TRIP CAMPING SAMBIL MEMANCING DI JELI

by - Friday, October 18, 2019

Adakah dipanggil rancangan sekiranya rancangan tersebut tidak dirancang? Kita namakan sahaja ianya rancangan yang tidak dirancang.



Rancangan untuk pergi memancing di kawasan sungai yang bersambung dan bersimpang siur dengan Sungai Renyuk telah dirancang oleh Kak Adah atau lebih popular dengan nama Mami. Aku pun tak tahu kenapa Kak Adah ni membahasakan diri dia dengan nama Mami. Mungkin dia rasa dia sudah lanjut usia dan anggap semua orang di sekelilingnya adalah anak-anak dia. Jadi, semua orang akan panggil dia dengan nama Mami. Boleh ke macam tu? Hahaha.

Rancangan dia dalam group whatsapp tu bukan kemain lengkap dengan tentatif dan menu untuk makan sepanjang trip tersebut. Maklumlah, trip ni adalah trip bermalam. Masuk hutan pada petang Khamis, dan keluar pada pagi Jumaat. Ianya lebih kepada trip camping sambil memancing. Tarikh sudah dipacak. Semua bersetuju untuk jumpa di rumah Mok Bibi. Ikut pelan, powil akan bergerak pada jam 6 petang. Tapi, senyum saja sebab ni Geng Sampai Malam (GSM). Haha

.

Line up sudah ada. Aku, Beji, dan Farah sudah confirm. Shalaby ada masalah. Keretanya rosak dan tidak ada kenderaan untuk ke Jeli. Aku dengan 'manggoknya' mempelawa diri untuk mengambil Shalaby di rumahnya, Jerteh. Aku ada perasaan sedikit yakin yang Shalaby ni sebenarnya tak nak pergi pun. Aku pun apa lagi, campaklah upan, offer diri untuk mengambil Shalaby di Jerteh. Ahhh.. meleset rupanya. Shalaby dengan tenang selamba badak je dia cakap okay. Dia tunggu aku untuk ambilnya di Jerteh. Haha. Haaa.. main la lagi. Tak apa... sebelum tu aku dah set dalam kepala yang aku sudah lama tak jumpa Shalaby. Ambil kat Jerteh pun sanggup lagi semata-mata nak Shalaby ada sekali dalam trip ni. 



Godah (Gogo Kak Adah) senaraikan apa yang perlu dibawa. Dia pesan suruh aku bawa gas sahaja sebab dia tak ada gas dan tak sempat nak beli. Benda lain tak payah bawa sebab dia dah sedia. Okay. Maknanya aku tak perlu nak mengemas bagai untuk pack barang-barang macam pergi hiking. Petang Khamis, lepas kerja, aku terus capai beg galas dan cuma membawa masuk sehelai baju dan sehelai seluar, medical kit peribadi dan juga 2 silinder gas yang kecil. Cukuplah tu, katanya Godah cuma naik powil je, tak ada hiking, santai-santai je. Powil pula park betul-betul tepi sungai. {erghhh.. santai sangat tu. Aku siap imagine lagi macam mana santai dia tu. 

Pukul 2.20 aku hidupkan kereta. Masukkan beg dan batang pancing ke dalam kereta. Aku kena ambil Shalaby di Jerteh dulu baru pergi ke Jeli. Dari Pasir Mas ke Jerteh ke Jeli. Aku dah set dalam kepala yang paling awal pun pukul 6 baru sampai di Jeli. Masa aku hidupkan kereta tu, datang la pula sorang budak yang tidak mahu dinamakan mendekati kereta aku. Pintanya untuk join sekali trip ni. Berani pula dia minta nak join sekali. Mungkin sebab dia ni selalu ikut aku pergi mana-mana. Okay, boleh juga sebagai peneman dalam kereta. Tak adalah sepi sorang-sorang karoke lagu rock kapak dalam kereta. 



Dalam perjalanan ke Jerteh, hujan lebat membasahi bumi. Aku sudah risau takut-takut trip ni cancel. Takut powil tak berani masuk hutan sebab hujan yang menyebabkan tayar powil licin. Harap-harapnya tidak. Sekarang ni perlu sampai di rumah Shalaby dahulu. Lebih kurang pukul 4 petang, aku parking betul-betul di hadapan rumah Shalaby. Shalaby sudah siap. Hanya tinggal isterinya untuk bersalaman dengan dia sambil mengucup tangannya dan mengatakan, "Take care abang...". Wowww.. sweet.



Perjalanan diteruskan ke Jeli. Hujan lebat sudah berhenti dan berganti dengan hujan yang rintik-rintik bergerimis di siang hari. Nasib baik jalan lancar dan jambatan dari Machang menghala ke Tanah Merah pun tidak jem. Cerita dari Shalaby agak menarik kali ini sebagai peneman untuk sampai ke Jeli. Cerita seorang usahawan lada solok. Bagaimana dari penyemaian lada solok sehingga lada solok matang dan sedia untuk dijual. Shalaby ni bagus betul kalau dia bercerita. Dia cerita dengan teliti serta jelas dan kalau ada soalan ditengah-tengah jalan penceritaan pun dia layan je dan jawab dengan baik soalan tersebut.

Kami sampai di Bandar Baru Jeli lebih kurang pukul 6 petang. Nah, tentatif kata pukul 6 petang powil dah start gerak masuk hutan. Haha. Jangan berharap la nak sharp on time. Pukul 6 kami singgah di Hospital Jeli. Meeting point dengan Beji, Gogodah dan juga Farah. Kami solat Asar sebentar di pejabat Beji. Tandas dan tempat rehatnya boleh puji. Sangat selesa dan bersih. Untuk 2,3 orang singgah solat tu boleh la. Kalau ramai, nak kena hempuk dengan abang long di pejabat Beji rasanya. Haha.


Bincang punya bincang, kami nekad untuk meneruskan rancangan yang tidak dirancang untuk masuk ke hutan dan memancing. Kami singgah di kedai janda pujaan Beji untuk bungkus nasi dan laukj. Hajatnya kami tak nak menyusahkan Gogodah dengan memasak makan malam untuk kami semasa camping nanti. Kiranya kami semua makan nasi bungkus je. Kami meneruskan perjalanan ke rumah Mok Bibi untuk park kereta. Di situ adalah meeting point yang sebenarnya. Powil suami Gogodah dah standby untuk bawa kami ke dalam hutan. Sampai saja kami di rumah Mok Bibi tak sempat untuk berjumpa dengan Mok Bibi kerana dia menghadiri kenduri tahlil sebagai orang dapur untuk memasak gulai. Sibuk benor Mok Bibi. 

Usai solat Maghrib dan jama' takdim Isya', kami menaiki powil dan berangkat ke dalam hutan. Dua powil disediakan oleh Gogodah untuk membawa kami. Bukan kaleng-kaleng jalan untuk ke tempat memancing ni. Dalam setengah jam juga perjalanan melalui jalan balak. Bayangkan jalan balak yang tidak berturap dan bongkah batu besar yang timbul di tengah-tengah jalan. Tapi nasib baik pemandu powil kami begitu pro. Dia bawa powil macam bawa kereta control je. Melompat sini sana. Nasib baik powil yang sangkut di tengah jalan bertarung dengan lumpur akibat hujan.



Powil berhenti lebih kurang jam 8.30 malam dan kami perlu berjalan kaki untuk sampai ke port memancing. Jalan yang gelap di tengah-tengah kebun getah amat seram bagi yang belum pernah sampai dan belum terbiasa melalui jalan tersebut. Hujan sudah berhenti. Perjalanan kami terus menerus menurun dalam keadaan tanah yang licin. Hancur harapan kami yang membayangkan tidak perlu berjalan kaki dari tempat powil park. Nampaknya tidak seperti yang dibayangkan. Perjalanan kami ke port memancing memakan masa 15 minit dan ada line up yang terpaksa berkaki ayam dek kerana licin memakai selipar jepun. Ahhh Godah... kalau tahu trek sebegini, akan kami sediakan kasut menoreh siap-siap. Hahaha.



Air terjun semakin jelas bunyinya dan kami yakin yang kami sudah hampir dengan port memancing. Ada lagi perangai yang terbawa-bawa ketika trip hiking dengan menanya Godah; "lambat lagi ke nak sampai?" Haha. Sampai saja kami di port memancing, memang tak nampak apa pun. Air terjun cuma nampak samar-samar di balik sinaran rembulan yang separa bulat. Apa yang jelas di hadapan kami sungainya begitu besar dan air yang gelap itu sudah dapat dibayangkan yang dasarnya teramat dalam. Tidak seperti sungai-sungai yang pernah kami lalui ketika hiking. Setibanya kami di port tersebut, sudah ada 2 orang pemancing yang siap bertapak di situ. Kami terus ke hilir sungai, dan berhenti di batu yang landai. Sungguh luar. Kami letak barang-barang dan tersenyum gembira kerana sudah sampai.

Lepas tu? Apa yang kami buat? Masing-masing pegang handphone la sebab kat situ line telefon masih lagi sipi-sipi malu 3G. Boleh la buat balas mesej whatsapp dan tengok ig story tu. Sambil baring-baring melihat langit yang hitam, aku berteka-teki adakah malam ni akan hujan atau tidak. Kalau hujan, kesian la sebab windbreaker, rain cover untuk beg, flysheet semua tak balas. Tidur dalam kebasahan la nampaknya. Dalam hati cuba meyakinkan diri yang malam ini hujan tidak akan turun sambil menitipkan doa kepada Tuhan. Ahh.. hujan dah turun habis tadi. Tak turun kot malam ni. 



Gogodah sudah membuat air kopi, Beji bersiap mandi, Farah makan kek dan suami Godah sedang aktif memasang umpan dan mencampak mata kailnya ke dalam sungai. Dari lagaknya memang nampak seperti kaki pancing sejati. Tangkas dan lincah memasang umpan dan mencari port. Shalaby perlahan-lahan memasang mata kailnya. Aku bersahaja melihat Shalaby memancing. "By, kalu mu bulih ike, baru aku pasey kail aku". Fikir aku, kalau Shalaby dapat ikan baru aku nak pacak batang kail aku. Kail pun pinjam yang orang punya. Haha. Lama juga aku tunggu Shalaby, tapi satu pun ikan tak sangkut dekat kailnya. Aku berkira-kira dan mengomel sendiri; bawa kail tapi aku tak guna, macam rugi je. Ikan tak sangkut kalau kail ada di darat.



Aku minta Shalaby ikatkan timah dan mata kail di joran aku. Aku minta Shalaby bagaimana nak campak joran dan bagaimana nak lock gearbox joran tersebut. Maklum la,orang baru belajar nak memancing. Tapi part umpan, Shalaby cuma ajarkan melalui teori je. Praktikalnya suruh aku buat sendiri memandangkan umpan yang diguna pada malam tersebut adalah perut ayam. Busuk bos! Hahaha. Part ni yang paling malas. Umpan habis, ikan tak dapat dan kena letak umpan perut ayam yang busuk tu lagi dekat mata kail. Benda tu la aku buat sampai la pukul 2 pagi sebelum masuk tidur.

Pukul 1 pagi, Shalaby sudah mengalah. Katanya sudah mengantuk dan dah nak tidur. Sebelum tu Beji sudah lama tidur di dalam khemah yang dibuka di atas batu. Cantik betul port tu. Khemah betul-betul ngam dengan batu. Muatla kami berempat tidur berhimpit di dalam khemah tu. Nasib baik khemah Shalaby besar. Tinggal aku terkebil-kebil biji mata menanti penuh harapan akan ada ikan yang tersangkut. Aku sudah berazam yang aku akan kejut Shalaby kalau joran aku mengena ikan. Haha.



20 minit berlalu. Kosong. Tali joran cuma ditarik perlahan dari dalam sungai petanda yang umpan cuma dimakan atau dikuis oleh anak-anak ikan. Geram betul aku tengok hujung joran yang meliyuk ditarik oleh anak-anak ikan. Geram je nak sentak joran. Tapi tu la, sentak pun bukan dapat apa pun. Setiap 20 minit aku angkat joran dan yang kecewanya, umpan habis. Kena selongkar plastik letak perut ayam yang busuk lagi. Tapi setiap kali letak umpan, aku beriya yang lepas ni mesti akan dapat ikan. Haha. Tengok... sikap positif tu masih ada.



Dari sebelah kiri dalam 10 kaki, suami Godah memancing di sana. Aku tak nampak dia di mana. Cuma nampak bayang-bayangnya dan juga bara rokok yang dihisapnya. Aku berkira-kira yang cuma aku dan suami Godah saja yang belum lagi tidur. Masuk jam 1.40 pagi, tidak kelihatan lagi bara rokok dari suami Godah. Fikir aku, mungkin dia sudah tidur. Kalau begitu, cuma tinggal aku kesorangan. Di hadapan aku sungai yang luas dan seberang sana adalah hutan yang tebal. Di belakang aku pun hutan. Hmmm.. tapi rasa takut tu tak ada lagi. Mungkin sebab bulan cerah pada malam itu. Fikiran aku terbayang yang akan ada susuk tubuh perempuan berjalan di atas sungai di hadapan aku dengan berpakaian putih. Rambutnya menggerbang. Mukanya putih dan cantik. Tapi itulah. Cuma bayangan yang membuat aku jadi seram sejuk je. 

Apa lagi, aku tarik tali joran dan pacaknya di tepi khemah. Aku tidur dengan berhimpit di dalam khemah tersebut. Lantaklah, asalkan lelap dan mata terpejam. Risau juga aku dengan perut ayam yang tidak disimpan yang berada di luar khemah. Kalau-kalau ada bintang buas yang ingin memakan perut ayam yang baunya bukan main busuk. Sambil-sambil makan perut ayam, ternampak kami berempat berhimpit di dalam khemah!! Rezeki besar tu. Hahaha.



Esoknya awal sikit aku tersedar. Pukul 6 pagi dan sempat menjenguk di luar khemah. Bintang-bintang berkerlip begitu indah di dada langit. Langit cerah. Tidak seperti semalam yang mendung dek awan tebal membawa gugusan air hujan. Kami solat Subuh dan tidak menunggu lama untuk memasang umpan dan terus mencampak joran ke dalam sungai. Katanya Gogodah, kalau ikan tak makan malam, biasanya waktu pagi dia makan la. 



Sebelum ikan makan, kami terlebih dahulu makan roti dengan tuna. Boleh la sebagai alas perut di waktu pagi. Gogodah memang tak masa pun trip ni. Katanya sebab line up tak nak dia masak. Jadi, dia menghormati keputusan line up. Nampaknya bukan rezeki kami untuk membawa naik ikan tengas pada hari itu. Rezeki ikan tidak tertulis untuk kami. Hanya suami Gogodah yang dapat membawa naik ikan tengas yang seberat kira-kira 5 bunga. Itu pun seekor je. Tak apa la. Dia kan otai memancing, memang patut la dia dapat. Lagi pun tu kan tempat dia biasa memancing. Hahaha.



Sebelum pulang, kami meninjau dulu sepanjang sungai tersebut. Tempat tersebut memang menarik dengan aliran sungai yang sedikit deras. Kata Beji, tempat ni boleh dibuat sukan air seperti water rafting. Cadangan tu sudah baik. Harap-harap Beji dapat realisasikannya untuk beberapa tahun yang akan datang. Tapi, kalau water rafting, nanti tak dapat la nak memancingkan. Serius, tempat tu memang cantik dan tenang je dengan bunyi air dan pemandangan yang menghijau. Rasa berbaloi la juga dari Pasir Mas ke Jertih terlebih dahulu. Dapat melepaskan rindu kepada alam dan hutan.



Powil tiba di rumah Mok Bibi lebih kurang jam 11 pagi. Mok Bibi sudah siap memasak untuk kami menjamu selera. Biasala Mok Bibi ni. Servis dia memang terbaik untuk tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Ada saja makanan yang hendak dijamu. Kali ini, dia menghidangkan singgang ikan tengas yang dipancing oleh suami Godah, gulai darat, sambal pepijat, tumis budu, ikan goreng perkasan, budu dan tempoyak, ikan bilis goreng petai dan yang wajib ada adalah ulam-ulaman. Sungguh menyelerakan. Aku siap tambah nasi lagi. Memang terbaik Mok Bibi masak. Kalau ke Jeli, memang kena repeat untuk singgah rumah Mok Bibi dan makan nasi. Haha. Terima kasih Mok Bibi. Terima kasih Godah. Terima kasih Beji dan semua line up. Haha.

You May Also Like

0 komen

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda Biarpun Komen - Komen yang Mengguriskan Hati. :(