Skip to main content

Seputar Isu Terbaru di Malaysia

Makin banyak isu hangat di Malaysia yang tak sempat diikuti sejak GST diperkenalkan. Mana tidaknya, marhaen perlu mengerahkan keringat dengan lebih banyak daripada biasa untuk menampung perbelanjaan harian. Barangan dapur, barangan anak – anak, dan juga barangan keperluan yang lain. Itu rakyat marhaen yang biasa. Tahukah yang ramai lagi marhaen yang ditimpa musibah bah kuning di Kelantan hujung tahun lepas belum lagi dapat berteduh di sebuah tempat yang dinamakan rumah? Ramai mereka yang hanya mendiami khemah dan juga bangsal buruk yang seakan menunggu masa untuk rebah menyembah bumi?


MANGSA BAH MASIH DIPINGGIRKAN?

Jenguk seketika di laman media sosial, boleh nampak yang rakyat Malaysia masih begitu peka dengan permasalahan ini dan cuma mampu menjadi keyboard warrior. Sangkaan baik itu perlu. Mungkin itu sehabis daya mereka yang dapat menyumbang untuk marhaen yang masih lagi dalam kesempitan dan juga kesusahan. Kekadang, kita akui yang kita memerlukan golongan ini. Luahan mereka tulus dari hati yang merasa hairan dan juga pelik mengapa bantuan untuk mangsa gempa bumi di Nepal sangat cepat untuk sampai sedangkan rakyat kita di hulu Kelantan masih ramai lagi yang tidak dapat bantuan yang secukupnya.

Tiada tempat berteduh biarpun lebih 4 bulan musibah berlalu. Hidup mereka seperti gelandangan. Hanya pondok kecil berbumbungkan khemah dan perlu menampung sehingga 7 – 9 orang dalam satu – satu masa. Sudah ada peruntukan untuk mereka. Peruntukan untuk mangsa bumi Nepal tu peruntukan lain pula… Kata mereka. Entah. Karenah pentadbiran dan pengurusan pihak atasan belum dapat aku faham sampai ke hari ini. Mana pemerintah dari kerajaan pusat mahupun daripada kerajaan negeri? Takkan hanya mengharapkan NGO dan juga aktivis seperti Raja Shamri? 

Bukan hendak mengatakan yang kerajaan tidak berusaha. Usahanya ada. Kesannya ada. Persoalannya, mengapa begitu mengambil masa yang agak lama dalam membantu mereka ini. Adakah pilihan raya kecil membuatkan kerajaan terpesong buat seketika? Adakah peruntukan untuk mereka ini beralih kepada pilihan raya kecil ini? Jikalaulah betul...


TRAGEDI MYVI

Beralih kepada isu kematian sepasang suami isteri bersama dengan anak mereka di lebuh raya Duke dalam kemalangan yang membabitkan pemandu kereta Myvi. Dikatakan pemandu Myvi itu berlumba sesama mereka dan merempuh kereta mangsa dari belakang. Mangsa tercampak keluar dan telah meninggal dunia dan meninggalkan dua orang anak yang akan meneruskan hidup tanpa ayah dan juga ibunya.

Maka, jadi viral lah cerita ini sehinggakan ramai artis pergi melawat dua beranak yang ditinggalkan pasangan suami isteri yang menjadi mangsa tragedi pemandu Myvi. Sebab apa untuk diviralkan? Apa motifnya? Kenapa anak – anak sepasang ibu bapa yang mati digilis lori ketika membonceng motosikal suatu ketika dulu tidak diviralkan seperti ini? Tidak mencuri keprihatinan barisan artis kita? Apakah faktor yang membezakannya?

Susulan daripada isu rempuhan daripada sikap cuai dan tidak bertanggungjawab pemandu Myvi ini, pemilik kereta Myvi yang lain turut menerima tempiasnya dek kerana kebebalan dan kebodohan sebahagian rakyat kita sendiri. Banyak kereta – kereta Myvi menjadi sasaran mereka ini untuk melepaskan geram disebabkan kesilapan penjenayah jalan raya tersebut. Tidak pasal – pasal cermin tingkap pecah dan juga kereta kemek. Mereka ini seolah – olah menganggap yang kereta Myvi inilah yang salah. Menghukum kesemua kereta Myvi yang bersalah dan patut dikenakan hukuman tak kira siapa pemiliknya. Gila bukan? Mentaliti sesetengah rakyat Malaysia. Akhlak tiada. Sahsiah kurang. Pendek akal. Nyata disini yang salahnya bukan kereta, tetapi pemandunya.

Isu ini beransur menjadi tenang dengan kes ini sudah pun dibicarakan di mahkamah. Pemandu – pemandu Myvi tersebut mengaku tidak bersalah dalam kemalangan itu. Tunggu hujah peguam dan tunggu keputusan hakim yang menentukan. Jangan risau, mahkamah akhirat masih ada jika yang bersalah itu terlepas. Jangan terlampau emosi dalam menghukum sesuatu perkara. Bukankah tersalah memaafkan itu lebih baik daripada tersalah menghukum? Tak setuju? Prinsip masing – masing. Terpulang.


TIADA PELUANG KEDUA BUAT PEDOFIL?

Bergerak kepada isu pedofil yang juga turut mencuri keprihatinan para jaguh keyboard di Malaysia. Seorang yang genius Matematik didapati bersalah atas jenayah mempunyai sejumlah koleksi video dan juga gambar lucah budak bawah umur. Angka jumlah koleksi oleh individu terbabit membuatkan aku terfikir sejenak. Sungguh tidak masuk akal buat seorang genius. Ianya menguatkan fakta dari kajian saintifik yang menyatakan seseorang yang genius berpotensi mempunyai imaginasi seks yang tinggi. Genius. Ada pro dan kontra. Iman sebagai benteng kepada kontranya!

Pesalah adalah orang Malaysia dan sedang menuntut di sebuah kolej di London (kalau tak silap). Menjadi trending dan amarah rakyat Malaysia bila MARA dikatakan masih menimbang untuk tidak menarik balik biasiswa kepada pelajar ini dalam menghabiskan pelajarannya. Awalnya membuat keputsan untuk terus mengekalkan pelajar ini dibawah tanggunan mereka. Adakah patut MARA terus menaja pelajar ini ataupun menarik balik tajaan tersebut tanpa kompromi dan belas kasihan?

Hebatnya para jaguh keyboard ini bilamana MARA dengan yakinnya membuat keputusan untuk berhenti menaja pelajar ini. MARA nekad dan keputusannya adalah muktamad. Nosecondchance adalah trending yang digunakan oleh pengguna – pengguna laman Twitter sebagai suara bantahan untuk mendesak MARA menarik balik penajaannya. Mungkin disini kita boleh lihat peranan dan fungsi keyboard warrior. Suara mereka ibarat suara majoriti yang seakan sebagai jalan mudah untuk media cetak atau pun media elektronik membuat liputan. Tiada peluang kedua buat pedofil. Tak bermaruah.

Bagi aku, semua manusia berhak untuk mendapat peluang kedua. Kita tidak tahu masalah mereka. Hanya mendengar cerita sebelah pihak. Adakah itu adil buat dia?


TABUNG HAJI DAN 1MDB

Akhir sekali yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia buat masa sekarang adalah isu 1MDB. Isu politik yang mendapat ranking nombor satu Malaysia kalau diikutkan daripada pemerhatian peribadi. Mana tidaknya bila Tun Mahathir sendiri yang terlibat dalam menghangatkan isu ini. Sejak dua menjak ini, Tun Mahathir nampak begitu terkehadapan dalam mempertikaikan pentadbiran Perdana Menteri sekarang ini, Datuk Najib.  

Kalau sebelum ini, hanya Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli yang menghangatkan kerusi pentadbiran Datuk Najib dengan menyebut ketirisan dan penyelewangan dana – dana dalam kerajaan. Mungkin bosan dengan dua individu ini, satu percaturan telah diatur dan berjaya membisukan seorang daripada dua individu ini di balik tembok batu berpintukan besi.

Tentu mereka tidak menyangka ada satu lagi King yang baru memasuki petak pertempuran. Musuh yang tidak dijangka adalah musuh yang paling sukar untuk ditumpaskan. Bukan begitu? Tun Mahathir ibarat senjata baru buat pihak pembangkang dalam terus menujah jatuh pentadbiran Datuk Najib. Awalnya GST, kemudian 1MDB. Isunya sekarang ini bila Tabung Haji terlibat dalam pembelian aset 1MDB. 

Tun Mahathir menyifatkan tindakan Tabung Haji ini adalah satu bailout atau pun cara pemulihan syarikat 1MDB yang bergelumang dengan hutang. Apa yang menjadi pertikaian adalah Tabung Haji sebagai amanah dalam memegang duit simpanan  bertindak dengan sewenangnya membeli tanah daripada anak syarikat 1MDB. Yang dikesali apabila harganya tidak masuk akal. Nampak dengan jelas yang ianya adalah satu langkah untuk menyelamatkan 1MDB yang sudah lemas ditimbus hutang.


Ketaranya bila orang atasan Tabung Haji rupanya adalah orang yang berkepentingan dalam carta organisasi syarikat 1MDB. Orang atasan Tabung Haji adalah orang yang sama dalam menjawat jawatan – jawatan tinggi dalam syarikat 1MDB dan anak syarikatnya. Adakah ini tidak menjadi kesangsian kepada rakyat? Kepada penyimpan – penyimpan di Tabung Haji? Duit yang diamanahkan untuk mengurus para pendeposit ini mengerjakan haji di Tanah Suci Mekah dengan sewenangnya dirobek untuk membeli tanah yang harganya langsung tidak masuk akal. 

Di sinilah tampilnya Tun Mahathir dalam menyuarakan kepincangan yang dibuat oleh Datuk Najib. Apakah kesudahannya? Adakah Datuk Najib menyahut saranan pembangkang untuk turun sebagai Perdana Menteri Malaysia? Selepas serangan bertubi - tubi daripada Tun Mahathir sebelum ini, dengan kes Altantuya, kemewahan dalam majlis perkahwinan anaknya, dan kekayaan oleh anak tirinya dengan memberli hartanah di luar negara, Datuk Najib nampak tidak goyang walaupun sedikit dan telah membalas serangan tersebut dengan menyatakan yang beliau akan berkhidmat dengan adil untuk rakyat dan juga negara Malaysia. Sejauh mana perjalanan episod drama ini menemui kesudahannya...?

Comments

  1. Entah... Pening jap tgk negara kita ni. Org yg duduk dlm khemah tak pula dipedulikan. Kenapa mesti susukan kera kat hutan dulu sedangkan rakyat kita ramai lagi yg menderita.

    ReplyDelete

Post a Comment

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.

Popular posts from this blog

LATA KAHSMIR DI JELI : TEMPAT WAJIB SINGGAH DI KELANTAN

  Acah-acah model Bollywood Tempat ini dikenali dengan Lata Kashmir yang terletak di Jeli. Cari saja di google maps, ‘Kashmir Jeli’. Google maps akan tunjukkan jalan betul-betul sampai di sini. Di sini adalah kawasan kampung dan akan nampak suasana kampung bila saja masuk simpang Batu Melintang. Lagi cantik kalau arusnya laju Pernah viral kerana tempatnya cantik dengan hamparan rumput menghijau. Kawasan ini pernah viral di instafamous dan juga page-page Facebook yang mengatakan tempat ini cantik menghijau. Tapi, untuk tidak menghampakan korang dan bukannya indah khabar dari rupa, awal lagi aku pesan yang tempat ini akan cantik bila rumputnya baru saja dipotong.  Korang jangan ingat yang rumput ini tumbuh dan tidak panjang-panjang. Nanti bila korang sampai ketika rumput panjang, jangan nak mengeluh. Kalau tak nak kecewa, sila bawa siap-siap mesin rumput di dalam bonet kereta.  Tempat di sana adalah yang tempat larangan dan sudah dipagar Tempat ini adalah kawasan kepunyaan TNB. Bila samp

RENEW LESEN MEMANDU DI PEJABAT POS MALAYSIA SEBAGAI WAKIL

Ini bila aku pergi sebelum pejabat pos buka lagi. Pukul 8.05 pagi Pagi tadi aku pergi ke Pejabat Pos Malaysia untuk memperbaharui aka renew lesen memandu. Tapi bukan lesen memandu aku la. Adik aku minta tolong aku untuk renew lesen memandunya memandangkan dia ni seorang yang sibuk bekerja. Sibuk la sangat sampai tak ada masa nak pergi pejabat pos. Disebabkan aku ni seorang abang yang baik hati lagi berdedikasi, maka aku dengan relanya sanggup untuk menolongnya. Ya lah. Adik sendiri. Tak kan tak nak tolong kan? DAH RAMAI YANG BERATUR Awal pagi lagi aku dah pergi. Pukul 8.05 minit pagi aku dah sampai di Pejabat Pos Pasir Mas, Kelantan. Masya Allah. Sungguh bersemangat dan sungguh berdisiplin anak-anak Pasir Mas kerana bila aku sampai tu, pejabat Pos masih lagi tutup tetapi orang yang beratur sudah ramai. 10 orang tu lebih la. Ini betul-betul menguji tahap kesabaran aku memandangkan aku selalu kalah dengan sabar bila melibatkan perlu beratur panjang.  Aku search google

HIKING BUKIT SALOR : VIEW MENAWAN, AWAN KARPET BERGULUNG-GULUNG

View di puncak Bukit Salor yang tidak mengecewakan Bagi sesiapa yang ingin hiking secara santai-santai, sambil jalan boleh sepak daun, Bukit Salor mungkin boleh dimasukkan dalam senarai. Pemandangannya sangat cantik. Kalau ada rezeki, viewnya nanti ada awan karpet dan dalam tebalnya awan karpet, boleh nampak Gunung Reng yang semacam berusaha untuk menampakkan dirinya. Rezeki dapat parking di starting point Sejak beberapa bulan yang lalu, tempat hiking sudah menjadi viral dan sudah menjadi kegilaan rakyat Malaysia. Tengok sahaja di Kelantan, Bukit Panau yang dulu sunyi dari pengunjung, kini siap dengan ada payung dan gerai seperti pasar tani. Semuanya gara-gara PKP yang berpunca dari COVID-19. Manusia jadi murung bila lama berkurung, dan bila saja diberi kelonggaran untuk bergerak, tempat-tempat sebegini menjadi tumpuan untuk melepaskan kemurungan kerana berkurung. Trek yang bersimen sehingga ke menara telekomunikasi Bukit Salor pun sama. Kini sudah menjadi tumpuan ramai manusia, lebih-