Al-Sultan Muhammad al-Fatih..Sultan Yang Di Isyaratkan Rasulullah..

1 comment
Nama sebenar beliau ialah al-Sultan Muhammad al-Thani ibn al-Sultan Murad Khan al-Thani (w. 886 H). Selepas bapanya wafat, beliau menduduki takhta pemerintahan seusia 19 tahun 5 bulan pada tahun 855 H. Al-Sultan Muhammad al-Fatih seorang raja yang amat besar sumbangan jihadnya, sangat kuat keberaniannya dan sangat kuat bertawakal kepada Allah taala.
Beliau digelarkan al-Fatih kerana jasanya yang sangat besar kepada penyebaran agama Islam ke lebih dua puluh wilayah kafir serta penguasaan beliau ke atas lebih dua ratus bandar dan paling utama ialah kerana beliaulah yang dipuji oleh Rasulullah sallaLlahu alayhi wa-sallam dengan sabda baginda:

لَتُفْتَحَنَّ الْقُسْطَنْطِينِيَّةُ وَلَنِعْمَ الأَميرُ أمِيرُهَا وَلَنِعْمَ الْجَيْشُ ذلِكَ الْجَيْشُ
Mafhumnya: “Sesungguhnya Konstantinapol akan dibukakan. Sebaik-baik pemerintah ialah pemerintah yang membukanya dan sebaik-baik tentera ialah tentera pemerintah itu” [Diriwayatkan oleh Ahmad dalam kitabnya Musnad Ahmad dan oleh al-Hakim dalam kitabnya al-Mustadrak dengan sanad sahih].

Sesungguhnya semua yang dikhabarkan oleh Rasulullah sallaLlahu alayhi wa-sallam itu benar sama ada berkenaan perkhabaran peristiwa lampau atau peristiwa masa depan di dunia dan di akhirat, sama ada berkenaan hukum halal atau haram sebahagian perbuatan dan perkataan manusia. Antara kebenaran yang telah dikhabarkan oleh baginda ialah pembukaan Konstantinapol dan baginda memuji pemimpin dan tentera yang membuka kota tersebut.

Kota Konstantinapol ini adalah pembukaan Islam yang sangat agung kerana janji Rasulullah sallaLlahu alayhi wa-sallam tersebut. Ramai khalifah dan sultan yang telah cuba membuka kota tersebut secara bersungguh-sungguh memenuhi janji Rasulullah sallaLlahu alayhi wa-sallam itu tapi mereka tidak berjaya. Muawiyah ibn Abi Sufyan telah mengepungkan kota tersebut pada zaman pemerintahan Khilafah Sayyidina Ali radiyaLlahu anhu wa-karama wajhah, Sufyan ibn Aws telah mengepungnya pada zaman pemerintahan Muawiyah dan Maslamah ibn Abdil-Malik telah mengepungnya pada zaman pemerintahan Umar ibn Abdil Aziz. Seterusnya, kota ini pernah dikepung pada zaman pemerintahan Hisham ibn Abdil-Malik dan juga pernah dikepung oleh salah seorang panglima tentera al-Khalifah Harun al-Rashid. Sesungguhnya kota Konstantinapol ini akhirnya berjaya dibuka oleh al-Sultan Muhammad al-Thani Fatihul-Qustantiniyyah pada siang Rabu 10 Jamadil-Akhir 857 H.


Next PostNewer Post Previous PostOlder Post Home

1 comment:

  1. akak dengan suami letak nama Fateh Uwais kat baby pun pasal terpikat dengan keperibadian Sultan Muhammad Al Fateh nie

    ReplyDelete

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda Biarpun Komen - Komen yang Mengguriskan Hati. :(

SETIAP DARIPADA PENULISAN ADALAH KARYA PEMILIK BLOG KECUALI YANG DINYATAKAN. Powered by Blogger.

OWNER

My photo

Tanam Anggur Hijau | Kelantan | Malaysia