ABANG BOMBA

Perasan segak dengan uniform bomba!

Tidak pernah terfikir dan juga terlintas dalam fikiran yang aku akan menyarung uniform lengkap seorang bomba. Dulu, pernah ada cita-cita untuk menjadi askar. Pakai celoreng, masuk hutan, mengendap dan menyorok dari musuh, kemudian bertempur dengan pistol dan juga senapang. Tapi itu ketika masih lagi zaman kanak-kanak yang terpengaruh dengan cerita Arnold Schwarzenneger dalam movie setiap Rabu pada pukul 10.00 malam.

Kemudian, cita-cita itu lebur bersama masa yang bergerak tanpa henti yang seiring dengan fikiran turut menjadi matang. Terpengaruh juga dengan kata-kata kawan yang jadi askar boleh cepat mati. Askar akan berada di barisan yang paling hadapan bila mana berperang. Bila di barisan hadapan, bila kena tembak, yang depan akan tumbang terlebih dahulu. Darah membuak merata-rata, ambulans tidak dapat nak menolong, akhirnya rebah menjadi mayat.

"Mu nak mati awal ke jadi askar?" soalan ini pernah dilontarkan kepada aku. Ahh... sudah. Tukar cita-cita la kalau macam tu. Hingga la hidup sampai zaman universiti, tidak pernah ada cita-cita tetap. Yang ada cuma nak kerja yang santai-santai, pergi kerja boleh lenggang-lenggang kangkung tetapi duit masyuk. Dapat gaji berkepuk mencecah 5-6 angka. Tinggi betulkan cita-cita?

Akhirnya, selesai sudah Kursus Pentauliahan Guru Kadet Bomba peringkat negeri Perak yang diadakan selama 3 hari di Pusat Akademi Bomba Wilayah Utara di Tronoh. Bilangan peserta yang menyertai lebih kurang 26 orang yang mana semuanya adalah guru-guru di sekitar Perak. Kursus ini adalah untuk guru-guru yang memegang jawatan guru bomba di sekolah, tapi aku pula memegang jawatan guru KRS. 

Orang kata, sekadar untuk mengambil pengalaman memandangkan tidak ada guru di sekolah yang berminat untuk mengikuti kursus ini. Banyak pengalaman dan pendedahan maklumat baru mengenai bomba yang aku dapat daripada kursus ini. Bagaimana hierarki pangkat, cara kerja, cara nak gulung dan bentang hos air, cara yang betul untuk bantuan kecemasan dan yang paling aku rasa berharga adalah bagaimana untuk melakukan kawad kaki.

Comments

Popular posts from this blog

Selamat Tahun Baru 2014

hukum main mercun