|
View mengadap kaki bukit dan juga sungai mengalir perlahan. Berteman kopi di pagi yang dingin. Sungguh asyik. |
Sebaik sahaja kerajaan mengumumkan berita gembira buat indvidu yang telah cukup divaksin dengan dua dos, rancangan untuk pergi camping diatur dengan secepat yang mungkin. Macam biasa, yang diatur dengan cepat ni biasanya lebih menjadi rancangannya berbanding dengan rancangan yang diatur memakan masa berbulan-bulan.
|
Di tebing sungai sebelum pergi ke campsite |
|
Sungai yang berada di sebelah lagi. Sungai ini arusnya deras berbanding sungai yang sebelah lagi yang berada dalam gambar di atas. |
“Nak camping mana kita ni?” kawan aku terus menelefon bertanya port camping. Nampaknya dia juga tidak sabar untuk camping.
“Boleh belaka. Asal camping jah. Ada hutan, ada sungai, ada bunyi-bunyi cengkerik, kira jadi.” Jawab aku. Ciri-ciri untuk camping bagi aku tidak banyak.
“Jom Lata Y?” bunyi macam mengajak, tapi masih lagi dalam nada pertanyaan.
“Lata Y jauh sangat nak offroad. Kita nak santai-santai jah dulu. Lagipun Lata Y kita dah pergi. Haritu cakap ada port dekat Kuala Balah?”
“Ya. Tok Batin Forest Camp. Boleh juga tu. Kita pergi camping dekat sana. Sambil-sambil tu boleh tahu okay ke tak okay untuk camping dekat untuk lain kali.”
“Okay, set. Esok kita pergi.” Aku membuat keputusan.
“Esok awal sangat. Nak prepare barang-barang ni. Lusa la.”
“Okay, lusa.”
|
Model tidak berbayar. Datangnya cuma dengan sepasang baju dan seluar dan kerusi lipak. |
|
Dua orang ini dahulunya pernah takut kepada manusia bergelar perempuan. |
Tok Batin Forest Camp adalah tempat persendirian. Bermakna, untuk sesiapa yang ingin masuk, perlu minta izin tuannya terlebih dahulu. Bukan boleh main terjah macam tu je. Ianya adalah kawasan di tepi Sungai Balah. Sungainya lebar, arusnya deras tapi agak cetek. Jadi, sesuai untuk bawa anak-anak kecil main air dekat sungai ini.
|
Campsite memang luas. Tapi tak ada bayangan pokok. |
Untuk camping, tapak khemah adalah di tengah sungai. Betul-betul di tengah sungai yang melebar luas; ada dataran pasir yang meninggi sedikit dari arus sungai. Bila kita berada di tengah-tengahnya, seolah-olah kita dikelilingi oleh air. Macam pulau. Dari tebing nak ke tapak khemah tu perlu meredah air yang setakat peha atau pinggang berdasarkan ketinggian masing-masing.
|
Antara aktiviti yang boleh dilakukan untuk menghilangkan kebosanan. Aktiviti meredah air. |
Setakat pengetahuan aku, tapak khemah tersebut bukan milik persendirian. Tempat persendirian cuma kawasan di tebing sungai yang mana tempat untuk kereta parkir dan tempat untuk memunggah barangan ke tapak perkhemahan. Jadi, untuk sampai ke tempat perkhemahan ini, perlu melalui kawasan persendirian dan perlu menggunakan tanah hak milik persendirian untuk parkir kereta dan memastikan kereta dalam keadaan yang selamat ketika sedang berkhemah.
|
Tenang tanpa manusia lain. Layan deru air sambil berendam. |
Sengaja aku terangkan dengan lebih jelas sekiranya ada yang bertanya; kalau tapak perkhemahan bukan hak milik persendirian, jadi tak perlu bayar la? Kira free! Orang kita pantang dengar perkataan free dan percuma, mesti kepalanya ligat untuk merebut benda free. Kalau bukan free, berapa bayaran untuk sewa tapak perkhemahan?
|
BBQ. Ayam boneless. |
Ini aku tak boleh nak jawab sebab semasa aku pergi, tuan punya tanah Tok Batin Forest Camp tidak mengenakan apa-apa bayaran. Bila tahu dia tidak mengenakan apa-apa bayaran, kami mengambil pakej makan tengah hari dan makan pagi keesokan harinya sebagai balasan untuk menolong tuan tanah.
|
Menu utama untuk makan malam. Nasi Arab Chef Ammar Yid |
Ya, ada pakej makan. Istimewanya pakej makan ni, ada hidangan ulam-ulaman yang segar baru dipetik dari pokok. Ulam segar, nasi panas, ikan rebus, cicah dengan budu. Sedap tak terkata. Rasa makin dekat dengan alam gitu. Kalau yang malas masak, malas bawa bahan makanan, boleh ambil pakej makanan siap-siap dengan Tok Batin Forest Camp.
|
Tenang melayang perasaan. Cuaca redup seperti mengerti apa yang bersarang di hati. |
Selain itu, kawasan ini ada pondok yang diperbuat daripada buluh, khusus untuk keluarga yang cuma mahu bermain air di Sungai Balah dan inginkan privasi. Kalau ada keluarga dan ada anak kecil, aku sangat syorkan untuk ambil pondok ini. Bayarannya kalau tak silap aku dalam RM 50 untuk semalaman. Pondok ini berada di tebing sungai, tidak berada di kawasan tapak perkhemahan yang aku ceritakan tadi. Untuk yang malas pasang khemah, atau tak ada khemah, boleh juga try tidur di pondok yang berdinding dan berlantaikan buluh. Sejuk rasanya. Nyamuk? Tak pasti ada ke tidak.
|
Buka pintu khemah terus mengadap air sungai. |
View dekat campsite ni memang superb. Memang lawa dan cantik. Dari campsite, boleh duduk mengadap anak sungai dan dihadapannya ada bukit-bukau. Bayangkan view dengan anak sungai yang mengalir dan nun jauh di sana ada bukit yang hijau meninggi. Nyaman dan tenang rasanya. Seperti diri dan jiwa kita bergabung dengan alam dan seperti kita berada jauh ke dalam hutan dan jauh dari hiruk pikuk kota yang serba bising.
|
Bawa kerusi lipak untuk ambil gambar yang lebih cun. |
Sebagai info, kaki bukit yang kita tengok jika mengadap ke hujung sungai, ianya adalah bukit yang bersambung dengan Gunung Stong dan banjaran gunung lain yang ada sekitar Jelawang. Jadi, kalau rasa padu dan penuh dengan stamina, boleh naik Gunung Stong bermula dari kaki bukit dekat Kuala Balah. Berapa hari baru sampai tu, aku tak boleh bagi jaminan. Kalau padu, ada ilmu lipat bumi, kejap je sampai kat puncak Gunung Stong, boleh terus ke puncak Gunung Ayam, Saji, Tahir dan tapau la semua Trans Jelawang tu.
|
Test posisi sebelum mengambil gambar. |
cun boh
ReplyDeletetempat dia memang cun. sesuai untuk family dan anak-anak kecil datang untuk bermain air.
Delete