luar kawalan. Tiap kali bersalaman dengan pakcik, "Hai, sorang je ke? Mana yang perempuannya?". Satu soalan cepu mas terpacul dari mulut seorang pakcik. Pakcik - pakcik sekarang ni rasanya dah semakin canggih dan maju. Mereka seolah – olah ada satu sistem yang menghubungkaitkan memori dan minda mereka. Mungkin seiring dengan teknologi synchronize. Maknanya, bukan seorang pakcik je yang menanyakan soalan macam tu. Pakcik – pakcik yang lain pun sama. Cuma yang lainnya mungkin dari segi penggubalan ayat dan nada intonasi cara penyoalannya. Tetapi, pointnya tetap sama.
Hormon aku akan menghantar maklumat ini secara cepat dan tangkas ke minda aku bagi membantu enjin pencarian jawapan aku ke tahap yang paling maksima. Kurang daripada 0.02 saat, aku akan mendapat satu jawapan yang seolah - olah ianya adalah jawapan yang spontan tetapi agak bernas dan tidak melukakan hati orang tua. Hari raya katakan, takkan baru lepas minta maaf dan bersalaman dengan pakcik tu kita nak sakitkan hati dia pula kan? "Tak datang lagi pakcik, lambat sikit dia datang." Rasanya ni jawapan yang paling bagus yang aku dapat berikan dan dalam hati, aku juga berharap dia akan datang walaupun sedikit lambat.
Comments
Post a Comment
Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.