CAMPING DI KG. DUSUN, KUALA MU, SUNGAI SIPUT, PERAK

Hajat dan rancangan untuk datang ke Kuala Mu memang sudah lama, tapi masih belum sampai juga. Akhirnya, minggu ini tercapai hajat untuk berkhemah di Kuala Mu, Perak.

Ya, la. Kuala Mu sejak beberapa tahun yang lepas tular tentang keindahan tempatnya. Ada sungai yang airnya jernih mengalir dari puncak bukit. Kiri kanan ada chalet yang diperbuat daripada buluh dan berbumbungkan atap nipah. Pagi-pagi ada kabus yang memutih memenuhi perkampungan tersebut. Tengok gambar pun dah tahu tempat itu adalah tempat impian untuk semua pencinta aktiviti outdoor.


Buka je pintu chalet atau pondok, terus nampak air sungai yang mengalir. Bunyi derunya sungguh mengasyikkan sambil sinar matahari mengintai di celah bayang-bayang daun pokok. Bayangkan tidur malam dengan suhu yang sejuk mencecah 17c bertemankan dengan bunyi deru sungai yang mengalir di celah-celah batu. Iramanya sungguh mengasyikkan!

Hari Jumaat lepas, usai saja solat Jumaat, terus kami bertolak ke Kuala Mu. Hanya aku dan Mat Yi. Berdua sahaja. Tapi, hujan baru saja reda. Hujan yang tersangat lebat. Harap-harap dekat Kg. Kelimat saja yang hujan, bukannya di Kuala Mu. Jarak ke Kuala Mu dari Kg. Kelimat dalam 40km. Jika di Kuala Mu juga hujan, alamatnya tidak ada rezeki untuk melihat air sungai yang jernih. Yang ada cuma air yang keruh seperti air teh.

Kami mengisi penuh minyak kereta di Felda Lasah sebab sepanjang jalan nanti cuma ada satu je Stesen Minyak, tu pun dekat dengan Kg. Bawong, dalam 3-4 KM dari Felda Lasah. Jadi, isi siap-siap di Felda Lasah. Lepas sahaja Kg. Bawong, tidak akan bertemu kita dengan stesen minyak. Pada yang ke Kuala Mu dengan  motorsikal, anda pandai-pandai la bajet sama ada sempat atau tidak minyak motor anda untuk sampai ke Kuala Mu. Jika rasa macam tak sempat, baik sediakan minyak simpanan.

Jalan untuk ke Kuala Mu berada di tahap baik sehinggakan aku rasa jalannya lagi baik berbanding dengan jalan Grik-Jeli. Cuma ada sedikit lubang-lubang yang sudah diisi dengan batu. Nanti dalam 10KM dari Bawong, kita akan ada jumpa simpang 2, kiri dan kanan. Ambil kanan untuk ke Kuala Mu dan ambil kiri sekiranya kita mahu ke Pos Yum atau Air Terjun Lata Penyel. Dua-dua adalah tempat orang asli.

Kami pilih jalan yang kanan untuk Kuala Mu dan bila saja masuk simpang itu, jalannya banyak menaik bukit sehinggakan ada bukit yang 45 darjah mendaki dengan jarak 1KM - 2KM. Kami dengan Proton Persona pun rasa macam bawa lori balak. Perlahan jer dengan kelajuan 20KM sepanjang mendaki bukit.

Dalam sejam lebih, kami sampai di Kuala Mu. Untuk ke Kg. Dusun, ambil jalan terus sampai hujung kampung. Jangan lintas jambatan. Jambatan itu adalah untuk ke Kg. Gapeh. Memang cun dekat jambatan tu. Boleh nampak pertemuan 2 anak sungai. Tapi nampaknya, ketibaan kami di sambut dengan hujan yang sangat lebat.

Aku termenung di pondok kecil. Melihat anak sungai yang keruh mengalir deras. Hujan masih lagi mencurah. Hati kecil berharap semoga hujan cepat berhenti untuk memudahkan kami memasang khemah. Jika hujan masih berterusan, khemah tidak boleh dipasang. Nanti basah. Tidur pun dalam basah. Biarpun hujan, suasana sungguh damai. Hutan yang menghijau di bawah teduhan pondok beratapkan nipah. Angin sejuk kadang-kala membelai lembut tubuh dan kepala.

Hampir setengah jam, hujan akhirnya berhenti. Langit sedikit cerah biarpun dihambat malam mentari yang makin tenggelam. Terus sahaja kami membawa turun khemah. Mengintai ruang kosong di tepi chalet dan pondok yang sedia ada, tapi nampaknya tidak sesuai. Bagi kami, tidak seronok dan tidak privacy. Tapak yang sebenarnya di seberang sungai sana. Melihat keadaan kami yang tak berapa deras, kami mengambil risiko untuk ke seberang sungai sana bersama-sama dengan barangan camping.

Mat Yi lead jalan dengan berada di hadapan. Membelah arus sungai tanpa goyah. Tapak kakinya sungguh kemas menapak tanpa rebah. Aku kemudian mengikut perlahan di belakang. Air paling dalam hanya setakat pinggang. Bukan cabaran yang besar. Cabaran yang besar adalah basahnya seluar.

"Tak apa basah seluar sebab sambil tu boleh kencing terus," ujar Mat Yie. Rupa-rupanya dia ada agenda yang tersembunyi. Maka, bersemadilah air kencing Mat Yie dengan air sungai Kuala Mu tanpa menjejaskan bau mahupun warna sungai.

Sampai di seberang, memang port yang sangat baik. Ada pokok-pokok kayu yang sesuai untuk memasang fly sheet dan juga jarak yang sesuai antara pokok untuk memasang hammock. Terus saja kami rentangkan tali untuk memasang fly sheet. Kemudian terus saja memasang khemah untuk dijadikan banglo penginapan kami pada malam nanti. Setup kami betul-betul menjadikan pintu khemah mengadap sungai. Bangun pagi esok, benda pertama yang kami akan tengok adalah sungai.

Khemah, kerusi, meja siap dipasang. Semua disusun dengan elok untuk diframekan di dalam gambar. Biar ia menjadi kenangan. Kemudian, dengan pantas Mat Yi memasak air untuk memproseskan biji-biji kopi supaya panas dan boleh diminum dalam keadaan yang sejuk dan dingin. Slurpppp... menghirup kopi panas dalam keadaan sekeliling yang sejuk amat menghangatkan perasaan. Banyak nostalgia yang akan timbul dan mulut boleh tersenyum sendiri.

Usai minum kopi dan melayan perasaan, kami dengan perlahan-lahan turun ke sungai untuk mandi. Langit sudah gelap. Sejuk masih terasa bahkan makin sejuk dari tadi. Menggigil badan bila air bersentuh dengan kulit. Meremang bulu roma kami menandakan sejuknya bukan calang-calang. Satu sejuk yang misteri tapi misterinya boleh dirungkai.

Pada malamya kami cuma menggoreng keropok lekok. 3 batang kerepok lekor habis kami kerjakan dalam kuali. Terima kasih kepada Cikgu Zul yang sudi menghulurkan keropok lekor sebelum kami bertolak ke Kuala Mu. 3 batang keropok untuk 2 orang makan memang kenyang. Makan keropok lekor tapi tanpa sos. Tak apa, makan apa pun dalam hutan, semua akan jadi sedap!

Malam itu hujan tapi kami roh kami tidak pulang kepada badan ketika hujan turun. Kami nyenyak tidur di dalam khemah. Pesan kepada semua, sila bawa sleeping bag jika mahu bertandang ke Kuala Mu. Jika tidak, tidurlah anda dalam kesejukan. Sejuknya dengan sleeping bag memang serasi kerana akan banyak mencipta mimpi sepanjang tidur.

Esok, kami akan menjejaki air terjun di Kuala Mu. Berdekatan dengan kawasan campsite kami.

Comments

  1. Menarik saya pernah tgk ade geng berbasikal ke sana

    ReplyDelete
  2. Active lagi ea kau blog ni. Jeles aku

    ReplyDelete

Post a Comment

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.

Popular posts from this blog

Selamat Tahun Baru 2014

hukum main mercun