Tangga tolak laras |
Sebuah banglo berwarna hijau terpacak di hujung jalan. Rahim terus memarkir kereta dia di hadapan rumah. Pagar sudah terbuka luas. Mungkin tuan rumah sudah menjangka kehadiran Rahim.
“Mil, hari ni job servis aircond.” Rahim memberitahu aku.
“Servis aircond? Haritu kata kerja wiring.”
“Aircond jarang-jarang. Wiring kadang-kadang.” Rahim selamba menjawab.
“Aii… ajar hing. Kawe tak pandai bab aircond. Basic pun kosong.”
“Beres. Jangan kalut. Kawe ajar la.”
Seorang lelaki muda keluar dari rumah. Mungkin anak tuan rumah.
“Kita mari nak buat kerja ni. Bilik mana yang nak servis aircond tu?” Rahim terus menanyakan lelaki muda tersebut.
“Masuk la bang. Bilik saya yang nak servis aircond tu.” Lelaki muda tadi menjawab. Terus di bawa kami ke ruang biliknya.
Rahim merenung Aircond berjenama Topaire yang tegak di dinding. Kata nama ‘aircond’ adalah perkataan Bahasa Inggeris. Jika mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ianya adalah penyaman udara. Kalau sebelum ini, istilah lamanya adalah pendingin hawa atau penghawa dingin.
“Masalah apa lagi selain aircond tak sejuk?” Gaya seorang pro bertanya. Tangannya mencengkak pinggang.
“Masalah air buang aircond meleleh keluar ikut dinding kalau saya pasang aircond dalam 30 minit.”
“Mil, ambil tangga dekat kereta. Nampak gaya kita kena buat turun indoor ni. Kena leraikan satu-satu dan cuci biar bersih.”
Aku akur arahan Rahim dan terus mengambil tangga. Atas kereta Proton Saga Rahim, ada 4 jenis tangga. 3 tangga yang boleh kangkang dan 1 tangga yang boleh ditolak laras.
Tangga kangkang sudah berada betul-betul di bawah indoor.
“Naik Mil. Demo buka casing dia. Demo ikut gerak hati nak buka skru yang mana.”
“Demo yakin ke dengan kawe?” Aku bertanya sangsi. Aku sendiri sudah berasa sangsi dengan diri sendiri.
“Demo buat dulu. Kalau ada masalah, kawe back up. Kawe nak gi belakang. Nak tanggalkan paip dekat outdoor. Baru boleh buat turun indoor ni.”
Yang dalam bilik, dipanggil indoor. Yang belah luar berbentuk empat segi dan ada bilah kipas yang berpusing dipanggil outdoor.
Baru aku mengerti istilah orang servis aircond. Atau mungkin juga istilah yang dicipta sendiri oleh Rahim?
10 minit berlalu. Skru yang kurasakan memang patut ditanggalkan, aku tanggal. Ada yang aku ikut gerak hati sebagaimana ajaran Rahim, ada yang aku ikut gerak akal fikiran. Menggunakan logik.
“Hing, kawe cabut belaka dah skru. Lepas tu kena buat apa?” Aku berkomunikasi dengan Rahim di sebalik dinding. Tingkap yang terbuka dapat menyampaikan suara aku dengan baik di gegendang telinga Rahim.
“Demo cabut baju dia. Kena kuat sikit guna tenaga. Baru boleh cabut.” Rahim memberi panduan.
“Baju? Tak ada baju ni Hing. Nampak bogel body aircond ni.”
“Demo ni…. Lucu sungguh. Baju tu cover body dia la. Demo kena cabut dulu. Baru boleh buat turun body indoor ni.”
Aku menarik, kemudian turut menggoncang cover supaya tertanggal dari body. Tapi, usaha tidak membuahkan hasil. Aku berhati-hati, tidak menggunakan sepenuh tenaga. Risau sekiranya ada klip yang terpatah dan berlaku kerosakan.
‘Takkan baru sekali datang kerja dah kena ganti.’ Hati berbicara sendirian.
“Hing, tak boleh tanggal cover ni. Skru semua dah tak ada,” aku mengadu kepada Rahim.
“Tak apa. Tinggallah. Nanti kawe pergi tengok.”
Rahim memanjat tangga. Sebentar kemudian nampak cover body indoor aircond sudah dapat dicabutnya. Dia menghulur cover kepada aku untuk diletakkan di bawah.
Ajaib betul! Sekali buat dah tercabut. Aku makin percaya yang Rahim ni adalah seorang wali. Dulu memang ada desas-desus khabar angin mengatakan yang Rahim adalah seorang wali. Aku tidak percaya sehinggalah pada detik ini. Aku rasa bertuah dapat berdamping dengan seorang wali.
“Hing, demo ni memang betul la orang gelar wali.” Rasa teruja yang tidak boleh disimpan lagi. Terus aku memberitahu Rahim.
Comments
Post a Comment
Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.