Skip to main content

Perginya Seorang Murabbi Tercinta


Gambar semasa sambutan hari guru 29 Jun 2015

8 Jun 2015. Satu lagi episod duka dalam diari perjalanan kehidupan. Jauh dari lubuk hati aku sedar dan yakin yang ini adalah satu kehidupan yang sementara. Satu perjalanan dalam menuju ke sebuah kehidupan yang kekal abadi. Mungkin episod ini adalah satu peringatan dan juga satu wisel untuk menyedarkan diri yang sering kali lalai ini akan sebentarnya kehidupan di atas muka bumi ini.

Pagi Isnin, 8 Jun 2015. Satu mesej dari group whatsapp kedengaran dan terpapar di skrin smartphone aku. Luhurnya hati ini bila mesej itu mengatakan yang Ustaz Nasrudin Saufi telah pulang mengadap penciptanya pada pukul 6;30 pagi tadi. Aku tergamam seketika bila menerima mesej tersebut. Terus ku reply adakah ianya betul – betul sahih dan benar biarpun hati ini sudah arif akan mesej sebegini. Ianya bukan lagi satu permainan dan gurauan.

Ternyata, berita itu adalah suatu kebenaran. Suatu kebenaran yang perlu ditelan dan dihadam walaupun ianya satu berita yang perit dan pedih. Berita itu disahkan pula oleh individu lain yang merupakan rakan sekerja Ustaz Nasrudin yang isterinya sendiri memaklumkan berita sedih itu menerusi panggilan telefon. Ternyata, murabbi dalam bidang Al – Quran sudah pergi mengadap Illahi pada pagi Isnin, 8 Jun 2015.

Aku tergamam. Baru semalam ( 7 Jun 2015), aku dan Ustaz Din berbicara mesra di tempat kenduri anak muridnya yang merupakan kawan aku. Batang tubuhnya nampak sihat dan kuat. Bicaranya penuh senyuman dan nampak ceria. Tapi, ternyata itu semua tidak boleh dijadikan alasan dan sebab untuk tidak dapat menerima kematian Ustaz Din. Satu bukti yang betul – betul boleh dijadikan sandaran yang tidak semestinya orang sihat dan kuat tubuh badan itu tidak akan mati. Tidak semestinya orang yang terlantar sakit akan pergi dahulu.

Aku melontar balik kenangan silam pada tahun 2004. Tahun di mana aku mula – mula memasuki Maahad Tahfiz Al – Quran di Pulai Chondong. Aku masih berada di tingkatan satu dan masih lagi mentah dan sudah di’paksa’ oleh kedua orang tuaku untuk memasuki alam menengah dengan menghafal Quran. Apakan daya, anak yang soleh itu adalah anak yang mengikuti apa yang orang tuanya kehendaki. Aku turuti. Masa itu aku sudah tahu tentang dosa derhaka.

Aku mula mengenali Ustaz Nasrudin Saufi di awal tingkatan satu lagi bilamana aku dan beberapa belas orang pelajar lain lagi terpilih untuk menjadi anak muridnya bagi kelas Al-Quran. Awal – awal lagi aku sudah dimomokkan oleh pelajar senior yang Ustaz Nasruddin ini garang tuannya. Tegas. Sedikit sebanyak momokan itu berjaya memperdayakan motivasi dan menyebabkan diri ini begitu kecut bilamana pertama kali berhadapan dengan Ustaz Nasrudin.

Kelas Al-Quran kami dibuat di satu bilik khas yang dinamakan bilik seminar. Tertutup dan tiada gangguan bunyi dari pelajar lain ataupun kelas lain. Ternyata, memang betul apa yang dimomokkan oleh pelajar senior tentang sosok tubuh Ustaz Nasrudin bila mana kelas pertama untuk sesi 2014 bermula. Walaupun mukanya putih bersih, mimik mukanya yang garang tidak mampu dipadamkan. Aku tahu, ini adalah permainan psikologi yang sudah ditanam sejak mendengar desas desus tentang kebengisan dan ketegasan Ustaz Nasrudin.

Perwatakan Ustaz Nasrudin begitu simple dan ringkas. Berkopiah putih, berbaju ala – ala baju raihan, bersluar slack dan berkasut hitam kilat. Rambutnya sentiasa kemas dan pendek dan ditambah dengan janggut yang lebat kehitaman walaupun tidak lah begitu panjang sampai segenggam tangan. Ini lah perwatakan dan penampilan Ustaz Nasrudin. Cumanya, setiap kali dia memasuki kelas Al-Quran, tidak akan tertinggal  ‘senjata’ rahsianya untuk habuan anak muridnya. Sejenis batang gam getah yang putih.

Kumpulan aku tidak ada masalah pada hafalan. Hanya ada seorang dua yang bermasalah. Itu pun disebabkan oleh masalah malas menghafal. Kembali kepada kelas pertama kami, semua murid nampaknya begitu senyap dan tidak berani bersuara apabila Ustaz Nasrudin mula melangkah kaki memasuki kelas. Semua tunduk dan terus mengadap Al-Quran biarpun pada awalnya begitu rancak berbual – bual kosong. Aura Ustaz Nasrudin ternyata begitu kuat.

Ustaz Nasrudin mengambil tempatnya di hadapan. Batang getah gam tidak lekang daripada tangannya. Beberapa minit berlalu tapi tiada seorang pun yang berani tampil ke hadapan untuk memperdengarkan hafazan mereka. Aku pun sama. Hanya memerhatikan siapa yang berani membuat langkah pertama tampil ke hadapan. Langkah pertama atau pun langkah seribu? Tidak mungkin langkah seribu. Jauh sesekali.

Selang 10 minit, Ustaz Nasrudin mengukir senyuman. Senyuman yang begitu manis dan enak dipandang. Senyuman yang dapat mencairkan anak muridnya dalam menawarkan rasa bimbang tentang kebengisan Ustaz Nasrudin yang dimomokkan oleh pelajar senior sebelum ini. Ustaz Nasrudin bersuara, mempelawakan sesiapa yang ingin tasmi’ untuk tampil kehadapan dan berhadapan dengannya. Kaki ini  kaku. Masih tidak berganjak dari tempat dudukku.

Salah seorang daripada kami bangun, melangkah ke hadapan. Nampak begitu yakin untuk memperdengarkan hafazannya. Biasanya, awalnya dibacakan Surah Al – Fatihah dan diiringi dengan Surah As-Sajadah. Sukatan yang telah digariskan oleh pihak sekolah untuk matapelajaran Al-Quran bagi tingkatan satu. Tertib sukatan bermula dari Surah As-Sajadah, Yasin, Ad-Dukhan, Al-Mulk, Juz 30 dan selepas itu baru dimulai dengan Juz 1 Surah Al – Baqarah hinggalah kepada Juz 30. Semua itu perlu dihabiskan dalam masa 4 tahun.

Orang yang pertama tasmi’ nampaknya mengambil masa dalam 15 minit dalam perkiraan aku. Aku ingat – ingat lupa. Ustaz Nasrudin ternyata begitu cermat dan tegas dalam ilmu tajwid. Penekanannya dalam ilmu tajwid ketika membaca Al-Quran begitu teliti sekali. Bayangkan Surah Al – Fatihah sahaja mengambil masa paling kurang 10 minit. Semuanya diperbetulkan. Dari tajwid, dengung, berapa panjang mad, sebutan huruf yang betul dan semua yang merangkumi ilmu tajwid. Kelas pertama hanya memperdengarkan Surah Al – Fatihah dan itupun masih belum ada pelajar yang tidak sempat tasmi’.

Tiba giliran aku. Sedikit berdebar dan menggigil ketika melangkah menuju ke arah Ustaz Nasrudin. Entah. Apa yang didebarkan pun aku tidak jelas pada masa tersebut. Sebelum pergi, aku sudah berlatih beberapa kali dengan kawan aku yang sudah lepas. Perkemaskan mana yang masih lagi longgar dalam ilmu tajwid. Aku tahu, ini tidak akan 100 peratus melepasi piawaian Ustaz Nasrudin, tetapi paling tidaknya, 50 peratus sudah memadai. Hanya sebagai asas.

Aku memperdengarkan bacaan. Walaupun tidak lunak. Aku tak kisah. Walaupun tidak semerdu Sudais ataupun Shuraim, aku tak endahkan. Apa yang aku tekankan pada masa itu hanyalah tajwid. Panjang pendek, dengung izhar aku berhati – hati takut ada yang tersalah. Dan, ternyata ianya memang ada salah. Semuanya dalam jangkaan aku. Aku reda. Hanya dengar apa yang Ustaz Nasrudin betulkan dan aku ikut kembali. Tegas? Memang aku benarkan.

Pada masa itu, Ustaz Nas (panggilan popular Ustaz Nasrudin dalam kalangan pelajar) meng’highlight’kan kesalahan aku. Katanya, kurang aku cumalah tidak buka mulut semasa menyebut huruf. Malas nak buka mulut. Dia buat contoh bagaimana yang sepatutnya aku buat. Contoh yang jelas, masa sebut tu kena buka mulut ke tepi mengikut kesesuaian sebutan huruf. Kalau alif, buka lebar ke tepi. Biar hujung bibir tu hendak mencecah telinga. Kalau baris atas, pergerakan mulut lain pula. Satu pelajaran buat aku.

Apa yang paling lucu adalah bilamana ada yang tidak ikutkan apa yang Ustaz Nas tegur. Contohnya, buka mulut dengan betul. Walaupun ditegur berkali – kali, ada pelajar yang nampak begitu sukar untuk menyebutnya kembali, akan keluar dari mulut Ustaz Nas, “Kenapa susah sangat nak buka mulut? Ada emas ke kat dalam tu?”. Jika pelajar tersebut nampak begitu degil, dan susah untuk ikut apa yang diajarinya, satu tamparan dari batang gam getah akan hinggap di tapak tangan. Tidaklah sakit, tapi ianya pedih untuk seketika.

Caranya memang berkesan. Bilamana berulang kesalahan yang sama, akan hinggap tamparan di tapak tangan tanpa banyak bicara. Secara sendiri, pelajar tahu apa kesalahan yang dibacanya dan cepat – cepat akan diperbetulkan. Ini apa yang aku nampak daripada cara pembelajaran Ustaz Nasrudin akan buat pelajar itu akan berhati – hati dalam membaca ayat – ayat yang kehadapan bimbang kalau – kalau hinggap batang gam getah pada tapak tangan mereka. Pedih.

Batch aku hanya sempat setahun dengan Ustaz Nas. Masuk tahun kedua (2005), Ustaz Nas mengambil alih tingkatan satu. Mungkin perkiraannya, kami sekarang ini sudah kemas dalam bacaan biarpun masih tidak menepati skemanya seratus peratus. Paling kurang, setanding dengan qari – qari antarabangsa. Ceewah. Tapi, segalanya adalah suatu kenangan. Mungkin pada awalnya kami semua menggambarkan satu kelas yang ngeri tanpa keceriaan, kelas yang suram tanpa senyuman tapi ternyata penghujungnya adalah kemanisan dalam menuntut ilmu.

Aku masih ingat, ada seorang rakan sekelas aku yang selalu menjadi perhatian Ustaz Nasrudin. Ustaz Nasrudin telah mengenal pasti yang rakan aku ini mengalami masalah dalam menyebut huruf ‘ro’. Sebutannya tidak akan berbunyi ro. Tidak ada getaran dan tidak jelas sebutan huruf ‘ro’. Lidahnya sukar untuk menyebut huruf ‘ro’ dengan betul. Aku dan rakan sekelas yang lain kadang – kadang terbit rasa kasihan walaupun ada juga kadang – kadang, kami ini nakal dan siap mengejeknya dengan huruf ‘ro’. Cuma gurauan.

Setiap kali kelas, rakan aku ini akan dikenakan hukuman berdiri di atas kerusi sambil menyebut huruf ‘ro’ sampai ianya betul – betul berbunyi huruf ‘ro’ 100 peratus. Azab latihannya mungkin dia seorang sahaja yang tahu. Seingat aku, latihannya mengambil masa berbulan – bulan untuk suatu hasil yang memuaskan hati Ustaz Nasrudin. Pernah aku melihat, air matanya meleleh bilamana berhadapan dengan Ustaz Nasrudin ketika memperdengarkan hafazannya. Ketika itu, sebutan huruf ‘ro’nya masih belum sempurna. Selalu hinggap ditangannya senjata rahsia Ustaz Nasrudin.

Cekalnya Ustaz Nasrudin terhadap anak muridnya, beliau tidak berputus asa dalam mengajarnya biarpun hanya satu sebutan huruf ‘ro’. Semangat didiknya inilah yang membuatkan semangat anak muridnya juga tidak pernah luntur dan berazam untuk menyebut huruf ‘ro’ dengan betul. Ternyata, usaha yang diiringi dengan doa daripada ustaz berbuah hasil walaupun ianya sedikit memakan masa. Terpacar sinar kebanggaan dan kepuasan di wajah Ustaz Nasrudin dan anak buahnya tadi. Pasti, anak muridnya tadi berterima kasih sebesar gunung kerana dia mampu menyebut huruf ‘ro’ dengan betul.

Sebenarnya tiada kata, tiada ucapan, tiada hadiah yang mampu menandingi jasa Ustaz Nasrudin dalam mendidik anak muridnya dengan ilmu Al-Quran. Sikap cekal dan tabahnya dalam mendidik kadang – kadang begitu menguji kesabaran tetapi dia tetap bersahaja dan tenang dalam menghadapinya. Kerenah setiap orang pelajar bukannya mudah nak tangani. Diselitnya juga sekali dengan akhlak dan sahsiah yang mantap semasa mendidik agar ianya menjadi ikutan anak muridnya.


Terima kasih tak terhingga Ustaz Nasrudin. Doa kami sentiasa mengiringimu. Moga dikau tenang di sana, moga dikau tergolong dalam golongan orang yang sedang berada di taman syurga sebelum kita semua dibangkitkan di akhirat kelak. Moga dikau terhimpun bersama dengan para soleh dan para rasul di syurga nanti. Aku tahu, pengakhiran kita di dunia ini tetap sama. Permulaan kita di negeri akhirat juga akan sama. Moga, tempat terakhir kita di akhirat juga sama iaitu di Syurga Firdaus.



Anak muridmu,
Muhammad Hafizin Jamil Bin Madrus.

Jenazah selamat dikebumikan. Kelihatan isteri anak - anak arwah (belakang lelaki penyodok baju biru) menatap sayu pemergian ayahnya.

Comments

  1. Inna lillah wa inna ilayhirojiun...semoga syurga lah tempatnya. Sedih..terharu.. baca nukilan HJ ni.

    ReplyDelete
  2. sedihnya baca huuu. besar pahala dia kan dik mengajar ilmu al quran ni. teringat pulak kt arwah uztaz ngaji akak.

    moga dorang ditempatkan bersama para solehin amin

    ReplyDelete
  3. Innalillahwainnailahirojiun.... semoga arwah ditempatkan dikalangan para syuhada...

    ReplyDelete
  4. saya jumpa ustaz pat kenduri n ustaz nash teringat pengantin lelaki pun serupo ustaz.. alhamdullilah sekarang bergelar ustaz

    ReplyDelete

Post a Comment

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.

Popular posts from this blog

LATA KAHSMIR DI JELI : TEMPAT WAJIB SINGGAH DI KELANTAN

  Acah-acah model Bollywood Tempat ini dikenali dengan Lata Kashmir yang terletak di Jeli. Cari saja di google maps, ‘Kashmir Jeli’. Google maps akan tunjukkan jalan betul-betul sampai di sini. Di sini adalah kawasan kampung dan akan nampak suasana kampung bila saja masuk simpang Batu Melintang. Lagi cantik kalau arusnya laju Pernah viral kerana tempatnya cantik dengan hamparan rumput menghijau. Kawasan ini pernah viral di instafamous dan juga page-page Facebook yang mengatakan tempat ini cantik menghijau. Tapi, untuk tidak menghampakan korang dan bukannya indah khabar dari rupa, awal lagi aku pesan yang tempat ini akan cantik bila rumputnya baru saja dipotong.  Korang jangan ingat yang rumput ini tumbuh dan tidak panjang-panjang. Nanti bila korang sampai ketika rumput panjang, jangan nak mengeluh. Kalau tak nak kecewa, sila bawa siap-siap mesin rumput di dalam bonet kereta.  Tempat di sana adalah yang tempat larangan dan sudah dipagar Tempat ini adalah kawasan kepunyaan TNB. Bila samp

HIKING BUKIT SALOR : VIEW MENAWAN, AWAN KARPET BERGULUNG-GULUNG

View di puncak Bukit Salor yang tidak mengecewakan Bagi sesiapa yang ingin hiking secara santai-santai, sambil jalan boleh sepak daun, Bukit Salor mungkin boleh dimasukkan dalam senarai. Pemandangannya sangat cantik. Kalau ada rezeki, viewnya nanti ada awan karpet dan dalam tebalnya awan karpet, boleh nampak Gunung Reng yang semacam berusaha untuk menampakkan dirinya. Rezeki dapat parking di starting point Sejak beberapa bulan yang lalu, tempat hiking sudah menjadi viral dan sudah menjadi kegilaan rakyat Malaysia. Tengok sahaja di Kelantan, Bukit Panau yang dulu sunyi dari pengunjung, kini siap dengan ada payung dan gerai seperti pasar tani. Semuanya gara-gara PKP yang berpunca dari COVID-19. Manusia jadi murung bila lama berkurung, dan bila saja diberi kelonggaran untuk bergerak, tempat-tempat sebegini menjadi tumpuan untuk melepaskan kemurungan kerana berkurung. Trek yang bersimen sehingga ke menara telekomunikasi Bukit Salor pun sama. Kini sudah menjadi tumpuan ramai manusia, lebih-

RENEW LESEN MEMANDU DI PEJABAT POS MALAYSIA SEBAGAI WAKIL

Ini bila aku pergi sebelum pejabat pos buka lagi. Pukul 8.05 pagi Pagi tadi aku pergi ke Pejabat Pos Malaysia untuk memperbaharui aka renew lesen memandu. Tapi bukan lesen memandu aku la. Adik aku minta tolong aku untuk renew lesen memandunya memandangkan dia ni seorang yang sibuk bekerja. Sibuk la sangat sampai tak ada masa nak pergi pejabat pos. Disebabkan aku ni seorang abang yang baik hati lagi berdedikasi, maka aku dengan relanya sanggup untuk menolongnya. Ya lah. Adik sendiri. Tak kan tak nak tolong kan? DAH RAMAI YANG BERATUR Awal pagi lagi aku dah pergi. Pukul 8.05 minit pagi aku dah sampai di Pejabat Pos Pasir Mas, Kelantan. Masya Allah. Sungguh bersemangat dan sungguh berdisiplin anak-anak Pasir Mas kerana bila aku sampai tu, pejabat Pos masih lagi tutup tetapi orang yang beratur sudah ramai. 10 orang tu lebih la. Ini betul-betul menguji tahap kesabaran aku memandangkan aku selalu kalah dengan sabar bila melibatkan perlu beratur panjang.  Aku search google