Longgokan sampah di tempat campsite |
“Kawe kecewa juga sebenarnya dengan sikap sesetengah pengunjung dekat sini. Mari berkelah, bawa makanan, lepas tu sisa makan yang tak habis tinggal dekat sini bersama sampah-sarap.” Luah seorang lelaki yang mendakwa dirinya AJK Pembangunan Pondok Sungai Kenerong, Dabong.
Termenung panjang aku melihat longgokan sampah yang ditinggalkan. Ada tong gas, sisa makanan, plastik makanan, pinggan cawan polisterin. Di kala Malaysia bercita-cita untuk menaiki kereta terbang di tahun 2020, dan sekarang di tahun 2022, masih ada masyarakat kita yang sampah.
Mentaliti sampah, sikap sampah, hati sampah.
“Abang, kenapa abang tak caj sahaja pengunjung yang datang? Boleh upahkan orang datang cuci sampah yang mereka tinggalkan,” aku bertanya kepada abang yang mendakwa dirinya AJK Pembangunan Pondok Sungai Kenerong.
“Tak boleh. Ini memang amanat almarhum tuan guru sebelum ni. Jangan caj apa-apa bayaran terhadap pengunjung yang ingin guna kemudahan yang pihak pondok sediakan,” ujarnya tenang tapi bersungguh-sungguh.
Untuk mengunjung Sungai Kenerong di kawasan Pondok Sungai Kenerong, pihak pondok tidak mengenakan apa-apa caj bayaran. Caj masuk? Tak ada. Caj parking? Tak ada. Caj mandi? Tak ada. Caj tandas? Tak ada.
Tempat dalam hutan sangat ke sampai tak perlu caj apa-apa?
Ya, tempat ini memang dalam hutan. Tidak ada tiang-tiang elektrik TNB yang masuk sehingga ke kawasan ini. Pondok pula bergantung sepenuhnya terhadap generator bila malam mula menjengah. Line telefon memang tak ada langsung. No signal!
Tapi, dekat sini pihak pondok telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk keselesaan pengunjung. Ada tandas. 2 yang lama, ada 4 pula yang baru disiapkan. Ada surau untuk solat yang dibahagi pula bahagian lelaki dan wanita agar semuanya boleh diguna serentak. Ada pondok-pondok kecil (homestay) untuk kegunaan keluarga yang lengkap dengan segala kelengkapan asas. Siap ada beras, sardin lagi untuk memasak dalam pondok tersebut. Semuanya percuma.
Ya, percuma.
Namun, yang percuma biasanya jarang manusia nak hargai.
Jadi, tolonglah. Sampah yang kita tinggal, yang kena hadap adalah warga pondok. Kita sebagai pengunjung, dah bersuka ria, kenyang perut, tangkap gambar dengan pelbagai gaya, hati gembira, terus cabut balik. Yang penting, makanan dah habis, pinggan mangkuk pun tak perlu basuh sebab semuanya dah buang dekat kawasan pondok, celah-celah pokok dan batu. Sampai rumah, boleh santai-santai kemaskini media sosial!
Sampah yang kita bawa, bungkus dan bawa balik. Buang dalam tong sampah. Sisa makanan tak habis, tak perlu nak campak dekat mana-mana akar pokok atau tebing sungai. Satukan semuanya, masuk dalam plastik. Buang bila jumpa tong sampah. Tong sampah bersama plastik sampah juga disediakan oleh pihak pondok di kawasan sekitar.
Di sebalik keseronakan kita, sebenarnya ada mereka yang teraniaya.
“Betul ke abang ni AJK Pembangunan Pondok Kenerong? Apa nama abang?” Sebelum dia beredar, sempat aku bertanya inginkan kepastian. Tahu nama pun sudah memadai untuk dirujuk sekiranya ada yang ingin menyumbang tong sampah atau apa-apa jenis sumbangan kepada pihak pondok.
“Dulu sebelum kawe datang ke pondok ni, orang panggil Abang Bu. Sekarang panggil Abang saja pun tak apa. Orang-orang pondok pun panggil ‘Abe’,” jawab abang tadi berserta dengan huraian ringkas biarpun jawapan dia tidak tepat dengan kehendak soalan.
Comments
Post a Comment
Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.