KEINDAHAN PANTAI SEPAT, KUANTAN
Hari Isnin sempena Hari Raya Deepavali, rancangan untuk ke Kuantan nampaknya berjaya. Rancangannya adalah untuk ke Pantai Sepat, kemudian terus pergi ke Zoo Teruntum untuk melihat haiwan-haiwan yang melata di sana. Alhamdulillah, cuaca pada hari itu mendung sedangkan semalamnya hujan dengan selebat-lebatnya di kawasan Muadzam Shah.
Aku sekeluarga bertolak dari Muadzam pada jam 9.40 dan perjalanan sejauh 100 KM lebih ditempuh dengan tenang dan lancar. Tidak ada sangkut dalam kesesatan dan kesesakan jalan raya. Ketika ini, google maps memainkan peranan penting sebab ini adalah kali pertama aku ke Pantai Sepat. Tahu nama Pantai Sepat pun lepas search google dengan menaip ‘tempat-tempat menarik di Kuantan’.
Sampai di Pantai Sepat, aku terus park bersebelahan dengan pagar masjid. Awal aku park sebab aku tengok banyak khemah-khemah yang dipacak di bawah pokok di belakang masjid. Aku fikir, mungkin depan sana semua tempat parkir sudah penuh. Elok sahaja aku parkir, tidak perlu nak berebut-rebut. Dalam hati aku, “tak ada la crowded sangat tempat ni”.
Kereta yang aku park, betul-betul menghadap pantai. Indah betul ciptaan Allah. Air yang berombak tanpa henti seolah-olah sudah ada roh pada laut yang kerjanya cuma menghempas air di pantai. Aku turun dari kereta. Dari jauh aku melihat pasirnya yang memutih. Mungkin ketika itu bukan waktu air pasang, air laut nampak nun jauh di sana dan pantainya landai menuju ke laut.
Kawasannya lapang dan aku fikir, ia sangat sesuai untuk Hatim bermain pasir dan juga beradu tenaga melawan ombak-ombak yang bergulung kecil. Ketika itu jam menunjukkan pukul 10.50 pagi. Cuaca masih lagi mendung dengan awan tebal menutupi sinar matahari.
Kalau cuaca panas terik, aku rasa ketika itu memang tidak sesuai untuk anak kecil bermain pantai. Mungkin lain kali, boleh rancang sama ada sampai di pantai pada pukul 8 pagi atau sampai pada waktu petang untuk mengelakkan panas matahari. Lagipun, kawasan Pantai Sepat pokok-pokok yang rendang sangat jauh dengan gigi air pantai. Nak berteduh, kena jauh berlari ke darat.
Lebih kurang sejam aku dan isteri melayan karenah Hatim bermain air dan juga pasir di pantai. Nampak seronok betul Hatim. Bila sampai di pantai, suara Hatim menyebut girang sambil menunjuk dengan jari kecilnya, “Air! Air! Air!” dengan pelatnya yang berbunyi, “Ayir! Ayir! Ayir!”. Anak kecil yang ketika itu berumur setahun sepuluh bulan sudah tahu erti gembira bila melihat ombak dan air yang terhidang di hadapan matanya. Kakinya sudah tidak sabar untuk berlari ke arah pantai sambil tersengih comel.
Walaupun Hatim tidak mahu berhenti bermain, terus saja aku dukung dan membawa naik ke tempat parkir kereta. Ikutkan Hatim, memang tidak puas lagi bermain tapi matahari semakin tegak di kepala biarpun cuaca masih lagi mendung. Bahangnya sudah terasa. Dibiarkan, boleh demam pula.
Mahu bilas Hatim dengan air bersih, isteri bawa Hatim ke tandas masjid. Di kawasan tepi dalam pagar masjid pun sudah disediakan tempat untuk mandi. Dipasang air pancur secara terbuka untuk memudahkan pengunjung Pantai Sepat menyucikan diri dari air masin. Aku perhati, tersusun batu-bata di sisi pagar masjid. Elok membentuk segi empat dan membongkah separuh tinggi dengan pagar masjid.
Nampak seperti disusun untuk memudahkan orang dari luar melompat masuk ke dalam pagar masjid. Pagar pula dekat paras dada. Memang memudahkan untuk yang di luar masuk ke dalam dan yang di dalam melompat keluar. Entah, sama ada pihak masjid membenarkan atau tidak. Aku kira lebih bersopan dan beradab sekiranya kita masuk sahaja ikut pintu pagar depan yang sudah terbuka luas. Cuma jauh sedikit. Perlu tawaf mengelilingi satu pusingan pagar masjid terlebih dahulu.
Sebelum bergerak meninggalkan Pantai Sepat, sempat lagi aku pergi ke sepanjang jalan. Pantai Sepat sungguh panjang dan di sepanjang jalan, kelihatan banyak khemah-khemah yang di pasang di bawah pohon-pohon yang redup. Ada siap dengan hammock untuk bersantai tenang melayan angin pantai. Aku rasa, mereka ini dari malam tadi lagi sudah pasang khemah. Ada yang berkeluarga dan yang solo.
Jadi, sesiapa yang berhajat untuk memasang khemah di Pantai Sepat, boleh rancang dengan baik masa dan hari supaya tidak perlu berebut dan boleh dapat tapak camping yang cantik. Rasanya, cuti hujung minggu dan cuti umum memang penuh geng-geng camping di Pantai Sepat. Aku lihat, ada juga tempat barbeku yang siap dipasang secara kekal di sepanjang pantai. Ada kerusi batu untuk berehat. Ini mungkin kemudahan yang sudah dipasang oleh pihak majlis daerah. Di tepi-tepi jalan juga boleh lihat ada gerai-gerai yang menjual pelbagai jenis aneka makanan. Tak risau kebulur jika datang ke Pantai Sepat. Silap-silap boleh kering poket.
“Mu mari pagi. Tak meriah Pantai Sepat pada waktu pagi. Marilah pada waktu petang. Boleh tengok ada banyak permainan. Boleh tengok ada yang main wau, ada kuda, ada ATV. Lagi meriah pada waktu petang.” Ujar Faiz, kawan aku yang merupakan orang Kuantan. Lama menetap di Kuantan dan mencari rezeki di Kuantan. Sudah membeli rumah di Kuantan yang juga tidak jauh dari Pantai Sepat.
“Abang, kena mari pula ni Pantai Sepat. Hatim nak main kuda”, kali ini giliran isteri aku pula membisik.
Comments
Post a Comment
Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.