Skip to main content

ANALISA EKONOMI DAN UNTUNG RUGI ISTERI SEPENUH MASA

*Copy & paste dari page facebook warga prihatin
 
Artikel “Suri Rumah - Kerjaya Besar yang dilupakan” telah mendapat view yang sangat banyak sekali. 95% bersetuju dan 5% lagi tidak setuju. Dari kalangan yang setuju, 70% meminta penjelasan tentang perlaksanaannya dari kacamata kami sendiri.

Sebelum itu, kami nak beri disclaimer awal untuk mereka yang kadangkala baca tajuk sahaja dah melatah. Kami bukan atas sebarang niat untuk memperlekehkan suri rumah bekerjaya tetapi kami menampakkan rasional pilihan untuk kerjaya suri rumah sepenuh masa. Juga ada yang tak baca tetapi sering pula bertanya, bagaimana dengan kerjaya seperti jururawat, bidan yang sewajarnya wanita? ITU JUGA KAMI DAH RANGKUM dalam artikel ini. Cuma perlu baca sampai habis sahaja.

Mari kami bantu anda dalam membuat sedikit kira-kira yang MUDAH dan RINGKAS supaya anda sendiri mampu membuat kira-kira dari sudut guna anda sendiri. Kesemua 20 orang co-founder Prihatin juga bersama 20 orang isteri kerana kami tidak datang menggalang misi pembangunan akhlak Warga Prihatin ini secara sendirian. Maaf, kami bukan semuanya orang senang. Ada antara kami yang suaminya bergaji hanya RM1200 sebulan dan ada yang suaminya berpendapatan sangat tinggi tetapi tetap memilih untuk jadi suri rumah sepenuhmasa.

Tahun 2014 adalah tahun Wawasan Kemerdekaan isteri-isteri kami semuanya untuk menjadi suri rumah sepenuhmasa. Hanya tinggal 3 orang sahaja lagi yang masih bekerja bagi menghabiskan kontrak dan tanggungjawab mereka kepada kerajaan. Selebihnya telahpun berlepas diri.

IBU BEKERJA ITU MEMBAZIR ATAU MEMBANTU?

79% ibu yang bekerjaya membelanjakan lebih 70% gaji untuk diri sendiri. Contohnya seperti beg tangan, kasut, pakaian baru, wangian, rambut dan macam-macam lagi. Pastinya kami sendiri tidak lupa membuat pengiraan tentang itu. Mari kami kongsikan pengiraan yang boleh dijimatkan jika isteri terpelajar beranak 3 anda tidak bekerja di luar.

1. Kereta / kenderaan kedua = RM600 sebulan
2. Penyenggaraan kereta = RM100 sebulan
3. Minyak, parking & tol kereta = RM 500 sebulan
4. Tusyen anak-anak / guru mengaji dll – RM400 sebulan
5. Pembantu rumah / pengasuh dll – RM900 sebulan
6. Beli makanan luar – RM600 sebulan.

JUMLAH RM 3100

Sekarang, jika seorang suri rumah mampu mendapat gaji sebesar RM4,000 sebulan sebenarnya beliau hanya menyumbangkan RM900 sahaja dalam ekonomi rumahtangga.

Nanti dulu, tak mungkin pergi kerja pakai baju sama hari-hari kan? Mesti nak beli baju kerja, kasut kerja, beg tangan kerja, telefon pintar, alat solek, data plan mobile internet, tudung ikut fesyen dan banyak lagi. Semua itu bila dihitungkan tak berbaloi langsung. Suri rumahpun melaram juga sekali sekala, tetapi taklah perlu sampai setiap hari baju berlainan. Asalkan bersih dan tak comot sudah cukup gembirakan suamipun.

Jengah-jengah sedikit luar tingkap pejabat, nun di tengah Kuala Lumpur ada sebuah kawasan di panggil Bukit Bintang. Isi dalamnya kebanyakan barang-barang wanita. Prada, LV, Ferragamo, Birkin, Burberry, Jimmy Choo dan banyak lagi. Semua itu adalah sasaran kad-kad kredit wanita bekerjaya tadi. Untuk golongan pertengahan pun sama sahaja, jika pergi ke Parkson dan Jusco, anda lihat bahagian lelaki cuma satu sudut sahaja tetapi bahagian wanita sahaja sampai 2 tingkat.

Tak semua yang macam itu, tetapi kami sekadar berikan contoh. Bagi yang tak begitu, sila buat perkiraan sendiri untuk lihat adakah benar-benar anda telah menyumbang kepada ekonomi keluarga atau hanya untuk diri sendiri? Anda semua mungkin tidak, tetapi berdasarkan kajian kami sendiri dari kes-kes yang merujuk kepada kami, kami tahu gambaran makro kisah ini.

Kami tak tahu anda bagaimana, tetapi ini adalah perkiraan yang kami buat di kalangan warga kami sendiri yang telah dan bakal menjadi suri rumah sepenuh masa. Bukan kecil anak juga gajinya, ada yang meninggalkan gaji sehingga RM5-6 ribu sebulan sedangkan suaminya hanya berpendapatan separuh dari itu. Itupun mereka ralat kerana sepatutnya mereka sudah lakukannya awal dahulu lagi. Sekali lagi, kami tak bercakap tentang orang lain, kami bercakap tentang apa yang telah kami lakukan dan kami dapat lihat hasil pengorbanan itu sehingga artikel semalam tentang "Berhala Anak" ditulis oleh anak kami berusia 12 tahun. Beliau bukan genius tetapi beliau hanya salah seorang dari anak-anak kami yang mendapat sentuhan ibu-ibu kandung dan ibu-ibu angkat sepenuhmasa.

Tujuan mulanya untuk membantu mengukuhkan ekonomi rumahtangga, akhirnya menjadi bebanan pula. Ini belum lagi dengan anak-anak sendiri dididik oleh bibik-bibik yang tak tentu arah dan tak tahu asal usul mereka. Ingatlah, pembinaan anak kita berlaku HANYA sekali saja. Sekali ia terabai tak boleh kita putar semula masa. Kerugian kekal `yang ini’ tiada nilai dan tebusannya.

Sehebat-hebat Saidatina Khadijah r.a. yang kekayaan perniagaannya sahaja lebih separuh harta yang ada di Kota Mekah, setelah berkahwin dengan Nabi s.a.w. terus resign jadi suri rumah sahaja. Pada pandangan awam, mereka ini macam tak berkerjaya sedangkan suri rumah itu sendiri satu kerjaya yang sangat besar di sisi Allah dan suami.

Sekarang cuba hitung-hitung pada diri sendiri. Anda keluar pagi balik malam untuk hanya penambahan beberapa RM sebulan. Kononnya untuk membantu ekonomi Sang Suami. Ada suami yang bergaji sampai RM10 Ribu tetapi masih isterinya mahu bekerja kononnya RM10 Ribu itu tidak mencukupi. Percayalah, jika suami anda bergaji RM 1 Juta sekalipun jika gaya hidup anda berubah mengikut pendapatan ia tetap tidak mencukupi. Gaya hidup itu adalah AGAMA, terbaik ialah cara hidup Islam.
Antara tanggungjawab besar seorang isteri ialah redha dan menerima apa sahaja yang suami mampu. Jika pendapatan suami hanya RM1 Ribu, janganlah ubah cara hidup nak ikut kawan-kawan yang suaminya bergaji RM10 Ribu. Itu yang jadi tak cukup.

Itu juga perangai tipikal wanita sepanjang zaman. Pantang jiran sebelah beli sofa baru, kita pun nak sofa baru juga. Pantang jiran beli kereta baru dia pun nak juga. Sang Suami pula kena pacu segala macam cara agar permintaan isteri itu mampu dipenuhi. Jika tak mampu juga, nanti Si Isteri minta izin nak bekerja untuk bantu penuhi GAYA HIDUP dan bukannya keperluan.

Lagi mengharukan, jika isteri yang meminta melebihi kemampuan suaminya memberi tekanan kepada suaminya sehingga suaminya terpaksa memesong diri berkhianat dalam tempat kerja, mencuri, berasuah dan membuat kerja-kerja haram semata-mata untuk memuaskan hati isteri.

BERKAT bermakna mencukupi. Mengapa rezeki tidak berkat.? Masih ingat Ramadhan al-Mubarak? Di sini, kami didik isteri-isteri kami untuk tidak meminta-minta dan PUASAkan kehendak mereka.


PERUBAHAN GAYA HIDUP MERAWAT INFLASI

Pengurangan segala perbelanjaan tambahan untuk isteri yang berkerja tu akan mengurangkan permintaan. Ini akan MENURUNKAN HARGA PASARAN. Yang merungut nak bayar hutang kerana ada dua tiga buah kereta dah tak perlu lagi. Anak boleh naik bas sekolah atau suami naik motor atau komuter. Atau isteri di rumah pakai kereta hantar suami ke stesyen dan anak sekolah. Belanja kurang, harga turun dan hubungan keluarga makin rapat dan mesra.

Bagi memenuhi fardhu kifayah, tidak semua isteri boleh melepaskan kerjaya kerana negara dan umat pun perlukan mereka juga. Tapi bila ramai yang sudah berhenti, kerjaya di rumah boleh jadi ganti. Bila isteri ramai di rumah, kejiranan pun jadi meriah. Anak boleh titip dengan jiran sahaja. Tidaklah lagi taska membuak-buak sampai anak tidak terurus. Silap silap basuh dan gosok kain baju dan makan tengahari pun boleh upah pada jiran. Kos ibu yang berkerja juga jadi murah meriah. Tidak gitu?

Kami tidak menolak kerjaya-kerjaya yang memerlukan penglibatan wanita. Jika mak bidan pun beri pada lelaki, kamipun tak mahu isteri bersalin pula nanti. Jangan jumud dalam hal itu. Salah seorang jurutera senjata peperangan Sultan Mehmet Alfateh juga adalah seorang wanita.


GODAAN & FITNAH ISTERI BEKERJA

Ramai kalangan kita membaca Quran dan hadis untuk mencari alasan menolak perlaksanaannya. Kami terbalikkan prinsip itu. Semua firman Allah dan sabda Nabi s.a.w kami cari rasional perlaksanaannya. Kami anggap SEMUA AYAT dan HADIS adalah PERINTAH, bukan cerita kosong. Jika Sabda baginda bahawa tanda akhir zaman ialah ramainya wanita berkerjaya, jika Allah kata isteri harus dirumah mengurus rumahtangga, SIAPA KITA untuk menafikannya.? Bukankah kita ini hamba yang mengikut perintah?

Semasa dalam ruang kerja, pasti ada pelbagai godaan. Tidak kira lelaki mahupun perempuan, anak dara ataupun bini orang semua tak terlepas dari fitnah dan gejala. Apatahlagi kerjaya yang memang mencampur gaul wanita dan lelaki, bahkan memerlukan kita gedik dan seksi. Kalau tidak tak lah kita baca penceraian artis saban hari.
Percampuran Lelaki dan wanita itu ada caj –ve dan +ve, ibarat minyak dan api. Jangan didekatkan langsung nanti menyambar dan terbakar. Untuk elakkan kebakaran berlaku, JAUHKANLAH api dengan bahan bakar itu tadi.

Isu dalam dada akhbar, statistik dari mahkamah dan Kebajikan Masyarakat sahaja sudah cukup menjadi bukti perceraian yang banyak berlaku disebabkan oleh “AFFAIR TEMPAT KERJA”. Antara yang pernah singgah dalam pengetahuan kami apabila ada isteri (suami juga tak terkecuali) yang berfikiran dalam tempoh 8am-5pm mereka BUKAN ISTERI dan mereka bebas melakukan apa sahaja. Di rumah, baru mereka akan kembali sebagai suami atau isteri.

Bayangkanlah isu berapi begini terjadi di sana dan sini. SUAMI pula menggatal dengan orang lain dek kerana layanan isteri dah jadi hambar di rumah lantaran kepenatan bekerja siang hari. Kadangkala balik ke rumah seperti orang bujang, semuanya hanya layan diri sendiri sahaja. Di mana syurga rumahtangga? Mana bidadarinya? Hujung-hujung, pembantu rumah yang tak ada rupa sangatpun, yang tiada pelajaran sangatpun jika menggedik lebih kurang atau terbuat konon-konon keluar bilik air bertuala tanggung habis dilayan Sang Suami yang gersangkan layanan isteri yang sah.

Itulah buah kerosakan akhlak anak-anak generasi penerus yang bakal hidup dalam kerosakan bersama anak-anak anda yang tak rosak itu. Akhirnya, anak yang tak rosak juga akan rosak. Berkubang dalam kolam lumpur yang sama, mustahil terpalit sedikitpun tidak.

Sekali lagi, tak semua begitu atau kebanyakannya baik-baik belaka. Cuma kami suka menjadi sedikit paranoid kepada sesuatu kebejatan yang fatal. Baik kami sampaikan berita terburuk untuk kita ingat berbanding kami hanya sentuh berita kurang serius dan anda sidang pembaca merasakan ianya tidaklah serius sangat. Work for the best, Prepare for the worse


KEMBALI KEPADA FUNGSI ISTERI

Anda tahu bahawa ada 3 istilah isteri dalam quran? Iaitu Nisa’, Aswaja dan Amaraat. Itu ada kaitan dengan fungsi isteri. Kami tak boleh huraikan sekarang, nanti anda komplain artikel panjang sangat. Bukan semuanya minat membaca, mengkaji jauh sekali. Ramainya cuma minat gosip dan mencari alasan.

Jika suami menjadi arkitek rumahtangga, isterilah kontraktornya. Jangan komplen fitrah yang Allah telah tentukan itu. Suami menjadi pemimpin dan isteri menjadi pendidiknya dan anak adalah hasil kepimpinan yang diterjemah melalui pendidikan oleh Sang Ibu itu. Suami ialah Abal Haqam (Bapa Hukum) ibarat nakhoda yang menentukan destinasi pelayaran dan isterilah pengemudi bahtera itu.

Ibu teragung kita ialah Siti Hajar dan suami beliau ialah Nabi Ibrahim a.s.. Selepas melahirkan Ismail a.s., nabi Ibrahim a.s. meninggalkan Siti Hajar dan Ismail di tengah padang pasir dengan bekalan ILMU sahaja. Dengan ilmu itu, Siti Hajar mampu didik Ismail menjadi seorang nabi. Siti Hajar tidak pergi jauh dari Ismail AS. Secara geografi, jarak antara Bukit Safa & Bukit Marwa dan telaga zamzam semuanya dalam jarak seperlaungan tangisan seorang bayi sahaja. Siapa berani komplen model keluarga Nabi Ibrahim ini? Sekarang ini, dalam takliq nikah pun dah ada lafaz jika ditinggalkan lebih 4 bulan kamariah, isteri boleh tebus talak RM1. Nabi Ibrahim dahulu, tinggal terus Siti Hajar selepas dijelaskan visi dan misi bagaimana dan apa nak dijadikan kepada anakanda baginda, Ismail A.S. Jika nak dikira nafkah batin, nyata sekali nafkah batin yang suami dan isteri moden fikirkan ialah menjurus kepada hubungan seks sahaja sedangkan apa yang dipraktis oleh Nabi Ibrahim ialah "ILMU". Itulah nafkah batin Nabi Ibrahim kepada Siti Hajar.

Jika berani pertikai, silalah komplen cara Nabi Ibrahim tu.

Cuba kita bayangkan Siti Hajar seorang yang bekerjaya. Siap outstation luar Negara sampai berminggu-minggu. Mungkinkah seorang nabi mampu untuk dihasilkan? Fikirkanlah sendiri, kita mahukan anak berakhlak sebaik nabi, tetapi beralasan itu dan ini untuk menjadi suri yang mengabdi kepada suami walaupun dalam keadaan ketiadaan suami di sisi.

Terlalu banyak yang mahu kami ceritakan, dan terlalu sedikit ruang yang mampu kami coretkan di sini. InsyaAllah kami boleh kongsikannya dengan panjang lebar bila kita buat bengkel parenting nanti.

Ini sahaja sudah sangat panjang dan kami harap, ia berbaloi untuk anda baca dan kongsikanlah kepada mereka yang masih lagi mencari-cari jawapan dan penyelesaian.

Nukilan
WARGA PRIHATIN

*****

Artikel copy & paste daripada page facebook warga prihatin ataupun dari laman webnya prihatin.net.my. Artikel yang memberi kesan dan membuat kita berfikir. Wanita memang baca sebagai kedudukannya sebagai wanita atau isteri sepertimana sasaran artikel ini. Aku tengok ianya dari sudut sebagai seorang yang bakal bergelar suami. Gaya hidup berubah, nescaya kewangan pun berubah. Note kepada semua orang, satu point yang penting. Gaya hidup tak perlu padu dengan berlebihan, hanya sekadar yang cukup mengikut acuan Islam.

Bagi aku, wanita bekerja boleh, tapi kena tahu matlamatnya. Contohnya sebagai doctor, maybe dia bekerja sebab obses ataupun minat dia untuk menjadi doctor ataupun memang cita - cita. Cita - cita dia untuk menyelamat dan memberi bantuan kepada orang yang sakit. Kalau matlamat dia semata-mata adalah untuk duit, itu lebih baik dia jadi suri rumah sepenuh masa. Sebab cari duit ataupun nafkah zahir itu adalah kerja lelaki. Memang fitrahnya sebegitu.

Comments

  1. Cita-cita sebagai doctor? Bukan minat saya. Tapi atas permintaan ibu bapa. Bukan sahaja permintaan namun paksaan. heheh.

    ReplyDelete

Post a Comment

Sila Tinggalkan Komen Anda. Saya Hargai Setiap Komen Anda.

Popular posts from this blog

LATA KAHSMIR DI JELI : TEMPAT WAJIB SINGGAH DI KELANTAN

  Acah-acah model Bollywood Tempat ini dikenali dengan Lata Kashmir yang terletak di Jeli. Cari saja di google maps, ‘Kashmir Jeli’. Google maps akan tunjukkan jalan betul-betul sampai di sini. Di sini adalah kawasan kampung dan akan nampak suasana kampung bila saja masuk simpang Batu Melintang. Lagi cantik kalau arusnya laju Pernah viral kerana tempatnya cantik dengan hamparan rumput menghijau. Kawasan ini pernah viral di instafamous dan juga page-page Facebook yang mengatakan tempat ini cantik menghijau. Tapi, untuk tidak menghampakan korang dan bukannya indah khabar dari rupa, awal lagi aku pesan yang tempat ini akan cantik bila rumputnya baru saja dipotong.  Korang jangan ingat yang rumput ini tumbuh dan tidak panjang-panjang. Nanti bila korang sampai ketika rumput panjang, jangan nak mengeluh. Kalau tak nak kecewa, sila bawa siap-siap mesin rumput di dalam bonet kereta.  Tempat di sana adalah yang tempat larangan dan sudah dipagar Tempat ini adalah kawasan kepunyaan TNB. Bila samp

RENEW LESEN MEMANDU DI PEJABAT POS MALAYSIA SEBAGAI WAKIL

Ini bila aku pergi sebelum pejabat pos buka lagi. Pukul 8.05 pagi Pagi tadi aku pergi ke Pejabat Pos Malaysia untuk memperbaharui aka renew lesen memandu. Tapi bukan lesen memandu aku la. Adik aku minta tolong aku untuk renew lesen memandunya memandangkan dia ni seorang yang sibuk bekerja. Sibuk la sangat sampai tak ada masa nak pergi pejabat pos. Disebabkan aku ni seorang abang yang baik hati lagi berdedikasi, maka aku dengan relanya sanggup untuk menolongnya. Ya lah. Adik sendiri. Tak kan tak nak tolong kan? DAH RAMAI YANG BERATUR Awal pagi lagi aku dah pergi. Pukul 8.05 minit pagi aku dah sampai di Pejabat Pos Pasir Mas, Kelantan. Masya Allah. Sungguh bersemangat dan sungguh berdisiplin anak-anak Pasir Mas kerana bila aku sampai tu, pejabat Pos masih lagi tutup tetapi orang yang beratur sudah ramai. 10 orang tu lebih la. Ini betul-betul menguji tahap kesabaran aku memandangkan aku selalu kalah dengan sabar bila melibatkan perlu beratur panjang.  Aku search google

HIKING BUKIT SALOR : VIEW MENAWAN, AWAN KARPET BERGULUNG-GULUNG

View di puncak Bukit Salor yang tidak mengecewakan Bagi sesiapa yang ingin hiking secara santai-santai, sambil jalan boleh sepak daun, Bukit Salor mungkin boleh dimasukkan dalam senarai. Pemandangannya sangat cantik. Kalau ada rezeki, viewnya nanti ada awan karpet dan dalam tebalnya awan karpet, boleh nampak Gunung Reng yang semacam berusaha untuk menampakkan dirinya. Rezeki dapat parking di starting point Sejak beberapa bulan yang lalu, tempat hiking sudah menjadi viral dan sudah menjadi kegilaan rakyat Malaysia. Tengok sahaja di Kelantan, Bukit Panau yang dulu sunyi dari pengunjung, kini siap dengan ada payung dan gerai seperti pasar tani. Semuanya gara-gara PKP yang berpunca dari COVID-19. Manusia jadi murung bila lama berkurung, dan bila saja diberi kelonggaran untuk bergerak, tempat-tempat sebegini menjadi tumpuan untuk melepaskan kemurungan kerana berkurung. Trek yang bersimen sehingga ke menara telekomunikasi Bukit Salor pun sama. Kini sudah menjadi tumpuan ramai manusia, lebih-