Skip to main content

TRIP GUNUNG BASOR, JELI KELANTAN (PART 1)

Gunung Basor. Ya, satu nama gunung yang terdapat di Negeri Kelantan. Mungkin nama gunung ini tidak segah seperti Gunung Stong, tidak dikenali ramai orang tapi Gunung ini mempunyai ketinggian yang lebih tinggi daripada Gunung Stong iaitu dengan ketinggian 1840 meter. Gunung ini juga berada dalam daerah Jeli tetapi hanya terkenal di kalangan penduduk setempat, tidak tersohor seperti nama-nama gunung G7.

Sarapan pagi dahulu. Buang-buang apa yang patut.

Kali ini, Trip Kembara dan Rekreasi (TKR) yang diketuai oleh gogo (Group Organizer) yang hensem lagi bergaya, Abe Areh telah menganjurkan trip ke Gunung Basor. Trip ini memakan masa selama 3 hari iaitu pada 28-30 Mac 2019. Sebenarnya, TKR sudah lama merancang untuk ke Gunung Basor iaitu pada tahun 2018 tetapi pada tarikh yang dirancang pada tahun lepas, gunung di Kelantan telah ditutup untuk pendakian kerana musim tengkujuh dan Gogo terpaksa menunda ke tarikh lain yang akhirnya diputuskan pada tarikh 28-30 Mac.

Aku merupakan peserta minit-minit akhir yang mengisi nama. Trip kali ini semakin hari semakin berkurang line-up dek kerana ada saja alasan untuk menarik diri. Gogo telah menghubungi aku dan meminta aku pergi untuk menampung kos perbelanjaan trip. Hakikatnya, aku berasa berat untuk pergi pada mulanya kerana kawan hiking aku tidak ikut sekali kerana terlibat dengan kelas. Fikir punya fikir, dan rasa kasihan dengan gogo, aku pun bersetuju untuk ikut sama. Berat rasa hati kerana pada hari Khamis tersebut, aku terpaksa melepaskan kenduri perkahwinan kawan aku di PCB dan juga majlis akikah rakan sekerja aku. Berat untuk melepaskan nasi dengan gulai kawah! Haha.



Line up kesemuanya adalah 7 orang tidak termasuk guide iaitu, gogo Abe Areh, Mat Zam Jagung, Faisal Korga, Mat Jak Pondok, Shauqee, aku dan satu-satunya line-up perempuan iaitu Doktor Farah Sikucing. Guide pula adalah Pok Eid atau mungkin nama sebenarnya adalah Said. Pok Eid atau Said yang menjadi jurupandu kami adalah guide yang berpengalaman dengan Gunung Basor. Bersama dengan trip ini, ianya merupakan kali kedua Pok Eid menjejak Gunung Basor. Hahaha. Nampak tak? Walaupun Pok Eid seorang guide yang berpengalaman, tapi dia sendiri pun baru sekali pernah menawan puncak Gunung Basor. Ini menunjukkan Gunung Basor ni boleh lagi dikira sebagai dara kan? 

28 Mac 2019

Pukul 5 pagi, aku bertolak dari Pasir Mas ke rumah gogo. Plan asalnya adalah aku, gogo, Faisal dan Mat Zam Jagung akan gerak sekali dari Pulai Chondong dengan sebuah kereta. Tapi, pagi itu kami gerak pukul 6.10 pagi sebaik saja azan Subuh berkumandang. Puncanya adalah Mat Zam!! Kami bertiga terpaksa pergi kerumahnya untuk mengejutkan dia dari tidur. Dia sorang sahaja yang belum bangun. Rilek... Kami dah biasa dan sudah masak dengan perangai tidur Mat Zam Jagung!! Hahaha.



Kami Subuh di stesen minyak Petronas Kemahang. Seterusnya kami terus pergi ke kedai kopi dalam kawasan Kuala Balah. Shauqee sudah lama sampai dan sedang menunggu disitu bersama Farah dan juga Mat Jak. Selepas sarapan nasi dengan daging kicap, kami terus bergerak ke Balai Polis Kuala Balah. Di situ, gogo membahagikan ration (bekalan makanan) untuk setiap line up. Gogo juga menyerahkan senarai nama peserta trip kepada polis sebagai makluman dan sepertimana prosedur untuk mendaki gunung. Tapi hairannya, pegawai polis tersebut semacam blur bila mana gogo membuat makluman. Katanya tak tahu pula kalau nak hiking kena buat laporan polis!! Checkmate! Haha.

Atas powil menuju starting point.

9.20 pagi
Kesemua kereta kami diparkir di balai polis dan powil (four-wheel, pacuan 4 roda) tiba seperti mana yang dijanjikan. Powil ini sebenarnya kepunyaan kawan Beji. Walaupun Beji tidak dapat ikut serta dengan trip ini, ternyata janjinya untuk menyediakan powil berjaya ditunaikan. Tepat jam 9.20 pagi, powil kami meluncur laju menuju ke starting point untuk mendaki Gunung Basor. Last powil kami akan berhenti adalah di Intake 2 Sungai Renyok. Alhamdulillah... laluan powil untuk ke starting point adalah bertar dan ini melancarkan perjalanan dan mengurangkan risiko sakit urat kerana kebiasaan jalan untuk ke starting point untuk mendaki gunung adalah jalan yang penuh berlubang. Sebagai contoh adalah jalan untuk ke Gunung Chamah yang terpaksa melalui jalan balak yang berlubang-lubang.

Balai Polis Kuala Balah


10.10 pagi
Powil kami berhenti. Terpampang signboard Intake 2 Sungai Renyok. Kami sudah sampai. 50 minit perjalanan di atas powil kami tidak disia-siakan. Masa kami diisi dengan perbualan kosong, sambil-sambil itu gogo kami buat-buat tanya Pok Eid nama gunung-ganang di belakang kami. Mungkin ini kebiasaan gogo untuk menarik minat guide untuk berborak dan berkongsi pengalaman sebagai jurupandu ini. Tapi Pok Eid tetap rilek, tetap melayan gogo dan juga kami walaupun dia semacam sudah menghidu taktik gogo yang buat-buat tanya, buat-buat tak tahu!

Gogo


Kami menurunkan beg dari powil. Starting point kami sangat cantik. Rumput-rumput dipotong rapi. Ada empangan dengan batu-batu kecil. Ini adalah pengalaman pertama bagi aku yang starting pointnya adalah sungai yang mempunyai empangan padanya. Empangan ini adalah milik TNB, mungkin sebab itu jugalah kesemua jalannya berturap dengan tar dan kawasan sekelilingnya terjaga tanpa ada rumput yang tumbuh meliar.



10.20 pagi
Tepat 10.20 pagi, beg dipikul di atas bahu masing-masing, sauh diangkat dan kami bergerak menuju ke arah sungai. Awal lagi kami terpaksa meniti batu yang besar untuk menyeberangi sungai. Awal perjalanan kami agak sukar memandangkan permukaan batu curam dan licin. Akhir sekali, Faisal dan Farah terpaksa tewas dan mengharungi sungai dengan mencelup kaki mereka ke dalam sungai. Adala paras air takat lutut. Basah la jugak kasut tu. Haha.

Musim kemarau, sungai kering boh!


Lepas sahaja menyeberangi sungai, perjalanan kami agak santai, tidak ada trek pacak. Nafas kami tidak lagi mengah, tapi peluh-peluh jantan sudah merecik dan membasahi baju kami. Trek banyak mendatar dan beberapa minit sebelum sampai ke checkpoint, kami menyelusuri sungai. Sungai berada di sebelah kanan kami. Trek masih lagi jelas dan tidak banyak yang perlu ditebas.

Sungai yang masih lagi dara.

11.00 pagi
Lebih kurang 50 minit berjalan bertemankan irama air sungai yang mengalir mencecah batu, cengkerik-cengkerik yang tidak henti-henti berusaha menyanyikan lagu hutan saling bersahutan penonton mereka menjadikan hutan dara Gunung Basor ini tidak sunyi dan menjadikan lukisan alam begitu indah. Kami telah sampai di check point yang pertama iaitu check point yang diberi nama Sungai Renyok. Check point ini merupakan last waterpoint untuk ke Kem Bakso atau pun yang nak terus ke puncak.



Misi kedua TKR pada trip kali ini adalah untuk mencari kemsite yang mempunyai punca air dan juga untuk memasang signboard pada setiap check point, campsite dan juga puncak Gunung Basor. Jadi, pada last waterpoint ini, kami tidak turun mengambil air memandangkan kami semua telah dibekalkan oleh gogo sebotol air mineral berisipadu 1.5 liter sebagai bekalan bersama untuk persediaan sekiranya kami tidak menemukan campsite yang mempunyai punca air. Di sini, kami memasang sign board Check point Sungai Renyok. Faisal Korga dan Mat Zam Jagung ditugaskan untuk memasang signboard di sini.

Pasang sign board di Check Point Sungai Renyok


11.15 pagi
Tidak lama kami berhenti rehat di sini. Ini kerana terdapat banyak serangga yang mengganggu kami yang dalam keletihan. Antaranya serangga yang dinamakan igat (pikat) oleh Pok Eid. Serangga ini bentuk fizikalnya seperti lalat, tetapi pekerjaan utamanya adalah pekerjaan nyamuk, iaitu menghisap darah. Katanya Pok Eid, kalau binatang igat itu banyak, bermakna kawasan itu mempunyai banyak gajah. Mungkin juga gajah baru saja melalui kawasan tersebut.



Kami terus gerak dan kali ini, treknya sedikit pacak dan Pok Eid terpaksa menebas duri-duri serta ranting-ranting pokok yang halus. Maklumlah kan yang trek ini jarang dilalui oleh manusia. Di pertengahan jalan, trek kami sedikit kabur dan Pok Eid terpaksa membuat trek baru. Ini kerana terdapat pokok balak yang telah tumbang dan menghalang trek; yang sebenarnya adalah denai  untuk binatang lalu-lalang di dalam hutan.

11.45 pagi
Kami berhenti rehat sekejap. Mengambil nafas, meminum air. Ada trek yang tersasar dan terpaksa kami undur beberapa langkah. Eh, beberapa langkah ke? Perkara sebegini biasanya akan membuat line up down dan mudah untuk sakit mental. Apa tidaknya, dah jalan jauh, undur balik sebab salah jalan. Tak rasa penat dan rugi ke masa dan tenaga yang dah digunakan tu? Hahaha. Tapi line-up masih lagi steady. Gogo awal-awal lagi dah pesan supaya setiap orang perlu membawa parang kerana trek jarang dilalui oleh manusia. Mungkin tersasar dan mungkin terpaksa menebas. Aku? Tak bawa parang. Duduklah dekat belakang sekali dengan kawan tidak separangan iaitu Mat Zam Jagung.

12.35 tengah hari
Lebih kurang jam 12.35 kami sampai di Kem Bakso. Tempatnya landai. Ada pohon-pohon tinggi yang menjadi teduhan untuk kami daripada cahaya panas mentari. Daun-daun kering yang luruh memenuhi tanah menunjukkan yang tempat tu jarang sekali menerima kunjungan manusia. Kem Bakso merupakan nama yang diberi oleh group yang sebelum ini. Menurut Pok Eid, trip sebelum ini adalah seramai 42 orang dan dipandu dengan 2 orang jurupandu.

Kem Bakso

Mereka nampaknya menjadi Kem Bakso sebagai tempat untuk mereka bermalam. Kami berhenti sebentar di Kem Bakso. Melabuhkan punggung, melepaskan lelah bersama hembusan nafas yang kasar. Bunyi kicauan unggas dan serangga hutan begitu mendamaikan jiwa. Biarpun masih lagi keletihan, nyata perasaan itu begitu mendamaikan.

Kami sepakat untuk makan tengah hari di situ. Perut pun bukan main dah berkeroncong. Kosong. Rasa macam cepat pula perut untuk merasa kosong kali ini. Makan tengah hari adalah apa yang telah dibekalkan oleh gogo pada pagi tadi. Lunch pack yang menunya adalah nasi himpit, kuah kacang dan juga satay. Rasanya menu nasi himpit ni adalah menu wajib bagi gogo TKR. Entah, mungkin gogo punya pengalaman yang manis lagi indah dengan menu faveretnya iaitu nasi himpit.

Nasi himpit, kuah kacang, satay baung.

Kami makan dengan penuh berselera. Satay baungnya masih lagi terasa seperti kepanasan. Mungkin panas disiram cahaya matahari atau pun panas kerana berada di dalam beg. Usai makan, kami berbincang sama ada ingin meneruskan ke hadapan untuk mencari kemsite, atau untuk turun ke bawah yang pastinya sudah ada anak sungai. Mengikut Pok Eid, kemungkinan turun ke bawah dalam 15-20 minit untuk berjumpa dengan anak sungai tapi untuk naik balik ke Kem Bakso mungkin mengambil masa 30-45 minit.

Keputusan diambil, kami mengikut cadangan Pok Eid untuk meneruskan perjalanan. Plannya adalah untuk mencari kemsite yang semakin hampir dengan puncak Basor. Pok Eid menjangkakan akan ada punca air sebelum Kem Kubang. Jadi, keesokan harinya, kami dapat menjimatkan masa berjalan untuk ke puncak.

1.35 petang
Kami bergerak dari Kem Bakso meneruskan pendakian. Trek sudah mula nampak untuk terus memacak. Banyak cabang yang seakan trek itu dilalui orang. Kalau tidak diguide oleh Pok Eid, rasanya masing-masing akan mengikut trek yang berlainan. 20 minit kami berjalan, kami berhenti di sekejap. Pok Eid meminta kami menunggu sekejap sementara dia berseorang meneruskan perjalanan untuk mencari punca air. 20 minit kami menunggu sambil melayan lagu Awie, Pok Eid datang dengan harapan yang hampa. Katanya tak ada tanda-tanda punca air.


2.20 petang
Pok Eid dan gogo berbincang. Keputusan telah dibuat. Gogo memutuskan untuk kami turun semula ke Kem Bakso dan seterusnya turun ke bawah seperti yang disarankan awal oleh Pok Eid. Kami terpaksa mengambil keputusan untuk terus turun ke bawah yang mengambil masa 15-20 untuk mencari kemsite yang berdekatan dengan sungai.

Pada masa ini, mental sudah terasa denyutnya. Penat-penat naik, kena turun pula. Tapi, itulah lumrah mendaki gunung, lagi-lagi bila trip untuk merintis trek atau pun kemsite. Naik turun, uturn dan patah semula itu adalah perkara biasa. Mental kena kuat. Tak kuat? Train emosi biar mental turut menjadi kuat.



2.50 petang
Kami sampai semula ke Kem Bakso. Tapi kali ini kami tidak lagi berhenti. Kami meneruskan perjalanan terus menurun ke bawah. Tenaga daripada nasi himpit tadi masih lagi ada sisa-sisanya. Satay baung dan kuah kacang kemungkinan masih lagi belum diproses menjadi tenaga. Dari Kem Bakso menurun ke bawah sememangnya agak cerun. Cuma ada anak-anak pokok yang kecil batangnya untuk kami bertaut. Pada masa itu aku sudah berkira-kira macam mana lelahnya untuk naik semula nanti. Pacak mencanak oiii. Tanah pun rata tanpa ada step untuk berpijak. Jika hari hujan, kemungkinan trek itu amat berpotensi untuk menjadi licin dan menyukarkan pendakian.

3.30 petang
Sayu-sayu terdengar bunyi sungai mengalir. Kami semua sudah senyum kegirangan. Hati girang kerana sebentar lagi perjalanan kami akan berhenti. Misi kami sudah tercapai untuk mencari punca air. Tepat jam 3.30 petang, Pok Eid memberikan isyarat bahawa kami akan bermalam di situ. Tempatnya betul-betul bersebelahan dengan anak sungai. Anak sungai ini begitu misteri. Batu-batunya penuh dengan lumut dan ditumbuhi dengan pokok-pokok yang menjalar di atasnya. Kadang-kadang ada terlintas di fikiran kiranya ada ular yang menyorok di situ. Seram la pulak nak mandi! Haha.

Sungai yang masih belum terusik

Kami meletakkan beg masing-masing. Parang dikeluarkan daripada sarungnya. Kami perlu menebas untuk menjadikan tempat itu bersih daripada semak-samun untuk memudahkan kami memasang fly dan menghampar ground. Kami perlu membersihkan tempat tersebut demi keselesaan kami untuk tidur di situ. 2 malam kami akan bermalam di kemsite ini. Hati ada banyak senyum, kem TKR sudah ditemui!



Semasa kami menebas, terlalu banyak lebah yang turut datang menemani kami. Datangnya mereka bukan untuk menolong kami, tapi seakan datangnya untuk mengganggu kami. Katanya Pok Eid, sekarang ini adalah musim bunga dan sememangnya akan banyak lebah pada musim ini. Katanya Faisal, lebah berminat kepada kami semua adalah kerana baju kami yang berpeluh. Lebah zaman sekarang tidak mahu lagi manisan daripada bunga, apa yang mereka mahu adalah peluh jantan dari jejaka-jejaka Melayu!



Pok Eid menghidupkan api, membakar daun-daun kering, dan ranting-ranting kayu yang halus. Lebah dan segala binatang yang berterbangan terus lari pulang ke rumah. Rasakan asap daripada unggun api Pok Eid!! Malam itu kami makan malam dengan nasi putih, ikan mackerel dengan sos tomato, telur dada dan juga sosej goreng. Rasanya sangat mabeles. Sesungguhnya, setiap makanan di dalam adalah amat berharga dan amat sedap!!



Pukul 9 malam aku sudah bersedia untuk merebahkan badan. Tidur merehatkan tubuh yang sudah keletihan. Banglo usang yang didirkan di kemsite ini sungguh mewah. Dengan menghampar 2 ground, kami berenam tidur di atasnya. Selamat malam dunia, selamat malam Hutang Basor.



Comments

  1. Gigih baca sampai habis...apa2 pun memng bestlah...lama dah tak hiking..

    ReplyDelete

Post a Comment

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.

Popular posts from this blog

LATA KAHSMIR DI JELI : TEMPAT WAJIB SINGGAH DI KELANTAN

  Acah-acah model Bollywood Tempat ini dikenali dengan Lata Kashmir yang terletak di Jeli. Cari saja di google maps, ‘Kashmir Jeli’. Google maps akan tunjukkan jalan betul-betul sampai di sini. Di sini adalah kawasan kampung dan akan nampak suasana kampung bila saja masuk simpang Batu Melintang. Lagi cantik kalau arusnya laju Pernah viral kerana tempatnya cantik dengan hamparan rumput menghijau. Kawasan ini pernah viral di instafamous dan juga page-page Facebook yang mengatakan tempat ini cantik menghijau. Tapi, untuk tidak menghampakan korang dan bukannya indah khabar dari rupa, awal lagi aku pesan yang tempat ini akan cantik bila rumputnya baru saja dipotong.  Korang jangan ingat yang rumput ini tumbuh dan tidak panjang-panjang. Nanti bila korang sampai ketika rumput panjang, jangan nak mengeluh. Kalau tak nak kecewa, sila bawa siap-siap mesin rumput di dalam bonet kereta.  Tempat di sana adalah yang tempat larangan dan sudah dipagar Tempat ini adalah kawasan kepunyaan TNB. Bila samp

RENEW LESEN MEMANDU DI PEJABAT POS MALAYSIA SEBAGAI WAKIL

Ini bila aku pergi sebelum pejabat pos buka lagi. Pukul 8.05 pagi Pagi tadi aku pergi ke Pejabat Pos Malaysia untuk memperbaharui aka renew lesen memandu. Tapi bukan lesen memandu aku la. Adik aku minta tolong aku untuk renew lesen memandunya memandangkan dia ni seorang yang sibuk bekerja. Sibuk la sangat sampai tak ada masa nak pergi pejabat pos. Disebabkan aku ni seorang abang yang baik hati lagi berdedikasi, maka aku dengan relanya sanggup untuk menolongnya. Ya lah. Adik sendiri. Tak kan tak nak tolong kan? DAH RAMAI YANG BERATUR Awal pagi lagi aku dah pergi. Pukul 8.05 minit pagi aku dah sampai di Pejabat Pos Pasir Mas, Kelantan. Masya Allah. Sungguh bersemangat dan sungguh berdisiplin anak-anak Pasir Mas kerana bila aku sampai tu, pejabat Pos masih lagi tutup tetapi orang yang beratur sudah ramai. 10 orang tu lebih la. Ini betul-betul menguji tahap kesabaran aku memandangkan aku selalu kalah dengan sabar bila melibatkan perlu beratur panjang.  Aku search google

HIKING BUKIT SALOR : VIEW MENAWAN, AWAN KARPET BERGULUNG-GULUNG

View di puncak Bukit Salor yang tidak mengecewakan Bagi sesiapa yang ingin hiking secara santai-santai, sambil jalan boleh sepak daun, Bukit Salor mungkin boleh dimasukkan dalam senarai. Pemandangannya sangat cantik. Kalau ada rezeki, viewnya nanti ada awan karpet dan dalam tebalnya awan karpet, boleh nampak Gunung Reng yang semacam berusaha untuk menampakkan dirinya. Rezeki dapat parking di starting point Sejak beberapa bulan yang lalu, tempat hiking sudah menjadi viral dan sudah menjadi kegilaan rakyat Malaysia. Tengok sahaja di Kelantan, Bukit Panau yang dulu sunyi dari pengunjung, kini siap dengan ada payung dan gerai seperti pasar tani. Semuanya gara-gara PKP yang berpunca dari COVID-19. Manusia jadi murung bila lama berkurung, dan bila saja diberi kelonggaran untuk bergerak, tempat-tempat sebegini menjadi tumpuan untuk melepaskan kemurungan kerana berkurung. Trek yang bersimen sehingga ke menara telekomunikasi Bukit Salor pun sama. Kini sudah menjadi tumpuan ramai manusia, lebih-